Connect with us

Terkini

Hydroshoppe, MKLSB gagal dapatkan injunksi sementara pengambilalihan Menara KL

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur untuk mendapatkan injunksi sementara bagi menghentikan penganugerahan konsesi Menara KL kepada anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital), iaitu LSH Service Master Sdn Bhd.
  • Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan keseimbangan kemudahan (balance of convenience) tidak memihak kepada pemberian injunksi kepada pengendali terdahulu.
  • “Apa yang (Hydroshoppe dan MKLSB) ada ialah perjanjian konsesi kelima yang bermula 1 Julai 2024 hingga 31 Mac 2025, serta minit (mesyuarat yang menyatakan) bahawa kerajaan boleh melanjutkan kontrak.
  • “Namun, perkara-perkara ini tidak memihak kepada plaintif. Tambahan pula, terdapat satu permintaan cadangan (request for proposal) untuk mengambil alih konsesi tersebut pada Mac 2024,” kata Roz Mawar dipetik media berbahasa Inggeris semalam.
  • LSH Service Master sepatutnya mengambil alih operasi Menara KL pada 1 April lalu, namun berlaku ketegangan selepas Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman terhadap penganugerahan konsesi tersebut, mendakwa berlakunya pelanggaran kontrak dan salah laku yang membawa kepada penganugerahan konsesi kepada LSH Service Master.

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur untuk mendapatkan injunksi sementara bagi menghentikan penganugerahan konsesi Menara KL kepada anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital), iaitu LSH Service Master Sdn Bhd.

Permohonan itu difailkan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya Hydroshoppe Sdn Bhd, yang turut memfailkan saman terhadap anak syarikat milik penuh LSH Capital iaitu LSH Best Builders Sdn Bhd serta LSH Service Master yang dimiliki 70 peratus, kerajaan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berhubung penganugerahan konsesi tersebut.

Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah rakan usaha sama LSH Capital, Service Master (M) Sdn Bhd, yang memegang baki 30 peratus kepentingan dalam LSH Service Master, lapor The Edge.

Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa keseimbangan kemudahan (balance of convenience) tidak memihak kepada pemberian injunksi kepada pengendali terdahulu.

Bagaimanapun, menurut beliau kedua-dua syarikat itu boleh terus mendapatkan remedi daripada perbicaraan untuk tuntutan mereka, yang akan didengar dan diputuskan mahkamah.

“Apa yang (Hydroshoppe dan MKLSB) ada ialah perjanjian konsesi kelima yang bermula 1 Julai 2024 hingga 31 Mac 2025, serta minit (mesyuarat yang menyatakan) bahawa kerajaan boleh melanjutkan kontrak.

“Namun, perkara-perkara ini tidak memihak kepada plaintif. Tambahan pula, terdapat satu permintaan cadangan (request for proposal) untuk mengambil alih konsesi tersebut pada Mac 2024,” kata Roz Mawar dipetik media berbahasa Inggeris semalam.

Beliau juga berkata hujah bahawa anak syarikat LSH Capital tidak mempunyai kepakaran dalam menjalankan atau mengurus Menara KL bukanlah asas untuk mahkamah memberikan injunksi ad interim.

Dalam prosiding semalam, mahkamah juga menetapkan 9 Jun 2025 untuk mendengar permohonan injunksi interim MKLSB dan Hydroshoppe.

LSH Service Master sepatutnya mengambil alih operasi Menara KL pada 1 April lalu, namun berlaku ketegangan selepas Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman terhadap penganugerahan konsesi tersebut, mendakwa berlakunya pelanggaran kontrak dan salah laku yang membawa kepada penganugerahan konsesi kepada LSH Service Master.

Susulan itu, LSH Service Master membuat laporan polis terhadap Hydroshoppe selepas gagal mengambil alih operasi bangunan pencakar langit tersebut.

LSH Capital dilapor telah menandatangani perjanjian pajakan selama 20 tahun dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk memodenkan dan mengurus satu daripada mercu tanda ikonik negara, iaitu Menara KL serta kawasan sekitarnya.

Perjanjian pajakan tersebut selari konsesi diberikan kerajaan yang merangkumi pengurusan, operasi, dan penyelenggaraan Menara KL dan kawasan sekelilingnya.

Perjanjian itu memberikan hak kepada LSH Service Master Sdn Bhd ke atas lebih kurang 10 ekar tanah termasuk tapak Menara KL, Teres Menara dan kawasan sekitarnya.

Menara KL masih dimiliki kerajaan, dengan perubahan hanya melibatkan aspek pengurusan dan operasi menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) melalui proses notis pelawaan cadangan (RFP).

Proses RFP dikendalikan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan pemegang konsesi dipilih berdasarkan penilaian Jemaah Menteri, yang diumumkan pada 29 Mei 2024. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *