Terkini
PrEP bukan penyelesaian utama tangani isu HIV remaja – Pakar Psikiatri Klinikal

- Ini kerana jangkitan HIV dalam kalangan remaja turut berkait rapat dengan isu tingkah laku seksual, tekanan sosial, dan pembentukan identiti diri yang kesemuanya berlaku dalam fasa kehidupan mereka yang masih rapuh dan mudah terpengaruh.
- Walaupun PrEP berkesan mengurangkan risiko jangkitan HIV apabila diambil dengan betul, ia tidak mencegah jangkitan kelamin lain, tidak merawat masalah kemurungan akibat konflik identiti, dan tidak menenangkan jiwa remaja yang berdepan kekeliruan arah hidup mereka hari ini.
- Langkah abstinen iaitu menjauhi seks bebas, seks rambang dan seks luar tabii dan seks sebelum perkahwinan adalah benteng sebenar melawan HIV, STI dan keruntuhan moral.
KUALA LUMPUR — Pemberian ubat pencegahan jangkitan HIV seperti Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) bukanlah penyelesaian utama dalam menangani isu HIV, terutamanya dalam kalangan remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Pakar Psikiatri Klinikal yang juga Aktivis Kesihatan, Dr Najwa Hanim menegaskan, dalam isu menangani jangkitan HIV melibatkan kelompok remaja, ia bukan sekadar soal rawatan atau ubatan semata-mata.
Sebaliknya, jangkitan HIV dalam kalangan remaja turut berkait rapat dengan isu tingkah laku seksual, tekanan sosial, dan pembentukan identiti diri yang kesemuanya berlaku dalam fasa kehidupan mereka yang masih rapuh dan mudah terpengaruh.
Daripada sudut psikologi, perkembangan golongan remaja masih memerlukan bimbingan, kawalan dan sempadan yang sihat.
Jelasnya, walaupun PrEP berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan HIV apabila diambil dengan betul, ia tidak mencegah jangkitan kelamin lain, tidak merawat masalah kemurungan akibat konflik identiti, dan tidak menenangkan jiwa remaja yang berdepan kekeliruan dengan arah hidup mereka hari ini.
“Bahkan, jika akses kepada PrEP dilonggarkan tanpa sempadan nilai, ia boleh disalah guna dan menjadi ‘lesen selamat’ untuk meneruskan tingkah laku berisiko tinggi, termasuk hubungan sejenis secara tersembunyi dan berulang.
“Memberi PrEP sambil membiarkan akar permasalahan berterusan ibarat mengelap lantai yang basah, sedangkan paip masih dibiarkan terbuka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, apa lebih berbahaya dalam hal ini adalah jika kelak ada suara-suara yang mencadangkan agar PrEP diberi tanpa kebenaran ibu bapa dan kemudiannya suara bergema itu berubah menjadi satu dasar.
Sedangkan katanya, dalam sistem perubatan negara ini, ibu bapa bukan sekadar penjaga sah mereka adalah pelindung dan pendidik utama anak anak.
Justeru, tindakan menafikan hak mereka dalam keputusan penting anak bawah umur bukan sahaja bercanggah garis panduan etika perubatan dan Akta Kanak-Kanak 2001, malah mengancam struktur kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat.
“Kita tidak boleh mendiamkan diri apabila wujud usaha untuk menormalisasikan budaya dan gaya hidup yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya kita dan menunggang atas nama kesihatan awam atau hak asasi manusia tanpa sempadan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mencegah homoseksualiti bukanlah satu bentuk kebencian, tetapi langkah mendidik dan melindungi serta ia satu mesej kesihatan awam yang wajar disampaikan dengan kasih sayang dan hikmah.
Tegasnya lagi, langkah abstinen iaitu menjauhi seks bebas, seks rambang dan seks luar tabii dan seks sebelum perkahwinan bukan idea kolot, tetapi ia adalah tindakan paling berkesan dan selari dengan akal, sains dan wahyu.
“Langkah itu adalah benteng sebenar melawan HIV, STI dan keruntuhan moral,” katanya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Najwa Hanim.
Justeru, beliau menyeru agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), NGO yang tidak berkepentingan serta masyarakat keseluruhan, berganding bahu menyusun semula pendekatan dalam menangani isu jangkitan HIV tersebut.
“Kami di I-Medik sendiri serius dalam berkempen dan turun kepada masyarakat dalam memberi kesedaran tentang konsep pendidikan seksualiti yang patuh syarie tanpa mengabaikan konsep nilai, budaya dan agama,” kata Dr Najwa.
Mengakhiri kenyataannya, Dr Najwa menegaskan bahawa PrEP mungkin salah satu alat intervensi, namun ia tidak boleh menjadi jalan utama dalam menangani krisis ini.
