Terkini
Sempena lawatan Xi Jinping ke Malaysia, saluran TV Malaysia siar rancangan TV China

- Bermula 13 April, saluran TV Bernama, TV AlHijrah, platform TV pintar Coolita, dan 8TV akan menyiarkan pelbagai rancangan televisyen pilihan CMG seperti Kecintaan Xi Jinping terhadap budaya; China dari udara: Edisi Xin Jiang; Membebaskan diri daripada kemiskinan; Persidangan Perubatan Tradisional Cina; China yang bergejolak dan Suara Gen Z.
- Perkara itu dilaporkan media berbahasa Mandarin, Oriental Daily pada Ahad lalu yang diterjemah ke bahasa Melayu oleh pengguna Facebook yang juga seorang guru bahasa Mandarin, Rafizah Cian Lin pada Isnin.
- Timbalan Menteri Jabatan Propaganda Pusat Parti Komunis China, yang juga Ketua CMG, Shen Haixiong berkata tayangan tersebut merupakan satu inisiatif penting dalam pertukaran budaya antara CMG dan media Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan persahabatan dua negara.
KUALA LUMPUR ––Sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu ini, beberapa platform media di negara ini bakal menayangkan rancangan televisyen terbitan China Media Group (CMG).Bermula 13 April, saluran TV Bernama, TV AlHijrah, platform TV pintar Coolita, dan 8TV akan menyiarkan pelbagai rancangan televisyen pilihan CMG seperti Kecintaan Xi Jinping terhadap budaya; China dari udara: Edisi Xin Jiang; Membebaskan diri daripada kemiskinan; Persidangan Perubatan Tradisional Cina; China yang bergejolak dan Suara Gen Z.
Perkara itu dilaporkan media berbahasa Mandarin, Oriental Daily pada Ahad lalu yang diterjemah ke bahasa Melayu oleh pengguna Facebook yang juga seorang guru bahasa Mandarin, Rafizah Cian Lin pada Isnin.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Rafizah Cian Lin.
Sementara itu, Timbalan Menteri Jabatan Propaganda Pusat Parti Komunis China, yang juga Ketua CMG, Shen Haixiong berkata tayangan tersebut merupakan satu inisiatif penting dalam pertukaran budaya antara CMG dan media Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan persahabatan dua negara.
Shen Haixiong berkata tayangan itu bukan sahaja membantu penonton Malaysia memahami falsafah kepimpinan Xi Jinping dan usaha China membasmi kemiskinan, malah turut memperlihatkan kehangatan rakyat China serta kekayaan budaya mereka.
Tayangan rancangan televisyen itu juga adalah usaha berterusan CMG untuk memperkenalkan rancangan berkualiti dari China kepada penonton Malaysia, dalam masa sama memaparkan gambaran sebenar China yang moden.
Semua rancangan televisyen tersebut akan disertakan dengan sari kata Bahasa Melayu.
Xi Jinping dilapor akan mengadakan lawatan ke Malaysia bermula hari ini hingga 17 April di mana semalam Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan lawatan itu adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Hubungan diplomatik Malaysia dan China terjalin sejak 31 Mei 1974. Kedua-dua negara, yang meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun lalu, menikmati hubungan dua hala yang kukuh.
Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).
Difahamkan, Rafizah adalah seorang guru bahasa Mandarin yang sering berkongsikan reaksi netizen daripada akhbar berbahasa Cina antara lain membabitkan isu pendidikan Cina, Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa kebangsaan, serta menterjemahkan artikel-artikel terkini daripada portal bahasa Mandarin kepada bahasa Melayu.— The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login