Antarabangsa
Demonstrasi anti-Hamas di Gaza: Propaganda terancang Israel, disokong Fatah

- Penganalisis politik Palestin di Gaza, Mohammed Abu Oun menafikan sebarang dakwaan bahawa tunjuk perasaan yang berlaku di utara Gaza terhadap Hamas dan pasukan penentangan adalah gerakan yang mewakili suara majoriti rakyat Palestin.
- “Lebih membimbangkan, Pihak Berkuasa Fatah juga didakwa terlibat dalam pergerakan ini. Anggota Fatah yang berada di Gaza telah beberapa kali digunakan dan digerakkan untuk mencapai objektif yang menguntungkan kepentingan Israel,” Mohammed Abu Oun, Penganalisis politik Palestin di Gaza.
- Abu Oun berkata demikian sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.
GAZA — Penganalisis politik Palestin di Gaza, Mohammed Abu Oun menafikan sebarang dakwaan bahawa tunjuk perasaan yang berlaku di utara Gaza terhadap Hamas dan pasukan penentangan adalah gerakan yang mewakili suara majoriti rakyat Palestin.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa ini adalah satu tindakan politik yang disengajakan, dilaksanakan oleh rejim penjajah Israel dan agensi perisikannya.
Abu Oun berkata demikian sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Foto: Abu Oun sewaktu ditemuramah dalam program bual bicara terbitan TV Al-Aqsa
Tambahnya, seruan untuk mengadakan demonstrasi ini dibuat secara jelas dan terbuka melalui laman rasmi ahli politik serta jurucakap Israel.
“Lebih membimbangkan, Pihak Berkuasa Fatah juga didakwa terlibat dalam pergerakan ini. Anggota Fatah yang berada di Gaza telah beberapa kali digunakan dan digerakkan untuk mencapai objektif yang menguntungkan kepentingan Israel,” jelas Abu Oun.
Abu Oun turut mempersoalkan apakah objektif demonstrasi sebenar. Ini kerana jelas beliau, ia dilihat seakan seiring dengan kepentingan Israel di semenanjung tersebut.
“Satu persoalan penting timbul, adakah matlamat utama demonstrasi ini sejajar dengan objektif Israel untuk melemahkan pasukan penentangan, termasuk Hamas?,” soal beliau.
Tambahnya , Komando Barisan Hadapan Palestin di Gaza turut menyeru kumpulan yang terlibat agar tidak bekerjasama dengan rancangan Israel yang bertujuan memecah-belahkan rakyat Palestin serta mencetuskan perpecahan dalaman.
Abu Oun turut menggesa media antarabangsa supaya lebih bertanggungjawab dalam melaporkan berita dan tidak terpengaruh dengan propaganda Israel.
“Adalah penting bagi media untuk menyelidik kebenaran sesuatu berita sebelum menyebarkannya dan memastikan laporan mereka tidak diperalatkan oleh naratif penjajah,” tegas beliau.
Semalam media tempatan melaporkan bahawa ratusan penduduk Palestin yang sudah lelah dengan peperangan selama lebih 17 bulan di Semenanjung Gaza melaungkan slogan anti-Hamas ketika mengadakan protes di utara wilayah itu pada Selasa.
Mereka turut menggesa kempen pengeboman itu dihentikan segera setelah Zionis kembali membedil wilayah berkenaan atas alasan menyasarkan pejuang Hamas, namun banyak orang awam tidak berdosa yang menjadi korban kekejaman perang genosid tersebut.- The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login