Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Perancis: Lelaki Muslim dibunuh, ditikam lebih 40 kali di masjid

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto : Suspek, yang hanya dikenal pasti sebagai Olivier H.

GARD – Seorang jemaah Muslim yang dikenali Aboubakr, ditikam hingga mati dalam satu serangan kejam yang disifatkan sebagai Islamofobia di Masjid La Grande Combe, wilayah Gard di selatan Perancis.

Penyerang tersebut menikam jemaah itu lebih 40 kali, kemudian merakamnya menggunakan telefon bimbit sambil memaki-hamun Allah dan Islam sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Semasa kejadian, mangsa yang berusia dalam 20-an, sebenarnya sedang mengajar suspek cara bersolat, selepas suspek berpura-pura ingin memeluk Islam, lapor Aljazeera.

Ketika mangsa dalam posisi sujud, suspek melancarkan serangan kejamnya dan menikam mangsa lebih 40 kali.

Mayat mangsa hanya ditemui kemudian pada waktu pagi keesokannya apabila jemaah lain tiba di masjid untuk solat Jumaat.

Menurut pendakwa raya wilayah itu, Abdelkrim Grini, suspek, yang hanya dikenal pasti sebagai Olivier H. – lahir di Perancis pada tahun 2004 dan menganggur tanpa rekod jenayah.

Sementara itu, Masjid Agung Paris mengutuk serangan tersebut dalam satu kenyataan dan berkata mangsa baru sahaja selesai membersihkan masjid sebelum dibunuh.

Mereka menggesa pihak berkuasa untuk segera mendedahkan punca serangan itu, meminta pihak kehakiman menentukan sama ada ia diklasifikasikan sebagai tindakan “keganasan” dan mengambil kira “skala dan keseriusannya … demi keselamatan semua”.

Tragedi berkenaan turut mendapat perhatian Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

“Sikap perkauman dan kebencian berasaskan agama tidak mempunyai tempat di Perancis. Kebebasan beribadah tidak boleh dicabuli,” tulis Presiden Emmanuel Macron di platform X pada Ahad, dalam kenyataan pertamanya mengenai pembunuhan itu, sambil menyampaikan sokongan beliau kepada warga Muslim Perancis.

Bertindak balas daripada insiden itu, kumpulan kempen SOS Racisme menganjurkan perarakan menentang Islamofobia di La Grand-Combe.

Beberapa perarakan lagi turut dirancang pada malam Ahad di seluruh Perancis, termasuk di Place de la République di Paris. – The Merdeka Times

Author