Terkini
Inisiatif sedia ada untuk B40 tidak lagi memadai – Kesatuan pelajar
Dua kesatuan pelajar berpandangan inisiatif sedia ada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu pelajar tidak lagi memadai dalam persekitaran ekonomi kini, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar.
- Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) memberikan contoh, Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) diperkenalkan untuk memberi peluang kepada keluarga B40 ke menara gading kerana ianya hanya membantu anak pertama ke universiti.
- “Sekurang-kurangnya perlu ada bantuan pembiayaan separuh dari keseluruhan kos yuran kursus bagi semua pelajar B40″. – Presiden KMUM, Ooi Guo Shen.
- Di sebalik inisiatif seperti Sulung ini, beliau mengingatkan ketika ini ramai memilih untuk bekerja berbanding menyambung belajar, seperti menceburi industri e-panggilan, kerana desakan hidup.
PETALING JAYA: Dua kesatuan pelajar berpandangan inisiatif sedia ada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu pelajar tidak lagi memadai dalam persekitaran ekonomi kini, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar.
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) memberikan contoh, Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) yang diperkenalkan pada 2022 untuk memberi peluang kepada generasi pertama keluarga B40 ke menara gading kerana ianya hanya membantu anak pertama ke universiti.
Presiden KMUM, Ooi Guo Shen, berharap kerajaan menambah inisiatif yang menjamin kesaksamaan, “sekurang-kurangnya perlu ada bantuan pembiayaan separuh dari keseluruhan kos yuran kursus bagi semua pelajar B40 “.
Sulung memberikan laluan khusus ke universiti awam kepada pelajar B40 yang cemerlang, di samping biasiswa, elaun bulanan, bantuan komputer riba, kemudahan asrama sepanjang tempoh pengajian, dan nasihat akademik.
Di sebalik inisiatif seperti Sulung ini, Ooi mengingatkan ketika ini ramai orang memilih untuk bekerja berbanding menyambung belajar, seperti menceburi industri e-panggilan, kerana desakan hidup.
“Adakah golongan B40 dan miskin tegar lebih cenderung kepada pilihan-pilihan (yang kerajaan tawarkan) ini atau terus bekerja, khasnya dengan perkembangan ekonomi gig kini?” soalnya.
Beliau percaya inisiatif yang benar-benar menyeluruh akan menyakinkan pelajar untuk meneruskan pengajian. “Dengan demikian, mereka akan lebih bersedia mengejar mobiliti sosial melalui pendidikan, selain daripada bergantung kepada ekonomi gig.”
Sementara itu, pegawai Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Zaim Mustaqim, berkata penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan diskaun berkaitan adalah “tidak bersasar”.
“Sudah tentu ianya mustahil bagi golongan B40 untuk melunaskan bayaran penuh balik, sekaligus bagi mendapatkan diskaun yang ditawarkan. Akhirnya, golongan ini akan berterusan dibelenggu hutang PTPTN,” katanya.
Katanya, cabaran bagi siswazah B40 adalah membayar balik hutang pendidikannya, “tanpa jaminan pekerjaan serta gaji yang bermaruah dan setimpal, dengan peluang pekerjaan yang sangat terhad kini”.
Kerajaan perlu memperluaskan usaha meliputi pelbagai aspek bagi membantu peminjam berkenaan, antaranya “jalinan kerjasama dengan pemain industri mahupun syarikat besar dalam dan luar negara yang berperanan memberikan jaminan pekerjaan”.
Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini mengumumkan kerajaan tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
Katanya, pelbagai cara dan inisiatif dilakukan untuk memudahkan peminjam PTPTN, antaranya penangguhan bayaran balik jika menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan, penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan, pemberian diskaun bayaran balik jika dilakukan bayaran secara sekaligus dengan penuh, dan bayaran balik hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian.
Sumber: Free Malaysia Today