Connect with us

Terkini

Majlis antara agama persoal Anwar berkenaan lanjutan khidmat 3 hakim kanan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Majlis itu merujuk kenyataan Anwar sebelum ini yang menegaskan bahawa prosedur mesti dipatuhi apabila seseorang hakim mencapai usia persaraan.
  • Namun, MCCBCHST menegaskan bahawa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), yang disebut perdana menteri dalam kenyataannya, tidak mempunyai peranan dalam menentukan lanjutan perkhidmatan hakim.
  • “Perdana menterilah yang mesti merujuk lanjutan perkhidmatan kepada Yang di-Pertuan Agong,” tegas MCCBCHST.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung lanjutan tempoh perkhidmatan tiga hakim kanan, sebagaimana yang diwajibkan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Majlis itu merujuk kenyataan Anwar sebelum ini yang menegaskan bahawa prosedur mesti dipatuhi apabila seseorang hakim mencapai usia persaraan.

Namun, MCCBCHST menegaskan bahawa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), yang disebut perdana menteri dalam kenyataannya, tidak mempunyai peranan dalam menentukan lanjutan perkhidmatan hakim, lapor MalaysiaKini.

“Perdana menterilah yang mesti merujuk lanjutan perkhidmatan kepada Yang di-Pertuan Agong,” tegas MCCBCHST.

Majlis itu turut membangkitkan persoalan sama ada Anwar telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Seri Paduka bagi lanjutan enam bulan seperti kebiasaan untuk tiga hakim yang telah bersara – bekas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan.

Menurut MCCBCHST, perdana menteri tidak boleh sekadar menyatakan keperluan prosedur dipatuhi tanpa menjelaskan sama ada permohonan lanjutan telah dikemukakan dan apakah keputusan Yang di-Pertuan Agong terhadap permohonan tersebut.

Majlis itu turut merayu agar kerajaan memberikan penjelasan mengapa lanjutan tempoh perkhidmatan yang lazimnya diberikan tidak diberikan kepada ketiga-tiga hakim terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam Pendaftar Utama Mahkamah Persekutuan mengumumkan pelantikan Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim sebagai pemangku Ketua Hakim Negara.

Pada pagi ini pula, Hasnah melantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Yusof sebagai pemangku Presiden Mahkamah Rayuan. – The Merdeka Times

Author