Antarabangsa
Askar zionis bakar diri akibat trauma perang di Gaza dan Lubnan

- Menurut kenyataan ibunya kepada media Israel, Edri sering mengadu mengalami halusinasi dan trauma berat.
- “Dia pernah berkata kepada saya, Mak, saya sentiasa terhidu bau mayat yang terbakar dan nampak mayat-mayat itu di mana-mana,” katanya dengan penuh emosi.
- Keluarga Edri menuntut agar beliau diberikan penghormatan pengebumian ketenteraan, namun permintaan itu ditolak oleh Kementerian Pertahanan Israel
- Sejak bermulanya serangan ke atas Gaza, tentera Israel mengesahkan sekurang-kurangnya 40 anggota aktif, kebanyakannya dari kalangan simpanan, telah membunuh diri.
TEL AVIV – Seorang askar simpanan Israel berusia 24 tahun dikenali sebagai Daniel Edri ditemui maut selepas membakar dirinya dalam sebuah kereta di kawasan hutan berhampiran bandar Safad yang diduduki rejim Zionis.
Edri, yang pernah bertugas di Gaza dan Lubnan dalam misi ketenteraan simpanan, dipercayai mengalami tekanan trauma melampau akibat kekejaman dan kengerian yang disaksikannya semasa operasi ketenteraan di kedua-dua kawasan tersebut.
Menurut kenyataan ibunya kepada media Israel, Edri sering mengadu mengalami halusinasi dan trauma berat.
“Dia pernah berkata kepada saya, Mak, saya sentiasa terhidu bau mayat yang terbakar dan nampak mayat-mayat itu di mana-mana,” katanya dengan penuh emosi.
Laporan media menyatakan Edri mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) yang serius sejak penglibatannya dalam serangan di Gaza yang dilabel sebagai tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh masyarakat antarabangsa serta perang di Lubnan.
Kondisi mental Edri semakin teruk selepas kematian dua rakannya dalam serangan pada 7 Oktober 2023.
Selepas kejadian itu, beliau nekad menyertai semula pasukan simpanan untuk berkhidmat di Gaza dan Lubnan hingga beliau diberhentikan pada penghujung November 2024.
Menurut keluarganya, Edri kerap mengalami ledakan emosi, memusnahkan harta benda di rumah, dan pernah menulis kepada rakannya.
“Dengar sini, saudara, aku tak mampu bertahan. Aku bahaya. Aku rasa macam bom jangka.” tulis Edri.
Keluarga Edri menuntut agar beliau diberikan penghormatan pengebumian ketenteraan, namun permintaan itu ditolak oleh Kementerian Pertahanan Israel kerana Edri tidak berada dalam status aktif semasa kematiannya.
Walaupun ada mekanisme bagi keluarga memohon pengiktirafan sebagai mangsa perang bagi kes bunuh diri selepas tamat perkhidmatan, pengebumian seperti itu jarang diluluskan.
Sejak bermulanya serangan ke atas Gaza, tentera Israel mengesahkan sekurang-kurangnya 40 anggota aktif, kebanyakannya dari kalangan simpanan, telah membunuh diri.
Tiada rekod rasmi bagi askar yang telah menamatkan perkhidmatan, namun pemantauan media mendapati sekurang-kurangnya 11 anggota simpanan yang pernah bertugas di Gaza turut membunuh diri akibat masalah kesihatan mental berkaitan perkhidmatan mereka.-The Merdeka Times
