Antarabangsa
PBB tolak undang-undang anti-LGBT Uganda
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Uganda untuk memikirkan semula Akta Anti-homoseksual baharunya yang mengenakan hukuman berat kepada rakyatnya yang “mempromosi” gaya hidup gay dan hukuman mati bagi kesalahan tertentu.
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Uganda memikirkan semula Akta Anti-homoseksual baharunya yang mengenakan hukuman berat kepada individu “mempromosikan” gaya hidup gay dan hukuman mati bagi kesalahan tertentu.
- Setiausaha Agung PBB menegaskan langkah itu bercanggah dengan perjanjian antarabangsa utama dan melanggar hak-hak warga Uganda.
- Ditandatangani sebagai undang-undang pada Isnin, Akta Anti-Homoseksual mencadangkan hukuman penjara 20 tahun bagi sesiapa yang didapati “mempromosikan” homoseksual, malah mewajibkan hukuman mati bagi perlakuan “homoseksual ganas,” termasuk perlakuan jenayah seks terhadap kanak-kanak, melakukan hubungan seks semasa HIV positif, dan sumbang mahram.
- Rumah Putih memberi amaran tentang ‘kesan’ perundangan LGBTQ itu dan menyatakan kemungkinan berlakunya sekatan visa, pemotongan belanjawan bantuan dan sekatan ekonomi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Uganda untuk memikirkan semula Akta Anti-homoseksual baharunya yang mengenakan hukuman berat kepada rakyatnya yang “mempromosi” gaya hidup gay dan hukuman mati bagi kesalahan tertentu.
Setiausaha Agung PBB menegaskan langkah itu bercanggah dengan perjanjian antarabangsa utama dan melanggar hak-hak warga Uganda.
Ditanya mengenai undang-undang yang ditandatangani baru-baru ini, ketua jurucakap kepada Setiausaha Agung Antonio Guterres, Stephane Dujarric pada sidang akhbar Selasa lalu berkata, PBB ‘sangat prihatin’ berkenaan undang-undang anti-LGBTQ itu.
“Setiausaha agung sentiasa jelas dan terus menerus menyeru semua negara anggota untuk menyokong Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, khususnya pematuhan berkenaan hak asasi, memegang prinsip untuk tidak mendiskriminasi serta menghormati privasi peribadi,” kata Dujarric.
Dia menambah Guterres “sekali lagi menyeru semua negara untuk tidak menjenayahkan hubungan sesama jantina dan transgender di mana-mana sahaja. Secara jelasnya, tiada siapa patut dihukum, dipenjara, dijenayahkan untuk siapa yang mereka sayangi”.
Ditandatangani sebagai undang-undang pada Isnin, Akta Anti-Homoseksual mencadangkan hukuman penjara 20 tahun bagi sesiapa didapati “mempromosikan” homoseksual, malah mewajibkan hukuman mati untuk “homoseksual ganas,” termasuk perlakuan jenayah seks terhadap kanak-kanak, melakukan hubungan seks semasa HIV positif dan sumbang mahram.
Uganda sebelum ini mengharamkan hubungan sejenis tetapi undang-undang baharu itu bakal mengenakan hukuman lebih berat.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB sebelum ini menggesa semakan kehakiman segera terhadap undang-undang “drakonian dan diskriminasi” itu.
Rumah Putih sebelum ini memberi amaran tentang ‘kesan’ terhadap perundangan LGBTQ itu dan menyatakan kemungkinan berlakunya sekatan visa, pemotongan belanjawan bantuan dan sekatan ekonomi.
Sumber: RT