Connect with us

Antarabangsa

Lebih 25 juta penduduk Sudan perlu bantuan kritikal

Lebih separuh penduduk Sudan memerlukan bantuan kritikal makanan dan perubatan bagi meneruskan kehidupan ketika perang yang berlarutan lebih sebulan kini semakin sengit.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Lebih 25 juta penduduk Sudan perlu bantuan kritikal
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Lebih separuh penduduk Sudan memerlukan bantuan kritikal makanan dan perubatan meneruskan kehidupan ketika perang yang berlarutan lebih sebulan kini semakin sengit.
  • Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan kira-kira 25 juta penduduk Sudan atau mewakili 50 peratus rakyat negara itu memerlukan bantuan dan perlindungan.
  • Ketua Agensi Kemanusiaan PBB Biro Geneva, Ramesh Rajasingham, berkata jumlah itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan di negara terbabit.
  • “Setiap seorang daripada tiga penduduk sudah bergantung kepada bantuan sebelum perang dan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal akibat konflik sebelumnya,” katanya.

KHARTOUM: Lebih separuh penduduk Sudan memerlukan bantuan kritikal makanan dan perubatan bagi meneruskan kehidupan ketika perang yang berlarutan lebih sebulan kini semakin sengit.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan kira-kira 25 juta penduduk Sudan atau mewakili 50 peratus rakyat negara itu memerlukan bantuan dan perlindungan.

Ketua Agensi Kemanusiaan PBB Biro Geneva, Ramesh Rajasingham, berkata jumlah itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan di negara terbabit.

“Setiap seorang daripada tiga penduduk sudah bergantung kepada bantuan sebelum perang dan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal akibat konflik sebelumnya,” katanya.

Tambah Ramesh, dalam keadaan tembakan peluru bertali arus, jutaan penduduk terpaksa berkurung di rumah mereka, sekali gus tidak dapat mengakses perkhidmatan asas dan penjagaan kesihatan.

Rajasingham mahu penyampaian bantuan ditingkatkan dan mengharapkan perjanjian Jeddah memberi kesan.

Beliau berkata, pejuang dilaporkan sudah berundur dari beberapa kemudahan kesihatan yang diduduki sebelum ini.

Katanya, lebih 840,000 sudah dipindahkan di dalam Sudan dan sekurang-kurangnya 220,000 berjaya melintasi sempadan ke luar negara.

“Krisis di Sudan berkembang pantas menjadi krisis serantau,” katanya.

Sehingga kini, kira-kira 1,000 orang terbunuh, terutama di dalam dan sekitar Khartoum serta di wilayah barat Darfur yang sudah lama bermasalah, manakala lebih 5,000 lagi cedera.

Sementara itu, lebih sejuta yang lain diusir akibat pertempuran antara ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo, yang mengetuai kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Walaupun beberapa kawasan lain di Sudan tidak terbabit dengan pertempuran itu, ia tetap berdepan natijahnya apabila harga barangan melambung tinggi dan berlakunya kekurangan bahan api.

Penganalisis berpendapat, kedua-dua pihak dilihat tidak mempunyai kelebihan di medan pertempuran sehingga kini.

Wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Toby Harward, berkata keadaan amat membimbangkan di ibu kota Darfur Barat, El Geneina.

Beliau berkata, ratusan orang awam terbunuh dalam serangan tentera militia ke atas kawasan perumahan selain pertempuran jalanan membabitkan pasukan komuniti bersekutu.

“Terdapat juga rompakan selain kerosakan di pasar dan juga di kem pemindahan serta beberapa lokasi lain,” katanya di Twitter.

Pasukan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), turut mengecam rompakan terhadap agensi bantuan selepas beberapa individu bersenjata menyerbu gudangnya di Khartoum sebelum ini.

Menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), sebuah kilang yang menghasilkan makanan untuk merawat kanak-kanak kekurangan zat makanan dilaporkan terbakar di utara Khartoum.

Katanya, sehingga kini Program Makanan Sedunia (WFP) berusaha meningkatkan operasi kecemasan dengan mengedarkan makanan di Darfur serta bahagian lain di negara itu, namun agensi bantuan memerlukan lebih banyak wang.

Menurut PBB, AS$2.56 bilion (RM11.58 bilion) kini dijangka diperlukan untuk menyediakan bantuan untuk 18 juta orang di dalam Sudan, manakala AS$470.4 juta (RM2.12 bilion) pula membantu mereka yang melarikan diri dari negara itu.

Peperangan Sudan dijangka menjadi agenda utama semasa sidang kemuncak Liga Arab pada hari ini di Arab Saudi, di mana wakil Burhan akan mewakili negara itu.

Menurut pakar, negara gergasi dalam blok pan-Arab dilihat mempunyai pandangan berbeza di Sudan, dengan Mesir menyokong Burhan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dilihat menyokong RSF.

Rabu lalu, Presiden Kenya, William Ruto, menggesa jeneral yang berperang untuk menghentikan cakap kosong dan meminta Kesatuan Afrika memikirkan semula pendekatan terhadap konflik di benua itu.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *