Terkini
PAS tidak layak jadi ‘role model’ perjuangan Islam, Melayu – Mujahid
![](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2025/01/PAS-tidak-layak-jadi-%E2%80%98role-model-perjuangan-Islam-Melayu-%E2%80%93-Mujahid-01.jpg)
- Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan PAS tidak layak menjadi teladan atau ‘role model’ sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, jauh sekali Melayu.
- Mujahid yang juga bekas Menteri Agama berkata PAS mengamalkan politik Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara yang kononnya ditentang selama ini.
- Beliau berkata perhimpunan solidariti dan isu addendum turut dijadikan dalih untuk menutup segala kelemahan parti itu sedangkan pemimpin parti berkenaan yang paling kuat membidas Datuk Seri Najib Razak ketika isu 1MDB meletus dahulu.
- “Amanah kesal dengan tindakan Pas menyertai Perhimpunan Solidariti Najib yang dijadikan medan memburukkan serta memfitnah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- “Laungan dan retorik Islam Pas hanyalah ibarat tin kosong kerana hakikatnya perhimpunan itu bertujuan meraih sokongan melalui pendekatan politik murahan,” katanya dipetik media tempatan di sini hari ini.
KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan PAS tidak layak menjadi teladan atau ‘role model’ sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, jauh sekali Melayu.
Mujahid yang juga bekas Menteri Agama berkata PAS mengamalkan politik Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara yang kononnya ditentang selama ini.
Beliau berkata perhimpunan solidariti dan isu addendum turut dijadikan dalih untuk menutup segala kelemahan parti itu sedangkan pemimpin parti berkenaan yang paling kuat membidas Datuk Seri Najib Razak ketika isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletus dahulu.
“Amanah kesal dengan tindakan Pas menyertai Perhimpunan Solidariti Najib yang dijadikan medan memburukkan serta memfitnah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Laungan dan retorik Islam Pas hanyalah ibarat tin kosong kerana hakikatnya perhimpunan itu bertujuan meraih sokongan melalui pendekatan politik murahan,” katanya dipetik media tempatan di sini hari ini.
Mujahid menegaskan rakyat perlu mengenali watak dan keperibadian sebenar PAS supaya tidak terperangkap dengan sandiwara dan permainan politik yang selalu berubah mengikut musim serta kepentingan sempit politik.
Beliau berkata PAS hanyalah sebuah parti politik oportunis tanpa panduan prinsip dan nilai-nilai Islam sebenar.
“Hakikatnya, Pas hanyalah menggunakan prinsip hukum mengikut selera dan jelira rasa politiknya sekali gus mahu mencetuskan polemik politik untuk membelasah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, merelakan dirinya menjadi batu api untuk menggugat kestabilan negara.
“Sungguhpun Ketua Polis Negara sudah mengarahkan supaya perhimpunan itu dibatalkan, Pas tetap meneruskannya demi mencapai matlamat dan kepentingan politik sempit dan bersifat peribadi,” katanya.
Astro Awani sebelum ini melaporkan lebih 3,000 orang menyertai Himpunan Solidariti untuk Najib di pekarangan Istana Kehakiman, di Putrajaya setakat jam 9.30 pagi Isnin.
Antara yang hadir ialah pemimpin Perikatan Nasional (PN), termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kumpulan penyokong Pas, Bersatu, UMNO serta ahli-ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin politik kelihatan memasuki kamar Mahkamah bagi mengikuti sesi pendengaran permohonan rayuan semakan kehakiman Najib Razak berkaitan Titah Adendum.— The Merdeka Times
![](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2022/10/tmt-new-logo-black.png)