Connect with us

Agama

Netizen dan pendakwah persoal ‘double standard’ kerajaan dalam reaksi hina agama

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung (kiri) & Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi (kanan)
  • Majoriti netizen dan agamawan dilihat mempersoalkan tindakan pihak kerajaan yang dilihat seakan-akan bersikap ‘double standard’ dalam memberi reaksi terhadap isu menghina agama, khususnya apabila membabitkan agama Islam yang berlaku dalam negara.
  • Antara agamawan dilihat membangkitkan perkara itu adalah pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung yang mempersoalkan di manakah suara pihak berkenaan ketika Islam dihina dan dipersenda, sambil memuat naik tangkap layar artikel bertajuk, “Tindakan persenda upacara agama lain tidak boleh diterima – Teo Nie Ching”.
  • “Bila Muslim yang buat je, berdesup geng ni mengutuk tindakan tiga DJ tersebut. Terbulu-bulu buat statement kah? Cecelia apa cerita?,” kata Firdaus Wong menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
  • Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi turut dilihat menulis hantaran di Facebook yang mempersoalkan sama ada kelompok Muslim lebih sensitif jika agama lain dihina berbanding Rasulullah SAW diperlecehkan.
  • Menurut Ahmad Sanusi, para sahabat sangat sensitif andai Rasulullah SAW dihina atau disakiti, sebagaimana kisah Saidina Umair bin Sa’d yang begitu marah apabila bapa tiri kesayangannya, al-Julas mengeluarkan kata-kata seolah-olah merendahkan Baginda.

KUALA LUMPUR — Netizen dan agamawan dilihat mempersoalkan tindakan pihak kerajaan yang dilihat seakan-akan bersikap ‘double standard’ dalam memberi reaksi terhadap isu menghina agama, khususnya apabila membabitkan agama Islam yang berlaku dalam negara.

Antara agamawan dilihat membangkitkan perkara itu adalah pendakwah dan pempengaruh, Firdaus Wong Wai Hung yang mempersoalkan di manakah suara pihak berkenaan ketika Islam dihina dan dipersenda, sambil memuat naik tangkap layar artikel bertajuk, “Tindakan persenda upacara agama lain tidak boleh diterima – Teo Nie Ching”.

Artikel itu antaranya melaporkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata tindakan tiga penyampai sebuah stesen radio milik Astro, yang didakwa mempersendakan upacara agama lain dalam sebuah video tular baru-baru ini, satu perbuatan tidak wajar dan tidak boleh diterima.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Firdaus Wong.

“Ya benar, Islam melarang mempersenda dan menghina agama lain. Yang betul kita kata betul tapi kalau yang salah tetap salah walaupun seagama.

“Bila Muslim yang buat je, berdesup geng ni mengutuk tindakan tiga DJ tersebut. Terbulu-bulu buat statement kah? Cecelia apa cerita?,” kata Firdaus Wong menerusi hantaran di Facebook di sini pada Selasa.

Difahamkan, nama Cecelia yang dibangkitkan Firdaus Wong adalah berkenaan seorang pengguna media sosial, Cecelia Yap yang sebelum ini mengundang kritikan apabila didakwa menulis komen biadap dipercayai mengaitkan nama ham dengan nama Nabi Muhammad SAW.

4 Februari lalu , Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain memeberi jaminan bahawa kertas siasatan membabitkan pelakon dan pelawak Harith Iskander dan Cecilia Yap Song berhubung kes menghina agama Islam akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi turut dilihat menulis hantaran di Facebook yang mempersoalkan sama ada kelompok Muslim lebih sensitif jika agama lain dihina berbanding Rasulullah SAW diperlecehkan.

Menurut Ahmad Sanusi, para sahabat sangat sensitif andai Rasulullah SAW dihina atau disakiti, sebagaimana kisah Saidina Umair bin Sa’d yang begitu marah apabila bapa tiri kesayangannya, al-Julas mengeluarkan kata-kata seolah-olah merendahkan Baginda.

Foto: Poster yang dimuat naik Dr Ahmad Sanusi berserta hantaran Facebook-nya.

Katanya, sekalipun al-Julas itu merupakan orang yang paling disayangi Saidina Umair, namun sekiranya beliau menyakiti Rasulullah SAW, Saidina Umair tidak duduk diam malah segera mengadukan perkara itu yang menyaksikan al-Julas dikenakan tindakan.

“Ketika Baginda memerintahkan agar para sahabat bersiap sedia untuk menghadapi perang Tabuk, al-Julas enggan memberikan sumbangan malah mengeluarkan kata-kata yang merendah atau menghina Rasulullah.

“Mendengar kalimah itu Umair berkata: Wahai Julas, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling aku sayangi, tetapi engkau telah mengucapkan sesuatu yang sekiranya aku adukan tentangnya, ia akan membinasakan engkau. (Tafsir Ibn Abi Hatim).

“Lihatlah sikap Saidina Umair ini… Sekalipun al-Julas itu merupakan orang yang paling disayanginya, namun sekiranya beliau menyakiti Rasulullah, Umair tidak duduk diam malah segera mengadukan perkara ini lantas al-Julas dikenakan tindakan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Ahmad Sanusi.

“Begitulah para sahabat begitu sensitif andai sekiranya Rasulullah itu dihina atau disakiti… Mereka segera mengadukan perkara ini kepada Rasulullah atau segera mengenakan tindakan terhadap pelakunya.

“Adakah kita lebih sensitif andai sekiranya agama lain dihina berbanding sekiranya Rasulullah itu sendiri dipeleceh? Semoga Allah membimbing kita,” kata Ahmad Sanusi menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.

Turut disertakan dalam hantaran itu adalah poster memaparkan dua tangkap layar artikel tempatan berkenaan tindakan pihak kerajaan ke atas isu hina agama Islam dan mempersendakan agama lain yang masing-masing bertajuk, “Hantaran Harith isu ‘ham’ masih tak diturunkan, MCMC jawab kes masih dalam siasatan,’ dan ‘Fahmi arah MCMC siasat stesen radio persenda upacara agama lain’.

Foto: Tangkap layar komen netizen di hantaran Facebook Dr Ahmad Sanusi.

Sementara itu, tinjauan The Merdeka Times di hantaran Facebook Ahmad Sanusi dan Firdaus Wong mendapati terdapat netizen yang menyifatkan negara ini semakin tenat apabila Islam yang merupakan agama persekutuan dihina kebanyakan jabatan agama dan menteri ‘kunci mulut’.

Namun, situasinya berbeza apabila kebanyakan menteri itu akan keluar dari ‘gua’ untuk mengeluarkan kenyataan jika agama lain dihina.

Foto: Tangkap layar komen netizen di hantaran Facebook Dr Ahmad Sanusi.

Netizen juga dilihat meninggalkan komen di hantaran Facebook Firdaus Wong yang mempersoalkan sama ada wujud ‘double standard’ dalam hal ini.

Foto: Tangkap layar komen netizen di hantaran Facebook Firdaus Wong.

Seorang netizen berkata banyak ‘hero’ akan keluar apabila agama bukan Islam dihina, tapi apabila membabitkan agama Islam cukup dengan permohonan maaf dan akan kelihatan juga ‘hero terpaling Muslim’ memilih bertolak ansur dengan menyatakan Islam agama perdamaian.

Foto: Tangkap layar komen netizen di hantaran Facebook Firdaus Wong.

Netizen itu mengingatkan jika kelompok Muslim terus memilih untuk bertolak ansur dalam perkara sebegini misalnya, dikhuatiri kelak agama Islam akan turut beransur-ansur ditolak dari negara ini. — The Merdeka Times

Author