Politik
Timbalan Presiden GERAKAN kritik DAP tidak tentang dasar utamakan Melayu

-
Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong mengkritik DAP yang sewaktu menjadi pembangkang sangat menentang dasar-dasar yang mengutamakan Melayu, tetapi kini berdiam diri dalam kabinet, tidak berani menentang secara terbuka agenda berkaitan.
-
Menurut terjemahan artikel berbahasa Cina, OrientalDaily yang dikongsikan pengguna Facebook Rafizah Cian Lin, Tong Keong dilaporkan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa wawancara di Buletin TV3 baru-baru ini.
-
Ahmad Zahid dedahkan berdasarkan pengalaman beliau menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan selama 25 bulan, tidak sekalipun beliau menyaksikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menentang agenda Melayu atau Islam dalam Kabinet Kerajaan Madani.
- “Ini menunjukkan DAP telah berkompromi, tidak lagi berpegang kepada pendirian mereka yang lepas demi jawatan dalam kerajaan. Dahulu mereka pernah berjanji akan mempertahankan masyarakat majmuk, memastikan keadilan untuk semua kaum, tetapi sekarang mereka lebih mengutamakan kepentingan politik,” kata Tong Keong dalam terjemahan dikongsikan Rafizah di Facebook-nya hari ini.
KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Oh Tong Keong mengkritik Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sewaktu menjadi pembangkang sangat menentang dasar-dasar yang mengutamakan Melayu, tetapi kini berdiam diri dalam kabinet, tidak berani menentang secara terbuka agenda berkaitan.
Menurut terjemahan artikel berbahasa Cina, OrientalDaily yang dikongsikan pengguna Facebook Rafizah Cian Lin, Tong Keong dilaporkan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa wawancara di Buletin TV3 baru-baru ini.
Dalam wawancara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mendedahkan berdasarkan pengalaman beliau menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan selama 25 bulan, tidak sekalipun beliau menyaksikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menentang agenda Melayu atau Islam dalam Kabinet Kerajaan Madani.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Rafizah Cian Lin.
Mengulas kenyataan itu, Tong Keong berpendapat ia membuktikan DAP “cakap tak serupa bikin”, di mana dahulu parti itu sering mengkritik UMNO melaksanakan dasar-dasar yang mengutamakan orang Melayu dan membantah secara terbuka dasar membantu Bumiputera.
Bagaimanapun, sekarang setelah menjadi parti yang memerintah, DAP bukan sahaja tidak mengungkit isu berkaitan, bahkan tidak membantahnya dalam kabinet dan menerima sepenuhnya dasar sedia ada.
“Ini menunjukkan DAP telah berkompromi, tidak lagi berpegang kepada pendirian mereka yang lepas demi jawatan dalam kerajaan. Dahulu mereka pernah berjanji akan mempertahankan masyarakat majmuk, memastikan keadilan untuk semua kaum, tetapi sekarang mereka lebih mengutamakan kepentingan politik,” kata Tong Keong dalam terjemahan dikongsikan Rafizah di Facebook-nya hari ini.
Beliau juga mengkritik DAP kerana berdiam diri mengenai dasar melibatkan Islamisasi, yang sangat bertentangan imej masa lalu parti itu yang bercakap mengenai demokrasi, kesaksamaan dan keadilan, sekali gus menyebabkan prestasi DAP sekarang dilihat tidak berbeza dengan UMNO.
Difahamkan, Rafizah adalah seorang guru bahasa Mandarin yang sering menterjemahkan artikel berbahasa Cina kepada bahasa Melayu dan berkongsikan reaksi netizen daripada akhbar berbahasa Cina antara lain membabitkan isu pendidikan Cina, Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa kebangsaan. — The Merdeka Times
