Connect with us

Terkini

Kes HIV remaja meningkat: PN gesa kerajaan laksana pencegahan lebih berani

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat PN, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof
  • PN cadang sepuluh langkah strategik merangkumi usaha pencegahan dan intervensi, termasuk memperkenalkan kurikulum kesihatan reproduktif yang menyeluruh dan berakhlak.
  • Berdasarkan laporan KKM terdapat 3,185 kes baharu HIV dilapor sepanjang tahun lalu, dengan remaja berusia 13 hingga 19 tahun mewakili empat peratus daripada jumlah itu.
  • “Ini menunjukkan kegagalan sistem semasa dalam menyampaikan pendidikan kesihatan seksual yang berkesan serta kelemahan institusi dalam membentuk nilai dan emosi yang seimbang kepada golongan muda.” – Ketua Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat PN, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof

KUALA LUMPUR — Susulan peningkatan kes jangkitan HIV, khususnya dalam kalangan remaja dan belia di negara ini, Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan melaksanakan langkah pencegahan dan intervensi lebih berani serta menyeluruh.

Ketua Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat PN, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata dalam hal ini PN mencadangkan sepuluh langkah strategik merangkumi usaha pencegahan dan intervensi, termasuk memperkenalkan kurikulum kesihatan reproduktif yang menyeluruh dan berakhlak.

Juga audit kandungan digital sekolah, kempen media sosial berasaskan testimoni remaja, serta latihan kepada guru dan warden asrama bagi mengesan risiko awal pelajar.

Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, cadangan turut meliputi penubuhan klinik intervensi mesra remaja di fasiliti kesihatan terpilih, pembentukan ‘Pasukan Rakan Rescue’ di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), pelaksanaan program pemulihan identiti dan akhlak.

Selain, mengadakan pembangunan aplikasi mudah alih bagi bantuan rahsia, serta penyediaan dana mikro kepada NGO belia dan kelab pelajar.

“Isu ini tidak seharusnya dipolitikkan. Ia menuntut keberanian untuk bercakap benar dan komitmen bersama semua pihak bagi menyelamatkan generasi masa depan daripada ancaman yang semakin serius,” katanya dipetik Harakahdaily hari ini.

Zailah berkata berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat 3,185 kes baharu HIV dilapor sepanjang tahun lalu, dengan remaja berusia 13 hingga 19 tahun mewakili empat peratus daripada jumlah itu.

Katanya, trend penularan kini amat membimbangkan apabila majoriti kes tidak lagi berpunca daripada penggunaan jarum suntikan, sebaliknya disebabkan hubungan seksual tanpa perlindungan, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa.

“Ini menunjukkan kegagalan sistem semasa dalam menyampaikan pendidikan kesihatan seksual yang berkesan serta kelemahan institusi dalam membentuk nilai dan emosi yang seimbang kepada golongan muda,” katanya.

Lebih merisaukan, menurut beliau adalah apabila penularan jangkitan melalui hubungan sesama jantina semakin meningkat, sekali gus memperlihatkan keperluan mendesak untuk pendekatan pencegahan lebih berani, progresif dan bersifat akar umbi. — The Merdeka Times

Author