Antarabangsa
Oman enggan buka ruang udaranya kepada penerbangan Israel
Kesultanan Oman dilaporkan enggan beri kebenaran kepada pesawat Israel untuk melalui ruang udaranya, demikian lapor portal thecradle.co memetik laporan media Hebrew.
- Tel Aviv mahu kelulusan menggunakan ruang udara Oman kerana ia menyediakan laluan lebih pantas untuk ke negara-negara timur.
- Oman tidak membenarkan Israel akses ruang udaranya biarpun kedua-dua negara saling berhubung.
- Oman tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan rejim Israel dan tidak akan menormalisasikan hubungannya dengan Tel Aviv sepertimana negara-negara jirannya di Teluk Parsi.
- Menteri Luar Oman berkata, negaranya “lebih memihak kepada inisiatif menyokong rakyat Palestin”.
Kesultanan Oman dilaporkan enggan beri kebenaran kepada pesawat Israel untuk melalui ruang udaranya, demikian lapor portal thecradle.co memetik laporan media Hebrew.
Laporan media Israel itu menjelaskan tujuan Tel Aviv yang mahu memperoleh kelulusan bagi pesawatnya melalui ruang udara negara teluk itu bagi membolehkannya menyediakan laluan lebih pantas ke negara-negara timur.
“Kelulusan dari Oman (untuk Israel melalui wilayahnya) adalah sangat penting kerana tanpa persetujuannya, pesawat yang menggunakan ruang udara Arab Saudi tidak boleh meneruskan perjalanan ke Lautan Hindi dan seterusnya ke destinasi di timur,” kata laporan itu.
Sekiranya Oman tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberi kebenaran kepada Israel, kesemua penerbangan Israel perlu melalui ruang udara Yaman untuk terbang ke timur yang mana ia berada di luar perbincangan.
Ini kerana kelemahan hubungan diplomatik di antara Sanaa (Yaman) dan Tel Aviv (Israel) ekoran sokongan Israel kepada pakatan diketuai Arab Saudi dalam konflik perang saudara di Yaman.
“Oman ada hubungan dengan Israel tetapi masih tidak membenarkan ruang udaranya digunakan penerbangan Israel.. Isu ini akan dibincangkan secara diplomatik,” kata laporan itu.
Laporan itu hadir ketika jalinan hubungan antara Riyadh dan Tel Aviv berlaku baru-baru ini dan desakan normalisasi hubungan antara Israel dan negara-negara Teluk tajaan Amerika Syarikat (AS), yang bukannya sebahagian Perjanjian Abraham pada 2020.
Israel dan Oman mempunyai hubungan komunikasi terbuka, namun tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi.
Kesultanan Oman sebelum ini menyatakan dengan tegas yang ia tidak akan menyertai jirannya di Negara-negara Teluk untuk menormalisasikan hubungan dengan rejim Tel Aviv.
“Oman tidak akan menyertai negara-negara Teluk (Parsi) yang mengumumkan normalisasi hubungan dengan penjajahan Israel,” kata Menteri Luar Oman, Badr al-Busaidi pada Mei lalu yang menegaskan negaranya “lebih memihak kepada inisiatif menyokong rakyat Palestin”.
Sumber: The Cradle