Antarabangsa
(VIDEO) Lebih 72 peratus umat Islam Indonesia masih buta al-Quran
Timbalan Pengerusi Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Yandri Susanto berkata, lebih 72 peratus umat Islam di Indonesia masih buta al-Quran.
- Timbalan Pengerusi Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Yandri Susanto berkata, lebih 72 peratus umat Islam di Indonesia masih buta al-Quran.
- Beliau turut mengajak seluruh umat Islam di negara itu bekerjasama menyelesaikan masalah tersebut.
- “Kami bersama rakan-rakan khususnya pihak pengurusan institut latihan literasi al-Quran menyedari bahawa 72 peratus adalah angka yang membimbangkan. Bayangkan Indonesia yang majoritinya beragama Islam sebenarnya menghadapi masalah yang serius,” katanya.
- Pihaknya sedang mengorak langkah melatih dan memberi tauliah kepada guru-guru atau mualim supaya orang ramai cepat membaca al-Quran.
JAKARTA: Timbalan Pengerusi Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Yandri Susanto berkata, lebih 72 peratus umat Islam di Indonesia masih buta al-Quran.
Lapor CNN Indonesia, perkara tersebut disampaikan Yandri ketika menghadiri majis pengukuhan pengurusan institusi literasi al-Quran di Gedung MPR di Jakarta Pusat baru-baru ini.
Yandri turut mengajak seluruh umat Islam di negara itu untuk bekerjasama menyelesaikan masalah tersebut.
View this post on Instagram
“Kami bersama rakan-rakan khususnya pihak pengurusan institut latihan literasi al-Quran menyedari bahawa 72 peratus adalah angka yang membimbangkan. Bayangkan Indonesia yang majoritinya beragama Islam sebenarnya menghadapi masalah yang serius,” katanya seperti dipetik Detik.com.
Yandri berkata, pihaknya sedang mengorak langkah melatih dan memberi tauliah kepada guru-guru atau mualim supaya orang ramai cepat membaca al-Quran.
Pihaknya juga akan mencetak buku panduan yang mudah difahami dan akan diedarkan segera ke seluruh Indonesia.
“Kita akan cetak buku panduan yang mudah difahami dan cepat tersebar ke seluruh Indonesia agar gerakan ini benar-benar sampai ke akar umbi,” jelasnya.
Dalam kesempatan itu, Yandri turut memberitahu akan berdialog dengan Badan Amil Zakat (Baznas) bagi membantu guru mengajar mengaji al-Quran mendapat gaji kerana mereka termasuk dalam golongan yang berhak menerima zakat selain asnaf.
“Sebab kita mahu mereka tumpu kepada pengajaran dengan kualiti terbaik dan masa terbaik. Dari segi isu pembiayaan dan keperluan harian, kerajaan hadir melalui Baznas untuk menyediakan bajet kepada guru-guru al-Quran ini,” jelasnya.
Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan turut menyambut baik gerakan membanteras buta al-Quran dalam kalangan umat Islam Indonesia.
“Jika anda seorang muslim tetapi tidak membaca al-Quran, bagaimana?
“Jadi ada gerakan satu jawatankuasa yang dibentuk untuk mempercepatkan usaha mengurangkan buta al-Quran, jadi saya mengalu-alukan dengan sangat positif dan menyokong penuh gerakan sahabat ini kerana itu yang utama,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia