Terkini
Hukuman gantung diketepikan, 6 bekas pelajar UPNM kekal dipenjara 18 tahun

- Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar UPNM yang disabitkan kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu.
- Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, menerima rayuan akhir semua perayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024 yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
- Hasnah dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati elemen kecederaan mangsa menyebabkan kematian tidak dapat dibuktikan keraguan munasabah.
- “Sehubungan itu, mahkamah memutuskan keputusan hakim Mahkamah Tinggi iaitu Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan persubahatan dikembalikan, hukuman penjara 18 tahun dikekalkan,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
KUALA LUMPUR — Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang disabitkan kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, menerima rayuan akhir semua perayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024 yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Enam bekas pelajar itu selaku perayu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kini masing-masing berusia 29 tahun.
Mahkamah Persekutuan sebaliknya mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap mereka mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Hasnah dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati elemen kecederaan mangsa menyebabkan kematian tidak dapat dibuktikan keraguan munasabah.
“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan keputusan hakim Mahkamah Tinggi iaitu Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan persubahatan dikembalikan, hukuman penjara 18 tahun dikekalkan,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
Pada 23 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar UPNM itu kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.
Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap mereka selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.
Pada 2017, negara digemparkan dengan insiden sadis membabitkan Zulfarhan yang menemui ajal selepas dibuli, dipukul dan diseksa dengan kejam apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. — The Merdeka Times
