Terkini
Tengku Maimun antara hakim ‘pro’ isu BSD, Nik Elin & SIS, persaraan wajib perlu dihormati – Peguam

- Difahamkan, BSD membawa maksud, walau apa-apa pun undang-undang dibuat Parlimen atau DUN termasuk pindaan Perlembagaan, ia boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil sekiranya ia bertentangan dengan “basic structure” Perlembagaan.
- Tengku Maimun juga antara hakim putuskan untuk batalkan sebahagian fatwa terhadap SIS Forum berkenaan fahaman pluralisme dan liberalisme baru-baru ini dan sebahagian kesalahan jenayah syariah dalam kes Nik Elin.
- Tindakan segelintir pihak menginginkan tempoh hakim-hakim tertentu dilanjutkan walaupun telah mencapai usia persaraan mungkin didorong oleh kepentingan tertentu, termasuk kecenderungan untuk meneruskan doktrin tertentu dalam sistem kehakiman negara.
- Fokus patut diberikan kepada membenarkan hakim-hakim baharu untuk naik, bagi memastikan kelestarian sistem kehakiman yang bebas dan berani di negara ini.
- Biarkan sahaja hakim-hakim yang perlu bersara wajib untuk bersara.
KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat didakwa antara hakim yang paling lantang mempromosikan atau menyokong penerapan Basic Structure Doctrine (BSD) atau Doktrin Struktur Asas dalam beberapa penghakiman.
BSD membawa maksud, walau apa-apa pun undang-undang dibuat Parlimen atau DUN termasuk pindaan Perlembagaan, ia boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil sekiranya ia bertentangan “basic structure” Perlembagaan. Takrif “basic structure” pula terpulang kepada Mahkamah yang banyak memandang kepada contoh luar seperti India dan Kanada, menurut peguam, Yusfarizal Yussof dalam satu hantaran di Facebook.
Dakwaan terhadap Tengku Maimun itu dibangkitkan oleh peguam, Aidil Khalid yang menyatakan bahawa bekas Ketua Hakim Negara tersebut juga merupakan antara hakim yang memutuskan secara majoriti, untuk membatalkan sebahagian fatwa terhadap SIS Forum (Malaysia) Sdn Bhd berkenaan fahaman pluralisme dan liberalisme baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga dikatakan antara hakim yang terlibat dalam keputusan membatalkan sebahagian kesalahan-kesalahan jenayah syariah dalam kes difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.
Kesemua keputusan tersebut dibuat bersama dua lagi hakim lain iaitu bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 2 Julai lalu, sehari selepas Tengku Maimun mencapai umur persaraan wajib, serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang akan bersara pada Ogos ini.
“Ketiga-tiga hakim ini adalah hakim yang memutuskan secara majoriti, untuk membatalkan sebahagian fatwa terhadap SIS Forum (Malaysia) Sdn Bhd berkenaan fahaman pluralism dan liberalism.
“Mereka ini juga hakim-hakim yang sama membatalkan sebahagian kesalahan-kesalahan syariah di dalam kes Nik Elin,” katanya dalam hantaran di Facebook baru-baru ini bagi mengulas isu hakim-hakim kanan tidak diberikan pelanjutan selepas sampai tempoh persaraan wajib mereka.
Menurut Aidil, isu pelanjutan itu tidak sepatutnya dijadikan permasalahan kerana Perkara 125(1) Perlembagaan telah jelas memperuntukkan tempoh jawatan dan saraan hakim Mahkamah Persekutuan ialah sehingga mencapai umur 66 tahun.
Tambahnya, walaupun wujud ruang lanjutan selama enam bulan, tapi ia bukan hak automatik hakim tersebut untuk diberikan pelanjutan, sebaliknya ia atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, selepas dinasihati Perdana Menteri.
“Jika budi bicara untuk berikan lanjutan selama 6 bulan itu tidak digunakan, maka ketua hakim dan hakim-hakim kanan yang telah capai umur persaraan perlulah bersara wajib.
“Beri ruang kepada hakim-hakim lain pula untuk naik. Kenapa nak juga muka yang sama masih menerajui kehakiman? Benda ni straightforward,” tegasnya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Aidil Khalid.
Beliau berpandangan tindakan segelintir pihak yang menginginkan agar tempoh hakim-hakim tertentu dilanjutkan walaupun telah mencapai usia persaraan mungkin didorong oleh kepentingan tertentu, termasuk kecenderungan untuk meneruskan doktrin tertentu dalam sistem kehakiman negara.
“Atau dalam kata lain, ada favouritism terhadap hakim-hakim tertentu sebab corak cara keputusannya menyebelahi mereka, sungguhpun sudah sepatutnya bersara tapi tetap nak diteruskan lagi.
“Hal ini menjadi jelas, jika kita teliti siapakah nama-nama hakim yang perlu bersara wajib dalam masa terdekat ini,” katanya yang merujuk kepada Tengku Maimun dan hakim lain.
Justeru, beliau menegaskan dalam hal ini sepatutnya fokus diberikan kepada membenarkan hakim-hakim baharu untuk naik, bagi memastikan kelestarian sistem kehakiman yang bebas dan berani di negara ini.
Sementara, hakim-hakim yang sudah mencapai usia tempoh persaraan wajib, beliau meminta agar ia dibiarkan untuk kekal bersara. — The Merdeka Times
