Connect with us

Antarabangsa

Puluhan ribu sertai protes keganasan di Serbia

Puluhan ribu orang berkumpul di ibu negara Serbia, Belgrade, Jumaat lalu, di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak berikutan dua kes tembakan besar-besaran yang mengorbankan 18 orang bulan ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Puluhan ribu sertai protes keganasan di Serbia
Foto: Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri Belgrade, Serbia, membantah peningkatan keganasan di negara itu.
  • Puluhan ribu orang berkumpul di ibu negara Serbia, Belgrade, Jumaat lalu, di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak berikutan dua kes tembakan besar-besaran yang mengorbankan 18 orang bulan ini.
  • Perhimpunan itu adalah bantahan besar ketiga ‘Serbia menentang keganasan’ dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, yang membawa ribuan orang ke jalanan bagi menggesa peletakan jawatan pegawai atasan.
  • Bantahan itu adalah antara perhimpunan terbesar diadakan di Serbia sejak demonstrasi besar-besaran menyebabkan kejatuhan bekas orang kuat Slobodan Milosevic lebih dua dekad lalu.
  • Selepas menyekat dua jambatan utama Belgrade, beberapa ahli politik pembangkang menggesa penyokong mereka untuk kekal di jalan sehingga semua tuntutan dipenuhi, manakala beberapa penunjuk perasaan mendirikan khemah.

BELGRADE: Puluhan ribu orang berkumpul di ibu negara Serbia, Belgrade, Jumaat lalu, di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak berikutan dua kes tembakan besar-besaran yang mengorbankan 18 orang bulan ini.

Perhimpunan itu adalah bantahan besar ketiga ‘Serbia menentang keganasan’ dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, yang membawa ribuan orang ke jalanan bagi menggesa peletakan jawatan pegawai atasan.

Bantahan itu adalah antara perhimpunan terbesar diadakan di Serbia sejak demonstrasi besar-besaran menyebabkan kejatuhan bekas orang kuat Slobodan Milosevic lebih dua dekad lalu.

Selepas menyekat dua jambatan utama Belgrade, beberapa ahli politik pembangkang menggesa penyokong mereka untuk kekal di jalan sehingga semua tuntutan dipenuhi, manakala beberapa penunjuk perasaan mendirikan khemah.

Penunjuk perasaan mahu kerajaan membatalkan lesen penyiaran saluran televisyen yang mempromosikan kandungan ganas dan larangan ke atas akhbar pro-kerajaan yang mencetuskan ketegangan dengan menyasarkan penentang politik.

Mereka juga menggesa peletakan jawatan menteri dalam negeri dan ketua perkhidmatan perisikan.

Jumaat lalu, ahli-ahli pembangkang pro-Eropah bertindak keluar dari sidang khas Parlimen, menuduh parti pemerintah dan sekutunya ‘cuba senyapkan perhimpunan’ daripada menangani isu yang dibangkitkan oleh penunjuk perasaan.

Presiden Parti Demokrat, Zoran Lutovac, berkata mereka tidak mahu menjadi sebahagian daripada itu dan berikrar menyertai rakyat dalam protes.

Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, menolak dakwaan bantahan itu dan menyifatkannya sebagai ‘sandiwara politik’.

Beliau menjadualkan demonstrasi berasingan untuk penyokongnya sendiri minggu depan yang dianggapnya sebagai ‘perhimpunan terbesar dalam sejarah Serbia’.

Rakan rapat Vucic, Perdana Menteri, Ana Brnabic juga menuduh ‘perkhidmatan perisikan asing’ mencetuskan kekacauan selepas kes tembakan untuk menjejaskan kestabilan Serbia.

Berikutan kes tembakan itu, Vucic berikrar untuk ‘melucutkan senjata’ Serbia dengan rancangan bagi membanteras pemilikan senjata api baik secara sah atau haram.

Serbia mempunyai tahap pemilikan senjata api tertinggi di Eropah, dengan kira-kira 39 dalam setiap 100 orang memiliki senjata api, menurut kumpulan penyelidikan Small Arms Survey.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *