Antarabangsa
Tingkatkan cukai alkohol, minuman manis galakkan gaya hidup sihat – WHO
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam, sarankan kerajaan meningkatkan cukai alkohol dan minuman manis kerana terlalu sedikit negara menggunakan insentif itu bagi menggalakkan gaya hidup sihat.
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam, sarankan kerajaan tingkatkan cukai alkohol dan minuman manis kerana terlalu sedikit negara menggunakan insentif itu bagi menggalakkan gaya hidup sihat.
- Menurut kajian badan dunia itu terhadap percukaian, purata kadar itu secara global ke atas produk tidak sihat sedemikian adalah rendah, dan peningkatan cukai boleh menghasilkan penduduk yang lebih sihat.
- Menurut WHO, seramai 2.6 juta orang setahun mati akibat pengambilan minuman beralkohol, manakala lebih lapan juta mati akibat diet tidak sihat.
- “Melaksanakan cukai ke atas alkohol dan SSB akan mengurangkan kadar kematian ini,” katanya.
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam, sarankan kerajaan meningkatkan cukai alkohol dan minuman manis kerana terlalu sedikit negara menggunakan insentif itu bagi menggalakkan gaya hidup sihat.
Menurut kajian badan dunia itu terhadap percukaian, purata kadar itu secara global ke atas produk tidak sihat sedemikian adalah rendah, dan peningkatan cukai boleh menghasilkan penduduk yang lebih sihat.
“WHO mengesyorkan cukai eksais, yang menyasarkan produk atau perkhidmatan tertentu, perlu dikenakan kepada semua minuman manis bergula (SSB) dan minuman beralkohol,” menurut WHO dalam kenyataan.
Pada masa sama, menurut WHO, seramai 2.6 juta orang setahun mati akibat pengambilan minuman beralkohol, manakala lebih lapan juta mati akibat diet tidak sihat.
“Melaksanakan cukai ke atas alkohol dan SSB akan mengurangkan kadar kematian ini,” katanya.
WHO memaklumkan, peningkatan cukai bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan produk berkenaan tetapi turut memberi insentif kepada syarikat untuk membuat produk yang lebih sihat.
Katanya, walaupun 108 negara mengenakan beberapa cukai ke atas SSB, secara global, cukai eksais secara purata mewakili hanya 6.6 peratus daripada harga minuman soda.
“Separuh daripada negara itu juga mengenakan cukai air, sesuatu yang kami tidak syorkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Promosi Kesihatan WHO, Rudiger Krech, berkata peningkatan cukai terhadap produk tidak sihat mewujudkan penduduk yang lebih sihat.
“Ia mempunyai kesan positif merentasi masyarakat iaitu kurang penyakit dan kecacatan serta hasil untuk kerajaan bagi perkhidmatan awam.
“Dalam kes alkohol, cukai juga membantu mencegah keganasan dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya,” katanya.
WHO yang berpangkalan di Geneva, semalam mengeluarkan garis panduan mengenai dasar dan pentadbiran cukai alkohol untuk 194 negara anggotanya.
Katanya, harga minimum yang digabungkan dengan peningkatan cukai, boleh mengekang jualan minuman keras tidak berkualiti dan mengurangkan kemasukan ke hospital berkaitan minuman, kematian, kemalangan dan jenayah.
“Sebuah badan penyelidikan yang penting menunjukkan bahawa orang ketagih cenderung untuk meminum minuman beralkohol yang paling murah,” katanya.
Menurut WHO, kira-kira 148 negara mengenakan cukai eksais ke atas minuman beralkohol.
“Namun wain dikecualikan daripada cukai eksais di sekurang-kurangnya 22 negara, kebanyakannya di rantau Eropah,” katanya.
WHO mendakwa, pada peringkat global, secara purata cukai eksais dalam harga jenama bir paling banyak dijual ialah 17.2 peratus, manakala bagi jenama minuman keras paling banyak dijual adalah 26.5 peratus.
Penolong Ketua Pengarah WHO, Ailan Li, berkata kebimbangan yang mendesak ialah minuman beralkohol, kerana ia dari masa ke masa, secara konsisten menjadi lebih mampu milik.
“Namun, peningkatan kemampuan ini boleh dibendung menggunakan dasar cukai dan harga alkohol yang ditetapkan dengan baik,” katanya. – AFP
Sumber: Berita Harian