Terkini
Papan tanda ‘lacur’ bahasa Melayu: Majlis Perbandaran Manjung ambil tindakan

- Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MPM, tindakan itu selepas siasatan dan pemantauan dilakukan di lokasi berpandukan semua gambar yang dikongsikan.
- MPM keluarkan notis pematuhan kepada semua pemilik perniagaan untuk mengemaskini papan tanda ikut tatabahasa yang tepat merujuk DBP.
- 323 notis arahan tukar paparan iklan telah dilaksanakan pihak MPM bermula 2022 sehingga 2024.
- “Berdasarkan semakan pihak MPM juga, sebahagian gambar yang dikongsikan mempunyai kelulusan Bahasa Kebangsaan dan ia berpandukan kepada perkara penggunaan nama sesebuah firma, pertubuhan, syarikat, persatuan, pertubuhan koperasi atau organisasi lain yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965, Akta Pertubuhan 1966 atau Akta Koperasi 1993,” katanya.
KUALA LUMPUR — Susulan wujud dakwaan ketidakpatuhan paparan iklan di kawasan pentadbirannya, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan telah diambil berdasarkan peruntukan undang-undang terhadap sebarang pelanggaran dan ketidakpatuhan yang didapati berlaku.
Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MPM, tindakan itu selepas siasatan dan pemantauan dilakukan di lokasi berpandukan semua gambar yang dikongsikan.
Jelasnya, MPM juga mengeluarkan notis pematuhan kepada semua pemilik perniagaan untuk mengemaskini papan tanda mengikut tatabahasa yang tepat dengan merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Tambah kenyataan itu, pemberian notis tersebut telah dilaksanakan dari masa ke semasa hingga tahun ini.
“Merujuk kepada satu hantaran yang tular di media sosial dan juga satu laporan di portal berita dalam talian berkaitan ketidakpatuhan paparan iklan, MPM berpandukan kepada UUK Iklan 2013 (Undang-undang Kecil Papan Iklan Majlis Perbandaran Manjung 2013) sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.
“Sejumlah 323 notis arahan tukar paparan iklan telah dilaksanakan oleh pihak MPM bermula tahun 2022 sehingga 2024.
“Berdasarkan semakan pihak MPM juga, sebahagian gambar yang dikongsikan mempunyai kelulusan Bahasa Kebangsaan dan ia berpandukan kepada perkara penggunaan nama sesebuah firma, pertubuhan, syarikat, persatuan, pertubuhan koperasi atau organisasi lain yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965, Akta Pertubuhan 1966 atau Akta Koperasi 1993.
“Selain itu, terdapat beberapa gambar dikongsikan tidak tertakluk kepada bidang kuasa UUK Iklan 2013,” kata kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Foto: Kenyataan media dikeluarkan MPM di Facebook-nya hari ini.
Kenyataan itu dilihat dikeluarkan selepas The Merdeka Times (TMT) pada Selasa melaporkan MPM akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung isu pelacuran bahasa Melayu pada papan tanda premis dan iklan yang didakwa berlaku di Ayer Tawar, Perak.
TMT sebelum ini melapor pengguna Facebook, Randuk menggesa MPM mengambil tindakan tegas dan pantas berhubung isu tersebut.
Randuk membuat gesaan berkenaan selepas mengunjungi kawasan itu pada Jumaat lalu di mana dia turut menyertakan lebih 20 gambar didakwa berlakunya ‘pelacuran’ bahasa Melayu di kawasan tersebut ke atas papan tanda premis atau iklan, termasuk melibatkan rumah ibadat bukan Islam.
Papan tanda atau iklan itu kebanyakan memaparkan penggunaan tulisan bahasa Cina, bahasa Inggeris dan Tamil tanpa menyertakan tulisan bahasa Melayu.
Mengulas lanjut, MPM menegaskan bahawa semua paparan atau visual papan iklan di premis perniagaan adalah tertakluk di bawah UUK Iklan 2013.
Ia sebagaimana dijelaskan di Bahagian 11, Perkara 3.(1) berkaitan penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu — perkataan dan huruf dalam Bahasa Kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dalam warna dan kedudukan yang lebih jelas daripada perkataan, huruf atau tulisan dalam Bahasa lain.
“Selain itu, dinyatakan juga sekiranya menggunakan nama sesebuah firma, pertubuhan, syarikat, persatuan, pertubuhan koperasi atau organisasi lain yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965, Akta Pertubuhan 1966 atau Akta Koperasi 1993 tidak terdiri atau termasuk perkataan dalam Bahasa Kebangsaan maka perkataan itu tidak perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan,” kata kenyataan itu.
Katanya, pihak MPM sentiasa konsisten mengambil tindakan tegas terhadap paparan iklan melibatkan Bahasa Kebangsaan dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mengatasi isu ini di dalam bidang kuasa perundangan yang diperuntukkan untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan. — The Merdeka Times
