Antarabangsa
60 maut, 231 cedera dalam keganasan etnik di Manipur
Sekurang-kurangnya 60 orang, termasuk wanita, terbunuh dan 231 cedera dalam keganasan etnik di Manipur India sejak 3 Mei lalu, demikian umum Ketua Menteri, N. Biren Singh pada Isnin.
- Sekurang-kurangnya 60 orang, termasuk wanita, terbunuh dan 231 cedera dalam keganasan etnik di Manipur India sejak 3 Mei lalu, demikian umum Ketua Menteri, N. Biren Singh pada Isnin.
- Menurut laporan Tasnim News Agency, kira-kira 1,700 rumah turut terbakar dalam insiden keganasan itu.
TEHRAN – Sekurang-kurangnya 60 orang, termasuk wanita, terbunuh dan 231 cedera dalam keganasan etnik di Manipur India sejak 3 Mei lalu, demikian umum Ketua Menteri, N. Biren Singh pada Isnin.
Menurut laporan Tasnim News Agency, kira-kira 1,700 rumah turut terbakar dalam insiden sama.
N. Biren mendedahkan siasatan peringkat tinggi akan dijalankan untuk mengenalpasti individu dan kumpulan bertanggungjawab mencetuskan keganasan serta kakitangan kerajaan tidak memenuhi tugas mereka.
Setakat ini, 35,655 individu, termasuk 1,593 pelajar, yang terjejas akibat keganasan dipindahkan ke lokasi lebih selamat.
N. Biren berkata kira-kira 10,000 individu masih terkandas dan Menteri Dalam Negeri, Amit Shah memantau keadaan sejak hari pertama kejadian.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri menghantar 50 kompeni dari pasukan pusat untuk membantu 105 kolum tentera dan Assam Rifles untuk menangani keganasan.
Menurut N. Biren, penjenayah dan pengacau itu merampas 1,041 senjata dan 7,460 butir peluru daripada pasukan keselamatan dan setakat ini, 214 senjata dan 4,273 butir peluru ditemui.
Beliau mengumumkan pampasan berjumlah Rs lima lakh (RM27,159.68) akan diberikan kepada waris kepada si mati, Rs dua lakh (10,862.95) untuk kecederaan parah, dan Rs 25, 000 (RM1,357.87) untuk kecederaan tidak parah.
“Saya merayu kepada semua agar tidak menyebarkan atau mempercayai khabar angin tidak berasas dan tidak benar. Saya merayu orang ramai untuk membawa keamanan dan ketenangan kepada negeri ini. Pengangkutan orang yang terkandas ke lokasi masing-masing akan bermula,” kata N. Biren.
N. Biren juga memberi jaminan semua yang terkandas di lokasi berbeza di Manipur akan diberi penjagaan dan sokongan terbaik di lokasi selamat dan kem perlindungan.
Sumber: Tasnim News Agency