Terkini
(VIDEO) 70,000 kanak-kanak Rohingya tidak sekolah akan bawa “social backlash”
KUALA LUMPUR — Dianggarkan sekitar 70,000 kanak-kanak pelarian etnik Rohingya berada dalam lingkungan umur bersekolah berada di negara ini.
Daripada jumlah itu, sebahagian kanak-kanak etnik Rohingya bersekolah sekadar “asal ada” (tidak formal), menurut Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Azmi berkata, pendidikan “asal ada” itu tidak akan membawa kelompok itu ke mana-mana.
Beliau berkata situasi itu, jika tidak ditangani, dikhuatiri akan menjadi isu ‘social blacklash’ yang akan membebankan masyarakat negara ini.
“Social backlash ini apa? Kalau orang yang tidak berpendidikan, akhirnya penyakit itu akan timbul balik kepada masyarakat. Dia tak ada kerja, dia tak ada pendidikan.
“Maka kita lihat akan menimbulkan masalah sosial… jadi dengan itu tak logik kita biarkan mereka tidak berpendidikan,” kata Cikgu Azmi dalam podcast Garis Krisis (GK) yang bersiaran di Youtube The Merdeka Times pada Sabtu jam 8.30 malam.
Episod keempat GK terbitan Studio Merdeka itu mengupas topik, “Masihkah ada ruang untuk pelarian Rohingya di Malaysia?”, turut menampilkan Penyelaras MAPIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Fadhil Osman sebagai panelis dan dihoskan oleh wartawan & aktivis kemanusiaan, Syed Azwan Syed Ali.
Cikgu Azmi berkata pihak berkepentingan di negara ini mempunyai tiga pilihan sekiranya mahu menangani isu social backlash itu.
Beliau berkata pilihan pertama adalah untuk kerajaan membuka ruang anak-anak pelarian Rohingya itu belajar di sekolah kerajaan.
Langkah ini telah dilakukan di Pakistan dan Arab Saudi, kata Cikgu Azmi.
“Option (pilihan) kedua ialah membenarkan sekolah-sekolah yang dibuat secara swasta dan didaftar dengan lengkap syarat-syaratnya dan mereka itu diberikan peluang untuk pergi sekolah. Sekarang, sekolah swasta pun takut nak terima kerana masalah status mereka,” katanya.
Pilihan ketiga adalah kerajaan ‘mengiktiraf’ sekolah dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO) dengan mengiktiraf kurikulum yang diluluskan kerajaan sebelum membenarkan mereka mengikuti peperiksaan awam, kata Cikgu Azmi. — The Merdeka Times