Antarabangsa
Bantah pindaan Akta Wakaf anti muslim, Tunjuk perasaan besar-besaran berlangsung di India

- Gerakan yang diketuai Lembaga Undang-Undang Peribadi Muslim Seluruh India (AIMPLB) diaktifkan bersama semua pertubuhan agama, komuniti, dan sosial, serta akan diteruskan sehingga undang-undang tersebut dimansuhkan sepenuhnya.
- Tunjuk perasaan berskala besar yang dimulakan dengan tema ‘Selamatkan Waqf, Selamatkan Perlembagaan’ itu akan dianjurkan di Delhi, Mumbai, Kolkata, Hyderabad, Bengaluru, Chennai, Vijayawada, Malappuram, Patna, Ranchi, Malerkotla dan Lucknow.
- AIMPLB bukan sahaja akan menggunakan saluran undang-undang untuk mencabar pindaan yang bersifat diskriminasi dan tidak adil ini di Mahkamah Agung, tetapi juga akan menggunakan semua kaedah bantahan secara demokratik dan aman.
NEW DELHI – India bakal menyaksikan satu gerakan dan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara itu bagi membantah pindaan Akta Wakaf yang disifatkan sebagai “anti-Muslim” serta “tidak berperlembagaan”
Tunjuk perasaan berskala besar yang dimulakan dengan tema ‘Selamatkan Waqf, Selamatkan Perlembagaan’ itu akan dianjurkan di Delhi, Mumbai, Kolkata, Hyderabad, Bengaluru, Chennai, Vijayawada, Malappuram, Patna, Ranchi, Malerkotla dan Lucknow.
Gerakan yang diketuai Lembaga Undang-Undang Peribadi Muslim Seluruh India (AIMPLB) diaktifkan bersama semua pertubuhan agama, komuniti, dan sosial, serta akan diteruskan sehingga undang-undang tersebut dimansuhkan sepenuhnya.
Setiausaha agung AIMPLB, Maulana Mohammed Fazlurrahim Mujaddidi berkata mereka tekad memperjuangkan keadilan di negara ini, akan memulakan gerakan yang kuat dalam kerangka perlembagaan menentang “pindaan undang-undang yang menindas” itu.
Katanya, AIMPLB bukan sahaja akan menggunakan saluran undang-undang untuk mencabar pindaan yang bersifat diskriminasi dan tidak adil ini di Mahkamah Agung, tetapi juga akan menggunakan semua kaedah bantahan secara demokratik dan aman.
Ia termasuk tunjuk perasaan di setiap daerah yang merangkumi protes simbolik seperti memakai lilitan lengan hitam, mesyuarat meja bulat dengan rakyat, dan sidang media.
Memetik laporan NDTV, pada penghujung protes ini, memorandum akan diserahkan kepada presiden dan menteri dalam negeri Persekutuan melalui pegawai daerah masing-masing.
Pelbagai inisiatif akan dijalankan sepanjang tempoh ini, dengan tumpuan utama kepada penganjuran perbincangan meja bulat bersama rakyat.
Perbincangan berkenaan bertujuan menangkis maklumat palsu dan naratif tidak benar yang disebarkan pihak kerajaan dan elemen sektarian dengan fakta dan hujah logik.
Parlimen India pada awal pagi Jumaat telah meluluskan rang undang-undang kontroversi itu, dengan 128 undi menyokong dan 95 menentangnya. – The Merdeka Times
