Connect with us

Antarabangsa

Pemimpin BRICS desak gencatan senjata tanpa syarat di Gaza

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: BRICS
  • Gesaan itu dibuat dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada hari pertama Sidang Kemuncak BRICS ke-17 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.
  • “Kami menggesa semua pihak supaya terlibat secara jujur dalam rundingan lanjut bagi mencapai gencatan senjata segera, berkekalan dan tanpa syarat, serta pengunduran sepenuhnya pasukan Israel dari Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan itu.

RIO DE JANEIRO — Pemimpin negara-negara BRICS pada Ahad menggesa pelaksanaan gencatan senjata tanpa syarat di Semenanjung Gaza bagi menamatkan perang yang telah berlarutan selama 22 bulan, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Gesaan itu dibuat dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada hari pertama Sidang Kemuncak BRICS ke-17 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.

Menerusi kenyataan itu, pemimpin dan negara-negara BRICS menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat Palestin susulan pencerobohan berterusan Israel ke atas Gaza.

“Kami menggesa semua pihak supaya terlibat secara jujur dalam rundingan lanjut bagi mencapai gencatan senjata segera, berkekalan dan tanpa syarat, serta pengunduran sepenuhnya pasukan Israel dari Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan itu.

BRICS turut menegaskan bahawa Gaza adalah sebahagian daripada wilayah Palestin yang sah serta menekankan kepentingan menyatukan Tebing Barat dan Gaza di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin.

Dalam kenyataan yang sama, pemimpin BRICS mengecam serangan ketenteraan terhadap infrastruktur awam Iran dan kemudahan nuklear aman yang berada di bawah pemantauan penuh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), menyifatkannya sebagai “pelanggaran undang-undang antarabangsa”.

“Kami mengecam serangan ketenteraan terhadap Iran yang bermula pada 13 Jun 2025, yang jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Menerusi deklarasi itu juga, pemimpin BRICS menyatakan harapan agar usaha semasa untuk menyelesaikan krisis di Ukraine dapat membawa kepada penyelesaian damai.

Mereka turut menghargai cadangan-cadangan semasa berkaitan usaha pengantaraan dalam isu Ukraine.

BRICS kini dianggotai oleh 11 negara membangun utama, yang mewakili kira-kira separuh daripada populasi dunia dan 40 peratus keluaran ekonomi global.– BERNAMA-QNA

Author