Connect with us

Terkini

Penggunaan rokok elektronik, vape meningkat mendadak dalam kalangan remaja

Penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak dari 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus, tahun lalu (2022) dengan pertambahan 9 peratus perokok.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Penggunaan rokok elektronik, vape meningkat mendadak dalam kalangan remaja
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak dari 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus, tahun lalu (2022) dengan pertambahan 9 peratus perokok.
  • “Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk e-cigarettes yang mengandungi nikotin.
  • “Selain itu, KKM akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terutamanya kepada penjual yang menjual rokok dan alkohol kepada remaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 di sini hari ini.

PUTRAJAYA: Penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak dari 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus, tahun lalu (2022) dengan pertambahan 9 peratus perokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, pengambilan alkohol dalam kelompok tersebut juga masih lagi tinggi iaitu sebanyak 7.4 peratus, walaupun penjualan minuman keras berkenaan adalah tidak dibenarkan kepada remaja.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk e-cigarettes yang mengandungi nikotin.

“RUU ini juga termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG0 bagi menangani masalah perokok di Malaysia terutamanya di kalangan generasi muda.

“Selain itu, KKM akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terutamanya kepada penjual yang menjual rokok dan alkohol kepada remaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 di sini hari ini.

Jelasnya, Institut Kesihatan Umum telah menjalankan dua tinjauan NHMS pada tahun lalu yang memfokuskan kepada kesihatan remaja pada Jun hingga Julai manakala tinjauan kesihatan ibu dan anak dilaksanakan pada Ogos hingga Oktober.

Menurut Lukanisman, selain penggunaan rokok elektronik dan alkohol, kesihatan mental dalam kalangan remaja juga agak membimbangkan.

“Peratusan remaja yang melaporkan terfikir untuk membunuh diri juga meningkat dari 10 peratus dari 2017 kepada 13.1 peratus pada tahun lalu.

“Manakala 9.5 peratus remaja melaporkan pernah mencuba untuk membunuh diri berbanding 6.9 peratus pada lima tahun lalu. Tinjauan ini mendapati pada tahun 2022, satu dari empat remaja Malaysia mempunyai kemurungan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesihatan reproduktif remaja Malaysia masih di tahap membimbangkan apabila didapati seramai 5.7 peratus remaja mengakui melakukan hubungan seks dalam tempoh sebulan sebelum tinjauan, berbanding 5.4 peratus pada 2017.

“Bagi aspek kesihatan reproduktif, KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan badan bukan kerajaan bagi merangka strategi yang lebih komprehensif,” katanya.

Lukanisman berkata, tinjauan mendapati perkhidmatan kesihatan ibu agak baik di negara ini namun dari aspek kesihatan kanak-kanak, KKM mengenal pasti beberapa perkara termasuk peratusan bantut yang masih lagi tinggi membabitkan kanak-kanak bawah lima tahun iaitu 21.2 peratus.

“Hampir separuh (45.6 peratus) kanak-kanak bawah lima tahun mengalami anemia dan peratusan penerimaan vaksinasi lengkap bawah usia dua tahun menunjukkan penurunan daripada 95.3 peratus pada 2016 kepada 87.1 peratus tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *