Terkini
Diabai ibu bapa punca majoriti kanak-kanak masuk institusi JKM

- Menurut Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, seramai 999 kanak-kanak atau lebih 50 peratus daripada keseluruhan kes kemasukan, iaitu 1,763 adalah disebabkan pengabaian ibu bapa dan penjaga, sementara 180 kes lagi kerana penderaan sama ada mangsa dicederakan dan dianiaya.
- Antara faktor pengabaian ibu bapa terhadap anak adalah disebabkan pasangan suami isteri terlampau tertekan dengan bebanan hidup, selain ada terbabit jenayah dadah.
- “Lebih malang, ada ibu bapa atau penjaga membuang terus anak mereka, membabitkan 92 kes yang berada di institusi seliaan JKM.
- “Selain itu, 102 kanak-kanak yang berada di institusi tidak dilindungi ibu bapa atau penjaga, manakala 85 lagi disebabkan ibu bapa atau penjaga disabitkan kesalahan,” katanya dipetik BH semalam.
KUALA LUMPUR — Majoriti kemasukan kanak-kanak ke institusi perlindungan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika ini, didapati berpunca daripada pengabaian ibu bapa dan penjaga masing-masing.
Jika kanak-kanak itu tidak diselamatkan JKM menerusi penempatan di institusi berkenaan, ia menimbulkan persoalan terhadap masa depan mereka yang diabaikan dalam aspek emosi dan fizikal.
Menurut Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, seramai 999 kanak-kanak atau lebih 50 peratus daripada keseluruhan kes kemasukan, iaitu 1,763 adalah disebabkan pengabaian ibu bapa dan penjaga, sementara 180 kes lagi kerana penderaan sama ada mangsa dicederakan dan dianiaya.
Beliau berkata antara faktor pengabaian ibu bapa terhadap anak adalah disebabkan pasangan suami isteri terlampau tertekan dengan bebanan hidup, selain ada terbabit jenayah dadah.
“Lebih malang, ada ibu bapa atau penjaga membuang terus anak mereka, membabitkan 92 kes yang berada di institusi seliaan JKM.
“Selain itu, 102 kanak-kanak yang berada di institusi tidak dilindungi ibu bapa atau penjaga, manakala 85 lagi disebabkan ibu bapa atau penjaga disabitkan kesalahan,” katanya dipetik BH semalam.
Kes lain melibatkan terbabit jenayah berkaitan harta benda yang mewakili 39 kanak-kanak; kanak-kanak tidak terkawal (10), terbabit jenayah dadah (25) dan jenayah berkaitan sabit manusia (45).
Che Murad berkata dalam usaha membendung perbuatan ibu bapa mengabaikan anak, JKM turut melaksanakan program intervensi terhadap kelompok sasaran, khususnya ibu membabitkan kaunseling dan bimbingan.
Beliau berkata JKM juga melaksanakan program psikopendidikan dalam organisasi dan komuniti melalui penyampaian perkhidmatan antaranya ceramah, pameran, outreach dan sebagainya.
“Adalah penting supaya ibu bapa ditekankan dengan ilmu keibubapaan menerusi program yang dilaksanakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Jika adanya berlaku pengabaian yang mungkin disebabkan ibu bapa terlampau tertekan, atau pengambilan dadah, masyarakat harus bantu… (masalah) sekarang ini, kadang-kala jiran pun kita tidak kenal,” katanya. — The Merdeka Times
