Terkini
Pemuda PAS desak kerajaan haramkan guna vape seluruh negara

- Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata langkah melarang penjualan vape sudah dilaksanakan Kerajaan Terengganu yang akan mula berkuat kuasa 1 Ogos ini.
- “Kami menggesa kerajaan persekutuan mengambil langkah lebih berani dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape di seluruh negara,” — Hanif Jamaluddin.
- Menurut Hanif, kebimbangan orang ramai terhadap penggunaan vape adalah berasas memandangkan laporan terkini menunjukkan cecairnya mengandungi dadah sintetik.
- “Pusat Racun Negara (PRN) mendedahkan bahawa cecair vape yang sebelum ini dikaitkan dengan ‘magic mushroom’ sebenarnya mengandungi dadah sintetik berbahaya, termasuk ketamin, phencyclidine dan dadah jenis amphetamine yang boleh menyebabkan keracunan teruk sehingga membawa maut,” katanya.
KUALA LUMPUR — Pemuda PAS Malaysia mendesak kerajaan supaya segera mengharamkan sepenuhnya penjualan atau penggunaan vape di seluruh negara sebagai langkah melindungi kelompok muda daripada bahaya penyalahgunaan bahan terlarang.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata langkah melarang penjualan vape sudah dilaksanakan Kerajaan Terengganu yang akan mula berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu itu sebagai berpandangan jauh, Hanif berkata ia juga sekali gus melindungi generasi muda daripada kesan negatif penggunaan vape.
“Kami menggesa kerajaan persekutuan mengambil langkah lebih berani dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape di seluruh negara,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini dilapor sedia menyemak semula pelaksanaan dasar berkaitan generasi penamat (GEG) undang-undang kawalan produk merokok.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, semakan hanya akan dibuat jika ada keperluan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik.
Dzulkefly berkata demikian ketika ditanya berkenaan gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya KKM melaksana larangan sepenuhnya penjualan vape dan rokok elektronik yang dilihat membawa pelbagai isu sosial dalam kalangan pelajar. Gesaan itu timbul susulan seorang pelajar Tingkatan 3 dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar selepas mengalami sawan, disyaki berpunca menghisap vape baru-baru ini.
Sementara itu, Hanif berkata Pemuda PAS juga mahu kerajaan segera melakukan pindaan undang-undang supaya cecair vape dimasukkan dalam Akta Racun 1952 dan membawa semula usul Rang Undang-undang Generasi Penamat Rokok (GEG) ke Parlimen.
Katanya, Pemuda PAS turut menyokong usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan KKM memperketatkan pengawasan penggunaan vape, termasuk dalam kalangan pelajar dan kelompok muda.
Menurut beliau, kebimbangan orang ramai terhadap penggunaan vape adalah berasas memandangkan laporan terkini menunjukkan cecairnya mengandungi dadah sintetik.
“Pusat Racun Negara (PRN) mendedahkan bahawa cecair vape yang sebelum ini dikaitkan dengan ‘magic mushroom’ sebenarnya mengandungi dadah sintetik berbahaya, termasuk ketamin, phencyclidine dan dadah jenis amphetamine yang boleh menyebabkan keracunan teruk sehingga membawa maut.
“Lebih membimbangkan, AADK melalui 50 kajian kes mendapati, apa yang didakwa sebagai magic mushroom sebenarnya merupakan ganja sintetik yang diproses dalam bentuk cecair dan disalahgunakan melalui peranti vape,” katanya. — The Merdeka Times
