Connect with us

Terkini

Malaysia tak kebal: Perang Israel-Iran boleh gugat ekonomi rakyat – Prof Tan Sri Noor Azlan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pengarah Pusat Pemikiran dan Hala Tuju Negara (MINDA UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali
  • Sekitar 20-30 peratus bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz yang kini terancam akibat perang Israel-Iran. Penutupan atau gangguan di selat ini boleh melumpuhkan perdagangan minyak global, meningkatkan kos tenaga dan pengangkutan seluruh dunia.
  • Malaysia tidak bergantung secara langsung kepada Timur Tengah sebagai pasaran utama namun kesan tidak langsung akibat gangguan perdagangan global dan logistik boleh jejas permintaan terhadap barangan Malaysia
  • Gangguan kepada rantaian bekalan dan peningkatan kos penghantaran boleh menyebabkan kilang-kilang di Malaysia kurangkan produksi dan overtime, menjejaskan pendapatan isi rumah.

BANGI – Krisis geopolitik membabitkan perang antara Israel dan Iran berpotensi membawa kesan besar terhadap ekonomi Malaysia, meskipun hubungan dagang negara dengan Timur Tengah secara langsung adalah terhad.

Demikian amaran yang disuarakan oleh Pengarah Pusat Pemikiran dan Hala Tuju Negara (MINDA UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dalam program Bicara Persada anjuran MINDA UKM di Bangi.

Menurut beliau, kesan konflik bukan hanya tertumpu kepada negara-negara yang terlibat secara langsung, sebaliknya boleh mencetuskan gelombang gangguan terhadap rantaian bekalan global, laluan perdagangan strategik serta peningkatan kos logistik yang akhirnya menjejaskan pendapatan isi rumah di Malaysia.

“Kalau krisis ini tidak dikawal, saya boleh beri jaminan 100 peratus Malaysia akan terkena tempiasnya,” tegas beliau.

Selat Hormuz: Laluan Minyak Dunia yang Terancam

Prof Noor Azlan memberi tumpuan kepada kedudukan strategik Selat Hormuz iaitu laluan penting dunia yang mengendalikan kira-kira 20 hingga 30 peratus eksport minyak global.

Laluan sempit yang dikawal oleh Iran, Oman dan Emiriah Arab Bersatu itu boleh menjadi titik genting jika perang memuncak.

“Tutup saja titik itu, atau jadikan ia sukar dilalui, ekonomi global boleh runtuh. It’s that simple,” ujarnya.

Kesan Tidak Langsung: Kos Pengangkutan, Permintaan Global & Pekerjaan Tempatan

Meskipun Malaysia tidak bergantung kepada pasaran Timur Tengah secara langsung, dengan negara seperti Iran, Iraq dan Oman hanya menyumbang kurang 1 peratus kepada eksport negara, Prof Noor Azlan menjelaskan bahawa gangguan global akan tetap memberi kesan besar terhadap Malaysia.

Antara impaknya termasuk peningkatan kos penghantaran kontena dan kapal, yang kini sudah menunjukkan trend menaik, sekali gus mengurangkan daya saing barangan eksport Malaysia di pasaran global.

Beliau memberi contoh sektor perkilangan seperti penghawa dingin, di mana kos pengangkutan yang tinggi boleh menyebabkan pembeli antarabangsa beralih ke negara lain.

“Bayangkan pekerja kilang aircond di Bangi yang bergantung kepada kerja lebih masa. Tiba-tiba permintaan jatuh, overtime dibatalkan, pendapatan terjejas. Ini bukan hal jauh, ini hal poket rakyat,” jelas beliau.

Ekonomi Terbuka: Kelemahan atau Keperluan?

Menjawab soalan moderator iaitu Ketua Pengarang The Merdeka Times, Syafinaz Yunus sama ada ekonomi terbuka menjadikan Malaysia terdedah kepada krisis global, beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak mempunyai pilihan.

“Kalau kita tutup macam Myanmar, ya  tiada pencuri, tapi hidup dalam gelap, terkepung. Malaysia mesti terus hidup dalam dunia terbuka, cuma kita perlu ada buffer yang cukup,” katanya, merujuk kepada keperluan dasar penampan ekonomi jika berlaku kejutan global.

Beliau menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia perlu memahami bahawa konflik antarabangsa, walaupun kelihatan jauh secara geografi, boleh memberikan kesan nyata terhadap kehidupan harian dan kemakmuran ekonomi negara.

Program Bicara Persada anjuran MINDA UKM menghimpunkan pakar pelbagai bidang untuk membedah isu-isu antarabangsa dari sudut kepentingan Malaysia.

Sesi kali ini menumpukan kepada “Perang Israel-Iran: Implikasi ke atas Malaysia dan Orde Baharu Dunia”. -The Merdeka Times

Author