Terkini
(VIDEO) Peguam bimbang status Islam agama Persekutuan sekadar frasa

KUALA LUMPUR — Malaysia tidak pernah meminda Perlembagaan berkaitan peruntukan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan. Namun ketika ini adakah agama Islam di negara ini semakin dimartabatkan atau sebaliknya.
Berikut antara persoalan yang diajukan peguam, Mohd Faizi Che Abu ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan sekalipun DAP mempunyai 148 kerusi, ia tidak memungkinkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Islam dan Melayu Bumiputera dipinda.
Jelas Faizi, walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perlembagaan namun ia kelihatan sekadar frasa iaitu ungkapan tanpa makna apabila penguatkuasaan, implementasi dan realitinya dilihat semakin tiada.
“Jadi di mana izzah kebesaran perkara yang mengatakan Islam adalah agama rasmi persekutuan? Masih ada lagi (dalam Perlembagaan), tetapi penguatkuasaan itu sekarang sudah rasa macam ia hanyalah sekadar wording yang tidak membawa makna.
“Walaupun ada selepas ini, hak orang Melayu kat situ…. Majlis Raja-raja ada, tetapi kita risau ia akan menjadi seperti mana frasa Islam adalah agama rasmi persekutuan sekadar frasa di sana.
“Tetapi penguatkuasaannya? Implementasi dan realitinya kosong,” kata Mohd Faizi kepada The Merdeka Times ketika ditemui di Studio Terengganu Strategic & Integrity Institute KL di sini selepas menjadi panel program Bicara Parlimen.
Tambah beliau, sebelum ini masyarakat Muslim bebas untuk berbicara mengenai agama mahupun hukum-hakam agama Islam tanpa dilabel dengan pelbagai gelaran negatif, namun hari ini saat berbicara isu berkaitan hukum Islam akan digelar ekstremis.
Pada 23 April lalu, Asyraf Wajdi turut menjelaskan bahawa sebarang pindaan Perlembagaan membabitkan kedudukan Islam dan Melayu, Bumiputera – iaitu Perkara 3 dan 153 tidak akan berlaku jika tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
Katanya, itu adalah perkara asas perlu difahami supaya segala fitnah dan tohmahan menyatakan seolah-olah UMNO hari ini akan menjual negara, perjuangan Islam dan bangsanya kepada orang lain (dihentikan).
Mengulas lanjut, Faizi berkata kita mungkin mempunyai ramai Ahli Parlimen Melayu-Islam, tetapi sekiranya kelompok itu tidak bersatu, kita tidak akan ke mana-mana.
“Kalau pun Perlembagaan berkenaan hak orang Melayu dan agama Islam itu tidak boleh dipinda, tetapi penguatkuasaan dia akan menjadi lemah… Bila menjadi lemah, automatik ia akan menyebabkan semakin terhakis,” katanya. — The Merdeka Times
