Terkini
Karnival Haji/Umrah lepasi sasaran 20,000 pengunjung, ramai mahu ia dianjurkan lagi
- Majoriti pengunjung dan bakal jemaah haji yang hadir ke Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3 (KHUP3) di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang, menyifatkan program itu sangat membantu mereka dalam membuat pilihan pakej haji dan mahukan ia diadakan lagi pada masa akan datang.
- KHUP3 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu hingga hari ini menyaksikan 37 agensi Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen berhimpun di bawah satu bumbung dengan menawarkan pelbagai pakej haji swasta buat bakal jemaah di karnival itu yang dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA MALAYSIA berslogankan (tagline), ‘Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji’.
- “Karnival ni memang bagus especially untuk orang yang baru nak pergi, yang tak ada pengalaman buat haji lagi, it is good for orang itu untuk pergi, to get all the information here, dan buat comparison from one booth to another, because setiap agensi itu (PJH) ada beza antara satu sama lain jadi perbezaan itu yang perlu diketahui sebelum orang pergi,” kata pengunjung, Azman Yussof.
KUALA LUMPUR — Majoriti pengunjung dan bakal jemaah haji yang hadir ke Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3 (KHUP3) di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang, menyifatkan program itu sangat membantu mereka dalam membuat pilihan pakej haji dan mahukan ia diadakan lagi pada masa akan datang.
KHUP3 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu hingga hari ini menyaksikan 37 agensi Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen berhimpun di bawah satu bumbung dengan menawarkan pelbagai pakej haji swasta buat bakal jemaah di karnival itu yang dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA MALAYSIA berslogankan (tagline), ‘Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji’.
Sallahuddin Mohamad yang pertama kali hadir ke KHUP jauh dari Kedah berkata karnival sedemikian patut diadakan lagi kerana ia sangat membantu dalam mendapatkan maklumat lebih lanjut berbanding melayari website yang disifatkan terhad dan tidak mencukupi maklumatnya.
Sallahuddin berkata dengan adanya karnival itu ia jauh lebih baik kerana mereka boleh bersemuka dan terus berbincang mahupun bertanya lebih lanjut (dengan agensi PJH) bagi membantu dalam urusan memilih pakej haji yang ditawarkan.
“Puas hatilah (dengan karnival ini) event dia memang sangat membantulah dan dia allocate tempat dan cuma bagi saya jauh sikit lah sebab saya dari Kedah kan.
“Kalau boleh next time buat tempat dekat dengan saya ataupun dia tengah-tengah perjalanan lah kan selain daripada utara nak datang ke selatan ni,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times (TMT) lewat petang Jumaat di KHUP3.
Pandangan sama turut disuarakan seorang pesara, Azman Yussof yang juga kali pertama hadir ke karnival itu bersama isterinya dengan berkata KHUP sangat bagus, khususnya untuk mereka yang tiada pengalaman mengerjakan haji.
Azman juga berharap durasi karnival itu dipanjangkan lagi bukan sekadar tiga hari kerana kebiasaannya apabila ia diadakan dalam tempoh singkat akan membuatkan pengunjung berpusu-pusu hadir dan parking penuh sedangkan adakala untuk hari pertama mereka hadir hanya untuk meninjau pakej ditawarkan terlebih dahulu, kemudian akan datang buat kali kedua selepas membuat keputusan.
“Karnival ni memang bagus especially untuk orang yang baru nak pergi, yang tak ada pengalaman buat haji lagi, it is good for orang itu untuk pergi, to get all the information here, dan buat comparison from one booth to another, because setiap agensi itu (PJH) ada beza antara satu sama lain jadi perbezaan itu yang perlu diketahui sebelum orang pergi.
“Harga package yang ditawarkan berbeza-beza, ikut pada kemampuan, dan dia menepati semua level lah, which is good... Tak semestinya kalau harga itu terlalu mahal kita mesti ikut, kita ikut pada apa yang orang kata, ukur baju di badan sendiri,” katanya.
Seorang pengunjung yang juga doktor swasta, Nik Nor Faezah Abdul Rahman berkata ini kali kedua dia mengunjungi karnival berkenaan di mana tahun ini dia datang lagi untuk mendapatkan gambaran yang jelas dari setiap pengelola jemaah haji.
“Bila datang ke sini barulah kita dapat tahu yang mana yang sesuai dengan kita sebab di sini diterangkan secara terperinci dari segi perjalanan, dari mana, dari Malaysia ke mana kita selepas itu sama ada ke Mekah terus ke, Madinah ke ataupun Aziziyah…so, kena datang baru jelas kalau tak kita tak tahu kan gambaran macam mana,” katanya yang menyifatkan karnival itu sebagai ‘tip-top’.
Siti Aida dari Puchong pula menceritakan bahawa dia kali pertama hadir ke karnival itu selepas mendapat surat tawaran haji dan ingin meninjau tawaran pakej haji swasta yang bagus untuknya.
“Alhamdulillah dah dapat offer letter kan jadi nak pakej yang baguslah…dah jumpa dah pun (pakej haji swasta) dah daftar dah pun (dengan salah satu agensi PJH berlesen di KHUP3).
“(KHUP3) Dia sangat membantu sebenarnya, penerangan daripada semua semua travel agent kan pengendali haji itu cuma kita yelah bila banyak pilihan ini pening kepala jugalah kita nak pilih tapi alhamdulillah so far so good lah,” kata Aida yang mengharapkan karnival itu diadakan lagi pada masa akan datang.
Pengarah Projek yang juga Setiausaha Kerja Karnival, Ab Rahman Mohd Ali memaklumkan kehadiran pengunjung dan bakal jemaah haji kali ini sangat memberangsangkan malah ia melepasi sasaran mereka yang sebelum ini menjangkakan 20,000 pengunjung akan membanjiri Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan yang diadakan kali ketiga itu.
Ab Rahman berkata terdapat juga pengunjung bertuah yang ke 20,000 memenangi hadiah percutian ke Eropah bernilai RM11,000.
“(Keseluruhan) Terdapat 20,533 pengunjung… pengunjung bertuah yang ke 20 ribu (menangi) hadiah ke Eropah bernilai RM11 ribu,” katanya ketika dihubungi TMT di sini hari ini. — The Merdeka Times