Gaya Hidup
10 makanan yang mengandungi mikroplastik penyebab kanser
Seorang pakar telah mendedahkan 10 makanan yang tinggi kandungan mikroplastik. Mikroplastik ialah partikel-partikel plastik yang dijumpai dalam alam sekitar.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Amerika Syarikat mengkelaskan jenis plastik ini berdasarkan saiznya yang kurang daripada 5 mm, namun ada juga pertikaian yang dibincangkan mengenai spesifikasi ini.
Partikel-partikel ini datang daripada pelbagai sumber, termasuk kosmetik, pakaian, dan proses industri.
Serpihan plastik kecil yang berukuran kurang dari lima milimeter panjang atau lebih kecil daripada pemadam pensil ini sering dikaitkan dengan kanser, kerosakan DNA, kerosakan sel, dan masalah kesihatan lain.
Pemilik perniagaan dan pendidik anti-plastik, ‘Beatrice the Anti-Plastic Lady’ berkongsi 10 makanan dan minuman yang tinggi kandungan mikroplastik dalam sebuah video di TikToknya (@antiplasticlady), di mana dia berkongsi video pendidikan tentang bahaya pencemaran plastik dan tip untuk menjalani gaya hidup yang lebih bebas plastik.
Berikut 10 makanan dan minuman yang tinggi kandungan mikroplastik :
1. Makanan Laut
Menurut Beatrice, kuantiti mikroplastik di dalam laut semakin meningkat setiap enam tahun, dan semua itu akhirnya sampai ke makanan laut kita.
“Kerang, tiram, ketam dan hampir setiap jenis ikan adalah beberapa contoh makanan laut yang mengandungi jumlah mikroplastik yang sangat tinggi,” jelasnya.
Tambahnya, terdapat kajian yang menganggarkan bahawa orang yang memakan makanan laut dalam jumlah besar akan menelan kira-kira 11,000 zarah mikroplastik setiap tahun.
Justeru Beatrice menasihatkan masyarakat untuk mengurangkan pengambilan makanan laut dan cuba menghindari ikan yang telah diproses.
2. Garam
Menurut Beatrice, garam laut yang tidak diproses lebih tinggi kandungan mikroplastik.
“Menariknya, para penyelidik mendapati bahawa garam biasa di Amerika Syarikat sebenarnya mengandungi jumlah mikroplastik yang jauh lebih rendah.
“Ini kerana garam yang tidak diproses mengandungi pencemaran plastik dari lautan tempat ia diambil, dan dalam kes ini, pemprosesan sebenarnya membantu menghapuskan kebanyakan mikroplastik tersebut,” jelas beliau.
Beatrice juga menyatakan bahawa garam laut Himalaya berwarna merah jambu, yang terkenal dengan kandungan mineralnya yang tinggi dan ‘manfaat kesihatan’, mengandungi mikroplastik yang sangat tinggi disebabkan kaedah perlombongan yang digunakan untuk mengeluarkannya.
3. Produk tenusu yang diproses
Kajian menunjukkan bahawa produk tenusu yang tinggi pemprosesannya seperti serbuk keju dan susu mengandungi lebih banyak mikroplastik berbanding produk alternatif yang kurang diproses.
“Semakin jauh sesebuah makanan daripada sumber asalnya, semakin banyak plastik dalamnya,” kata Beatrice.
Maka Beatrice menyarankan masyarakat mendapatkan produk tenusu yang diproses lebih rendah termasuk susu organik tempatan serta keju mentah.
4. Pek Makanan Puri
Makanan ringan yang mudah dibawa ini sangat popular dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Malangnya menurut Beatrice, pek tersebut melepaskan mikroplastik ke dalam puri buah-buahan dan sayur-sayuran yang terkandung di dalamnya.
“Panas meningkatkan jumlah bahan kimia toksik dan mikroplastik yang meresap ke dalam makanan tersebut. Dan apa yang terjadi? Pek makanan bayi plastik ini semuanya dipasteurkan dan dipanaskan dalam pek plastik itu,” kata Beatrice.
“Sudah ada banyak kajian yang mendapati banyak mikroplastik dan bahan kimia pelekat, bisphenol dan ftalat, yang melebihi had kebimbangan toksik,” tambahnya.
Cadangan Beatrice adalah untuk meninggalkan pek tersebut dan memberi anak-anak buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang tidak diproses sebanyak mungkin.
5. Makanan dalam Pek Foil Retort
Menurut Beatrice, makanan seperti tuna, lentil atau kacang dalam pek foil retort ini dimasak dalam pek mereka sendiri, sama seperti pek makanan bayi.
“Elakkan. Dapatkan kacang kering, lentil, masak sendiri dan kurangkan makan tuna,” nasihat pendidik anti-plastik itu.
6. Teh dalam Beg Nilon
Jelas Beatrice, beg teh nilon melepaskan banyak mikroplastik ke dalam cawan teh panas kita semua.
Satu kajian mendapati bahawa merendam satu beg teh mesh nilon dalam air 200° F melepaskan kira-kira 11.6 bilion mikroplastik dan 3.1 bilion nanoplastik — zarah plastik yang lebih kecil — ke dalam secawan teh.
Nanoplastik adalah 150 kali lebih kecil daripada rambut, dan hasil penyelidikan mendapati bahawa ia cukup kecil untuk memasuki sel manusia.
Bagi menggantikan teh dalam beg nilon, Beatrice mencadangkan masyarakat membancuh daun teh semulajadi, menggunakan penapis keluli tahan karat yang boleh diguna semula, atau hanya gunakan teh dalam beg kertas.
7. Daging proses
Pasukan penyelidik turut menguji kandungan mikroplastik dalam pelbagai produk daging di kedai runcit Amerika, dan mendapati bahawa produk yang melalui proses tinggi mengandungi mikroplastik paling banyak per gram.
Ini termasuk makanan seperti udang bersalut tepung, nugget ayam dan nugget protein berasaskan tumbuhan.
“Semakin diproses sesuatu produk, semakin banyak pencemaran plastik yang ada,” jelas Beatrice.
“Cubalah dapatkan produk yang sedikit pemprosesannya,” nasihatnya.
8. Rumpai Laut
Menurut Beatrice, pencemaran laut yang makin berleluasa membuatkan mikroplastik terperangkap pada permukaan rumpai laut serta melekat pada celahan dan serat kecilnya.
Satu kajian mendapati bahawa kaedah pencucian konvensional tidak berkesan dalam menghapuskan kebanyakan mikroplastik daripada rumpai laut.
“Ini membuktikan betapa tercemarnya lautan kita.
“Cubalah mengurangkan pengambilan rumpai laut anda. Maaf,” katanya.
9. Madu
Adalah mengejutkan apabila hasil penyelidikan terhadap madu dari seluruh dunia mendapati bahan makanan ini tercemar secara meluas.
Dalam kes ini, pencemaran mikroplastik bukan datang dari pemprosesan, tetapi daripada lebah itu sendiri.
Menurut Beatrice, apabila lebah madu mengumpul debunga di persekitaran yang tercemar, mereka mengutip zarah plastik yang akhirnya masuk ke dalam madu.
“Itulah sebabnya satu kajian mendapati madu yang dihasilkan di kawasan bandar mengandungi lebih banyak mikroplastik berbanding madu yang dihasilkan di kawasan luar bandar.
“Cubalah mendapatkan madu dari luar bandar, jangan beli madu bandar,” kata Beatrice.
10. Arak/Bir
Beberapa kajian mendapati mikroplastik terdapat dalam pelbagai jenis bir, termasuk 12 jenama bir Amerika yang dibuat dengan menggunakan sumber air dari Great Lakes.
“Pemprosesan bir melibatkan penyeduhan hop dengan cecair panas… Selalunya mereka menggunakan pelbagai jenis bahan plastik untuk membuat bir,” kata Beatrice. – The Merdeka