Connect with us

Terkini

‘Tauke’ vape jadi Ahli Lembaga Pelawat Hospital: ‘KKM khilaf dalam proses tapisan’ – Menteri Kesihatan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
  • Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad setiap pencalonan ALPH yang diangkat kepadanya telah melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil-wakil negeri masing-masing.
  • Bagaimanapun dalam pelantikan Adzwan Abdul Manas berlaku khilaf dalam proses tapisan di mana latar kerjaya calon yang dilantik mempunyai elemen Conflict of Interest dengan dasar kesihatan semasa diperjuangkan KKM.
  • Beliau jamin proses pelantikan ALPH di seluruh negara akan disemak semula.

 

KUALA LUMPUR — Susulan dakwaan seorang tokoh terkemuka dalam industri vape dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Rembau, Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan perkara itu berlaku berikutan wujud khilaf dalam proses tapisan calon ALPH tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan sebanyak 2,860 pencalonan telah diterima KKM daripada pelbagai pihak termasuk hospital, Exco Kesihatan Negeri serta pemimpin masyarakat untuk 143 hospital di seluruh negara.

Beliau berkata setiap pencalonan yang diangkat kepadanya telah melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil-wakil negeri masing-masing.

Bagaimanapun dalam isu melibatkan pelantikan individu bernama Adzwan Abdul Manas, katanya perkara itu berlaku disebabkan adanya khilaf dalam proses tapisan tersebut.

“Wujud khilaf dalam proses tapisan tersebut di mana latar kerjaya calon yang dilantik mempunyai elemen Conflict of Interest dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM.

“Untuk makluman, individu tersebut tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Rembau,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Dzulkefly berkata beliau mengakui kelemahan tersebut telah memberi impak yang besar ke atas persepsi umum terhadap KKM.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa proses pelantikan ALPH di seluruh negara akan disemak semula dan diperkemas dari aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat setempat yang selari dasar kesihatan awam negara.

“Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara, termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip,” katanya.

 

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Dzulkefly Ahmad.

 

Semalam, The Merdeka Times melaporkan seorang tokoh terkemuka dalam industri vape yang juga pengerusi kepada sebuah syarikat rokok elektronik, bernama Adzwan Abdul Manas didakwa telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, yang mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk pakar perubatan.

Surat pelantikan Adzwan yang telah ditandatangani Menteri Kesihatan itu dapat dilihat di Facebook miliknya sendiri yang dimuat naik olehnya pada 23 Jun lalu.

Susulan penularan isu itu, Adzwan menulis satu hantaran Facebook pada tengah hari semalam yang memaklumkan beliau telah melepaskan jawatan berkenaan yang pada awalnya diterima untuk membantu hubungan dua hala antara pesakit dan hospital.

Beliau memutuskan untuk meletak jawatan selepas memikirkan tentang impak dan pandangan negatif yang akan diterima disebabkan perniagaan vape.

Perkembangan itu diberitahu beliau tanpa menyatakan secara jelas tarikh peletakan jawatan tersebut, tetapi tidak lama kemudian hantaran berkenaan dilihat telah hilang begitu juga dengan hantaran bertarikh 23 Jun 2025. — The Merdeka Times

Author