Antarabangsa
Pengusiran penduduk Gaza, Hamas selar kenyataan Trump

- Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) menyelar kenyataan provokatif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mahu penduduk semenanjung Gaza meninggalkan wilayah itu berikutan mereka tidak punya pilihan lain.
- “Rakyat kami di Gaza tidak akan membenarkan rancangan ini dilaksanakan, dan apa yang diperlukan adalah untuk menamatkan pendudukan dan pencerobohan terhadap rakyat kami, bukannya mengusir mereka dari tanah mereka.” – Pemimpin Kanan Hamas, Dr. Sami Abu Zuhri.
Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) menyelar kenyataan provokatif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mahu penduduk semenanjung Gaza meninggalkan wilayah itu berikutan mereka tidak punya pilihan lain.
Pemimpin Kanan Hamas, Dr. Sami Abu Zuhri berkata kenyataan Trump itu adalah ‘resepi’ yang mencetus kekacauan dan ketegangan yang lebih buruk di rantau tersebut.
“Kami menolak kenyataan Trump yang berkata penduduk Gaza tidak mempunyai pilihan lain selain meninggalkan kawasan itu dan kami menganggapnya sebagai ‘resepi’ untuk mencipta kekacauan dan ketegangan di rantau ini,” tegas Zuhri.
Tambahnya, penduduk Gaza sama sekali tidak akan membenarkan rancangan ini daripada direalisasikan.
“Rakyat kami di Gaza tidak akan membenarkan rancangan ini dilaksanakan, dan apa yang diperlukan adalah untuk menamatkan pendudukan dan pencerobohan terhadap rakyat kami, bukannya mengusir mereka dari tanah mereka,” tambah Zuhri.
Kenyataan ini dikeluarkan Hamas hari ini menerusi laman web rasmi mereka.
Trump, semalam berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Trump mendedahkan rancangannya yang mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.-The Merdeka Times
