Antarabangsa
‘Jihad’ cara Palestin dapatkan semula tanah air – Khaled Meshaal

- Gaza menghadapi konspirasi besar dengan cubaan luar untuk menyingkirkan penduduknya tetapi rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat akan tetap teguh dengan tanah mereka.
- “Palestin tiada alternatif selain Palestin. Kami tetap menghormati negara Arab dan negara Islam lain, tetapi tiada apa yang boleh menggantikan tanah air kami.” – Ketua Hal Ehwal Luar Hamas, Khaled Meshaal.
- Khaled menambah bahawa jalan untuk mendapatkan semula tanah air mereka, membebaskan banduan dan mencapai kemerdekaan terletak melalui “jihad.”
GAZA — Rakyat Palestin mempunyai hak untuk mentadbir tanah mereka sendiri, dan selagi penjajahan Israel berterusan, mereka tidak akan meletakkan senjata.
Ketua Hal Ehwal Luar Hamas, Khaled Meshaal turut menegaskan bahawa tiada sistem politik luar yang boleh dipaksakan ke atas mereka.
“Gaza hanya milik rakyatnya, sama ada Gaza mahupun rakyat Tebing Barat tidak akan menukarkan tanah air mereka dengan tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sebuah majlis di Kaherah, Mesir, bagi menghormati banduan Palestin yang dibebaskan dan dibuang negeri sebagai sebahagian daripada pertukaran banduan dan perjanjian gencatan senjata dengan Israel.
Dalam ucapan itu juga Khaled menekankan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat akan tetap teguh dengan tanah mereka.
“Palestin tiada alternatif selain Palestin. Kami tetap menghormati negara Arab dan negara Islam lain, tetapi tiada apa yang boleh menggantikan tanah air kami.”
Beliau turut menekankan kepentingan semua pihak bersatu padu dalam menghadapi cabaran menimpa Palestin dan menyeru dunia Arab untuk berdiri bersama rakyat Palestin.
Beliau berkata Gaza menghadapi konspirasi besar dengan cubaan luar untuk menyingkirkan penduduknya dan menyekat bekalan makanan kepada mereka.
“Masa depan Gaza, termasuk pemerintahan, senjata dan kekuatan perjuangan kami kini terancam,” katanya.
Bagaimanapun, Khaled melahirkan penghargaan terhadap keputusan Liga Arab yang menolak cadangan penyingkiran rakyat Palestin, dan menekankan bahawa ancaman ini bukan lagi terhad kepada Gaza dan Tebing Barat, tetapi juga melibatkan negara-negara seperti Mesir, Jordan, dan Arab Saudi.
Beliau merujuk kepada rancangan pemimpin dunia dan serantau untuk memindahkan rakyat Palestin ke negara-negara lain.
“Komuniti Islam dunia menyedari ancaman ini, tetapi itu tidak mencukupi. Tindakan selanjutnya mesti diambil,” katanya.
Khaled menambah bahawa jalan untuk mendapatkan semula tanah air mereka, membebaskan banduan dan mencapai kemerdekaan terletak melalui “jihad.” — The Merdeka Times
