Antarabangsa
Pemimpin Katolik Sudan Selatan bimbang amalan kahwin paksa kanak-kanak
Pemimpin Katolik di Sudan Selatan membangkitkan kebimbangan mengenai perkahwinan kanak-kanak secara paksa, demikian lapor Crux.
- Pemimpin Katolik di Sudan Selatan membangkitkan kebimbangan mengenai perkahwinan kanak-kanak secara paksa.
- “Sebagai pemimpin Gereja, kami tidak gembira dengan para bapa kerana anak gadis semakin hilang dari sekolah setiap tahun akibat perkahwinan paksa atau kehamilan,” – Uskup Mathew Remijio Adam.
- “Air yang selama ini digalas akan sampai kepada anda melalui paip, malah jalan raya akan baik-baik saja dan pendidikan menentukan masa depan,” – Uskup Emmanuel Barnadino Lowi Napeta.
- Lebih daripada 10 gadis dipaksa berkahwin setiap minggu di Sudan Selatan dan lebih 50 peratus daripada semua gadis di negara itu berkahwin sebelum umur 18 tahun. – Laporan Inisiatif Strategik untuk Wanita di Tanduk Afrika (SIHA).
Pemimpin Katolik di Sudan Selatan membangkitkan kebimbangan mengenai perkahwinan kanak-kanak secara paksa, demikian lapor Crux.
Mereka menyifatkan amalan tradisional itu menghalang impian anak gadis untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dan memenuhi impian seumur hidup mereka.
“Sebagai pemimpin Gereja, kami tidak gembira dengan para bapa kerana anak gadis semakin hilang dari sekolah setiap tahun akibat perkahwinan paksa atau kehamilan,” kata Uskup Mathew Remijio Adam.
“Lihatlah usaha yang ibu mereka lakukan, mereka bercucuk tanam dan membina rumah untuk menampung pelajaran anak-anak gadis mereka, tetapi kamu membinasakannya,” katanya.
Senada dengan pendapat itu, Emmanuel Barnadino Lowi Napeta selaku Uskup keuskupan Torit menegaskan yang amalan lama itu tidak boleh diteruskan.
Menurutnya, dia pernah menyaksikan ibu bapa mengahwinkan anak gadisnya hanya kerana untuk memperoleh lembu sebagai mas kahwin.
“Jika anda mempunyai seorang anak gadis dan seorang anak lelaki yang berpendidikan, mereka mampu mengubah masyarakat.
“Air yang selama ini digalas akan sampai kepada anda melalui paip, malah jalan raya akan baik-baik saja dan pendidikan menentukan masa depan,” katanya.
Negara termuda dunia yang memperoleh kemerdekaan dari Sudan pada 2011 itu sememangnya terkenal dengan perkahwinan di usia muda.
Laporan Inisiatif Strategik untuk Wanita di Tanduk Afrika (SIHA) mendedahkan “lebih daripada 10 gadis dipaksa berkahwin setiap minggu di Sudan Selatan dan lebih 50 peratus daripada semua gadis di negara itu berkahwin sebelum umur 18 tahun”.
Lapan peratus pengantin kanak-kanak di negara itu hamil sebelum mencapai usia dewasa dan keengganan mereka untuk berkahwin boleh mengakibatkan mereka didera, disisihkan masyarakat atau dipenjara.
Pelan Tindak Balas Kemanusiaan untuk Sudan Selatan diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan empat juta kanak-kanak perempuan terjejas akibat perkahwinan awal atau paksa pada 2022 meningkat daripada 2.7 juta pada 2021.
Sumber: Crux