Antarabangsa
Trudeau selar Facebook kerana ancam sekat berita Kanada
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, semalam menyelar Meta selepas eksekutif syarikat itu mengancam akan menyekat penyaluran berita untuk pengguna Facebook dan Instagram Kanada.
- Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, semalam menyelar Meta selepas eksekutif syarikat itu mengancam akan menyekat penyaluran berita untuk pengguna Facebook dan Instagram Kanada.
- Ia dilakukan sebagai tindak balas kepada undang-undang yang mahu gergasi teknologi media sosial itu membayar kandungan kewartawanan tempatan.
- Pada Februari lalu, Google mengumumkan mereka juga menguji untuk menyekat akses penduduk Kanada kepada berita, susulan persediaan negara itu meluluskan Akta Berita Dalam Talian, yang kini dibentangkan di Senat.
- Kedua-dua syarikat gergasi teknologi itu mengkritiknya sebagai rang undang-undang (RUU) melampaui batas walaupun dikatakan bertujuan untuk membantu industri berita yang berdepan ‘krisis’ selepas ratusan penerbitan berita ditutup dalam sedekad kebelakangan ini.
OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, semalam menyelar Meta selepas eksekutif syarikat itu mengancam akan menyekat penyaluran berita untuk pengguna Facebook dan Instagram Kanada.
Ia dilakukan sebagai tindak balas kepada undang-undang yang mahu gergasi teknologi media sosial itu membayar kandungan kewartawanan tempatan.
Pada Februari lalu, Google mengumumkan mereka juga menguji untuk menyekat akses penduduk Kanada kepada berita, susulan persediaan negara itu meluluskan Akta Berita Dalam Talian, yang kini dibentangkan di Senat.
Kedua-dua syarikat gergasi teknologi itu mengkritiknya sebagai rang undang-undang (RUU) melampaui batas walaupun dikatakan bertujuan untuk membantu industri berita yang berdepan ‘krisis’ selepas ratusan penerbitan berita ditutup dalam sedekad kebelakangan ini.
Rancangan menyekat berita itu digariskan sekali lagi oleh seorang eksekutif Meta Kanada dalam keterangannya di jawatankuasa Dewan Perwakilan minggu ini.
Trudeau berkata, hujah mereka terhadap cadangan itu ‘bukan saja cacat, malah berbahaya kepada demokrasi dan ekonomi negara.
“Woodward dan Bernstein bukanlah orang yang berpengaruh,” ulasnya, merujuk kepada pasangan wartawan Washington Post yang melaporkan mengenai skandal Watergate yang menyaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Richard Nixon meletak jawatan pada 1974.
Katanya, individu yang melaporkan mengenai tragedi ngeri di Bucha (di Ukraine) tidak akan cuba mendapatkan tanda ‘like’ di halaman Facebook mereka.
“Kewartawanan yang rumit, mencabar, bebas adalah penting dan fakta bahawa Facebook masih mengatakan mereka tidak mahu membayar wartawan untuk kerja yang dilakukan menunjukkan betapa mereka sangat tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Undang-undang baharu itu memerlukan gergasi digital membuat perjanjian komersial yang adil dengan cawangan Kanada bagi berita dan maklumat yang dikongsi di pentas mereka, atau berdepan proses timbang tara.
Langkah itu diwujudkan berdasarkan Kod Tawar Menawar Media Baharu Australia, yang juga negara pertama di dunia menuntut Google dan Meta membayar untuk kandungan berita disiarkan mereka.
Pengawal selia Australia juga menuduh syarikat yang mendominasi pengiklanan dalam talian, mengenakan bayaran tinggi terhadap agensi berita tradisional tetapi menggunakan kandungan mereka secara percuma.
Firma teknologi besar bagaimanapun menentang keras undang-undang Australia pada mulanya dan bimbang ia akan mengancam model perniagaan mereka, namun dengan pindaan tertentu, ia mudah diluluskan oleh penggubal undang-undang.
Sumber: Berita Harian