Terkini
Akta sedia ada tidak cukup melindungi keselamatan siber – Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia
Akta Perlindungan Data Peribadi (2010) tidak mencukupi bagi membendung isu yang melibatkan keselamatan siber susulan banyak kes yang membabitkan jenayah siber baru-baru ini.
- Akta sedia ada tidak mencukupi bagi membendung dan memberi jaminan kepada pengguna yang terlibat dalam kes keselamatan siber.
- “Wujudkan akta keselamatan siber dan bentuk satu suruhanjaya keselamatan siber supaya ada badan yang bertanggungjawab memantau aktiviti jenayah siber.
- “Keselamatan siber adalah paling penting dari semua isu yang lain, isu keselamatan siber boleh destroy satu organisasi, belum lagi termasuk serangan penggodam, exploitasi tempat kerja dan cyberbully atau isu yang terkait dalam dunia siber jadi kerana itu perlunya well good governance entity,” – Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA).
KUALA LUMPUR – Akta Perlindungan Data Peribadi (2010) tidak mencukupi bagi membendung isu yang melibatkan keselamatan siber susulan banyak kes yang membabitkan jenayah siber baru-baru ini.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata undang-undang sebelum ini dipecahkan kepada beberapa bahagian apabila melibatkan keselamatan siber namun tiada pengkhususan yang tertakluk kepada akta tersebut.
“Kita tidak ada akta yang spesifik kita hanya ada Akta Perlindungan Data Peribadi (2010) yang dulu hanya banyak digunakan kepada dokumentasi fizikal dan kemudian ditubuhkan pada tahun 2010 yang pada ketika itu dunia pendigitalan tidak meluas seperti sekarang.
“Kami bercadang tubuhkan akta keselamatan siber wujudkan satu suruhanjaya keselamatan siber supaya semua isu keselamatan siber ini dapat dipusatkan dan akan ada badan yang bertanggungjawab untuk pantau.
“Contohnya kita tengok comparison SPRM, SPRM menjaga soal integriti dan dimana sahaja organisasi perlu pratikkan apa yang telah disarankan SPRM melibatkan rasuah dan salah guna kuasa dan sebagainya sebab itu setiap badan kerajaan ada unit integriti yang diketuai wakil SPRM dan bentuk satu governance integriti dalam mana mana badan kerajaan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau berkata keselamatan siber hari ini adalah satu keperluan yang perlu di tadbir urus dalam satu badan yang terurus dan mempunyai kuasa lebih kuat supaya boleh melindungi semua pihak termasuk organisasi dalam negara.
“Keselamatan siber adalah paling penting dari semua isu yang lain, isu keselamatan siber boleh destroy satu organisasi, tak termasuk serangan penggodam, exploitasi tempat kerja dan cyberbully atau isu yang terkait dalam dunia siber jadi kerana itu perlunya well good governance entity.
“Cadangan kami supaya tubuhkan entiti yang berpusat dan mungkin akan ada cadangan untuk mansuhkan beberapa agensi yang terlibat dalam keselamatan siber.
“Tetapi kita jadikan dia sebuah suruhanjaya agar mudah apabila suatu produk nak masuk di malaysia boleh ditapis oleh suruhanjaya atau nak buat suatu sistem pun perlu mendapat kelulusan dari suruhanjaya yang mana telah pun mempraktikkan keselamatan siber.
“Contoh kepada orang yang membuat aplikasi sekiranya dia gagal menjaga keselamatan siber dia boleh diambil tindakan, kerana itu kena ada satu badan yang well governance govern keselamatan siber supaya tidak meletakan 100 peratus kepada pengguna untuk menjaga kerana kita berkongsi fasiliti dan kemudahan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Siraj berkata aspirasi kerajaan mengadaptasi dunia pendigitalan yang semakin luas diguna pakai bagi mendorong keselamatan transaksi lebih tinggi adalah dengan menaik taraf jabatan yang menyiasat berkenaan isu keselamatan siber.
“Kita juga boleh menaik taraf Unit Jenayah Siber dan Multimedia PDRM di Bukit Aman iaitu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan ada satu unit dipanggil Jenayah Siber Multimedia bawah unit ini ada hanya ada Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC) yang melibatkan ancaman jenayah media sosial.
“Dalam konteks ini, isu yang melibatkan jenayah siber hanya terletak di bawah JSJK dan tidak ada pengkhususan kepada keselamatan siber kerana itu juga lambakan kes jenayah siber masih tidak dapat diselesaikan.
“Kami menyarankan agar naik taraf unit ini di bawah PDRM jadi dekat IPD ada pegawai penyiasat (IO) jenayah siber dan tidak tertumpu kepada jenayah komersial contohnya kes cyberbully kita nak letakkan dibawah siapa jabatan jenayah ke atau komersial?,” soalnya.
Tambahnya sesi perbincangan terbuka untuk perkongsian pendapat dari komuniti keselamatan siber perlu kerap dianjurkan sebagai platform untuk mempertingkatkan tatacara pengurusan keselamatan siber tanpa melibatkan birokrasi.
Siraj berkata kerajaan juga perlu meneliti kepakaran tempatan yang mempunyai pelbagai kemahiran hebat dalam dunia siber dan duduk bersama pihak kerajaan bagi memberi jalan penyelesaian melibatkan isu jenayah siber di peringkat perbankan.