Terkini
“Kalau nak membodek, berpada-padalah” – Ridhuan Tee tegur KP IKIM

- Itu peringatan pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah kepada Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ekoran penerbitan artikel beliau yang membincangkan isu upacara menitik mata singa atau ‘eye-dotting’ Sambutan Tahun Baru Cina.
- Dr Ridhuan Tee akui sangat terkejut apabila ‘orang kuat’ IKIM berkata perbuatan itu tidak menjadi masalah asalkan berniat baik.
-
“Aku nak syorkan kamu, orang IKIM, ramai yang bekerja di situ, baca terlebih dahulu lambakan artikel di alam maya, sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa titik mata singa itu boleh. Baca dan buat penilaian, bukan membuta tuli,” kata Dr Ridhuan Tee menerusi hantaran di Facebook hari ini.
KUALA LUMPUR — “Kalau pun nak membodek untuk kekal berkuasa dan kekal jawatan, berpada-padalah. Jangan sampai hilang maruah diri dan menjadikan isu yang ingin diselesaikan semakin bertambah kusut dan keliru. Jagalah martabat ilmu kita.”
Itu antara peringatan disuarakan pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang difahamkan dituju kepada Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ekoran penerbitan artikel beliau yang membincangkan isu upacara menitik mata singa atau ‘eye-dotting’ dalam Sambutan Tahun Baru Cina.
KP IKIM itu baru-baru ini telah menulis artikel bertajuk, “Hadir Perayaan Penganut Agama Lain Tak Bertentangan Akidah” yang antara lain menyatakan dalam konteks upacara menitik mata singa selagi ia dilakukan sebagai simbol budaya dan hanya bertujuan meraikannya tanpa mempercayai sebarang kepercayaan kepada kuasa ghaib, ia tidak tergolong dalam kategori khurafat.
Menurut Ridhuan, beliau sangat terkejut apabila ada ‘orang kuat’ IKIM memberikan respon terhadap isu perbuatan titik mata naga sebelum tarian naga dimulakan dengan menyatakan ia tidak menjadi masalah janji niat baik.
Pendakwah bebas itu berkata beliau cukup bimbang institut kefahaman Islam berkenaan akan menjadi institusi kesalahfahaman, disebabkan adanya orang-orang yang tidak rajin bertanya, membaca atau membuat kajian.
Sebaliknya, individu terbabit mengeluarkan kenyataan yang sekadar untuk mengambil hati bagi tujuan membodek supaya dapat mengekalkan jawatan disandang dan disambung kontrak.
“Aku nak syorkan kamu, orang IKIM, ramai yang bekerja di situ, baca terlebih dahulu lambakan artikel di alam maya, sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa titik mata singa itu boleh. Baca dan buat penilaian, bukan membuta tuli.
“Sebagai sebuah kumpulan pemikir, institusi penyelidikan, sudah semestinya, sebelum keluarkan kenyataan, perlu melakukan pembacaan dan kajian terlebih dahulu, bukan tulis dan cakap semborono. Malu. Saya pernah bekerja di IKIM selama tiga tahun.
“Kalau semua perbuatan kita nak disandarkan kepada niat. Seronoklah. Buatlah apa sahaja pun, janji niat baik. Tak pakai tudung pun tak apa janji hati baik. Pakai tudung pun tak guna, tapi hati busuk. Takkan setara IKIM, nak guna hujah seperti itu.
“Macam mualaf atau saudara baharu, tak pernah pegang colok, boleh turut bersama menyembah, janji hati tidak redha, tidak ada niat untuk menyembah. Sekadar menyembah untuk mengambill hati kedua ibu bapa, yang belum Islam. Takkan saya berhujah macam itu. Kecualilah dalam keadaan darurat.
“Memanglah Tahun Baharu Cina, itu bersifat budaya, begitu juga dalam perayaan yang lain, tetapi kena ingat, dalam budaya ada kepercayaan, penyembahan dan perbuatan khurafat yang dilakukan. Tak boleh bergantung pada niat sahaja,” kata Ridhuan Tee menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Beliau juga mengingatkan IKIM bahawa institusi itu sepatutnya memberikan penjelasan dan kefahaman, bukannya semakin mengelirukan dan menyesatkan masyarakat. — The Merdeka Times
