Antarabangsa
Seorang maut ketika Israel perbaharui serangan ke atas Gaza
Tentera Israel memperbaharui serangan ke atas Gaza, semalam, ketika penduduk di kedua-dua belah sempadan bersiap sedia berdepan lebih banyak keganasan.

- Tentera Israel memperbaharui serangan ke atas Gaza, semalam, ketika penduduk di kedua-dua belah sempadan bersiap sedia berdepan lebih banyak keganasan.
- Serangan berlaku beberapa jam selepas pihak tentera membunuh dua rakyat Palestin di Tebing Barat.
- Terdahulu, kepulan asap kelihatan dari wilayah pantai Palestin selepas Israel memberitahu ia menyasarkan infrastruktur pelancaran roket yang dipegang oleh pejuang Islam.
- Seorang pegawai kementerian kesihatan Gaza, berkata dalam serangan itu seorang mangsa terbunuh, manakala seorang lagi parah.
GAZA: Tentera Israel memperbaharui serangan ke atas Gaza, semalam, ketika penduduk di kedua-dua belah sempadan bersiap sedia berdepan lebih banyak keganasan.
Serangan berlaku beberapa jam selepas pihak tentera membunuh dua rakyat Palestin di Tebing Barat.
Terdahulu, kepulan asap kelihatan dari wilayah pantai Palestin selepas Israel memberitahu ia menyasarkan infrastruktur pelancaran roket yang dipegang oleh pejuang Islam.
Seorang pegawai kementerian kesihatan Gaza, berkata dalam serangan itu seorang mangsa terbunuh, manakala seorang lagi parah.
Kematian terbaru berlaku sehari selepas serangan Israel ke atas Gaza yang mengorbankan tiga pejuang Jihad Islam yang terkemuka dan 12 yang lain, termasuk empat kanak-kanak.
Tentera Israel berkata serangan semalam antaranya termasuk menembak ke arah pejuang “yang dalam perjalanan ke tapak pelancaran roket di bandar Khan Yunis” di selatan Gaza.
Kelmarin, Jihad Islam berikrar untuk bertindak balas, dengan Israel memberi amaran kepada penduduk berhampiran sempadan untuk pergi ke tempat perlindungan bom.
Anggota kanan Jihad Islam yang terbunuh dikenali sebagai Jihad Ghannam, Khalil al-Bahtini dan Tareq Ezzedine. Awal pagi semalam, tentera Israel menyerbu bandar Qabatiya, Tebing Barat dan membunuh dua orang yang didakwa menembak ke arah tentera.
Kementerian kesihatan Palestin mengenal pasti dua lelaki itu sebagai Ahmed Jamal Tawfiq Assaf, 19, dan Rani Walid Ahmed Qatanat, 24.
Tentera Israel berkata, pihaknya menahan seorang ketika serbuan, apabila tentera ditembak dari sebuah kenderaan.
“Askar bertindak balas dengan tembakan langsung ke arah dua penyerang dan membunuh mereka,” kata tentera.
Israel menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967 dan tenteranya kerap beroperasi di bandar-bandar Palestin.
Kelmarin, ketua Hamas, Ismail Haniyeh, berkata “membunuh kepemimpinan” di Gaza akan membawa “penentangan yang lebih hebat.”
Kedua-dua Hamas dan Jihad Islam dianggap sebagai organisasi pengganas oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Washington semalam menggesa “semua pihak untuk meredakan keadaan.”
Walaupun Hamas beberapa kali berperang dengan Israel sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun kumpulan itu tidak mencampuri peperangan tiga hari yang berlaku antara Israel dan Jihad Islam, pada Ogos lalu.
Berikutan serangan udara kelmarin, Mesir yang menjadi pengantara di Gaza, berkata tindakan itu “memarakkan keadaan sehingga menjadi di luar kawalan.”
Keganasan terbaru itu menjadikan seramai 126 orang Palestin yang terbunuh dalam konflik Israel-Palestin setakat tahun ini. Seramai 19 warga Israel dan masing-masing warga Ukraine dan Itali terbunuh dalam tempoh yang sama.
Angka-angka ini termasuk pejuang serta orang awam dan, di pihak Israel, tiga anggota minoriti Arab di negara itu. – AFP
Sumber: Berita Harian
