Antarabangsa
Konflik Sudan diburukkan dengan wabak campak yang membawa maut
- Menurut Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF), wabak campak sedang melanda Rokero, Darfur Tengah, sejak Jun lalu yang mana telah menjejaskan lebih 1,000 orang, kebanyakannya kanak-kanak bawah 5 tahun.
- Bagi mengawal wabak campak dan melindungi nyawa orang awam, MSF melancarkan kempen vaksinasi yang berjaya memberi vaksin kepada 9,634 kanak-kanak, terutamanya yang berumur antara 6 hingga 59 bulan yang berisiko tinggi menghadapi komplikasi teruk akibat campak.
- Pasukan MSF bekerjasama dengan pemimpin komuniti untuk menyebarkan kesedaran tentang kempen vaksinasi ini bagi mencapai golongan yang paling terdedah, dengan melakukan perjalanan ke kampung-kampung terpencil menggunakan keldai, tuk-tuk, dan kereta.
DARFUR– Perang yang berpanjangan di Sudan terus-terus mencipta bencana kemanusiaan dengan komplikasi kesihatan yang serius.
Menurut Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF), wabak campak sedang melanda Rokero, Darfur Tengah, sejak Jun lalu yang mana telah menjejaskan lebih 1,000 orang, kebanyakannya kanak-kanak bawah 5 tahun.
Bagi mengawal wabak campak dan melindungi nyawa orang awam, Doctors Without Borders/ MSF melancarkan kempen vaksinasi yang berjaya memberi vaksin kepada 9,634 kanak-kanak, terutamanya yang berumur antara 6 hingga 59 bulan yang berisiko tinggi menghadapi komplikasi teruk akibat campak.
“Kami menghadapi cabaran besar, dari jalan yang sukar hingga bekalan vaksin yang tidak stabil,
“Ia bukan mudah, tetapi kami tahu betapa pentingnya ini,” kata Marwan Taher, koordinator projek MSF di Rokero.
Pasukan MSF bekerjasama dengan pemimpin komuniti untuk menyebarkan kesedaran tentang kempen vaksinasi ini bagi mencapai golongan yang paling terdedah, dengan melakukan perjalanan ke kampung-kampung terpencil menggunakan keldai, tuk-tuk, dan kereta.
Mereka mendirikan klinik di mana sahaja ruang awam yang ada seperti sekolah, pasar, dan kemudahan kesihatan demi memastikan aksesibiliti buat komuniti tempatan.
Menurut Taher, ramai keluarga berjalan berjam-jam untuk sampai ke pusat vaksinasi, sering mengharungi jalan yang berbahaya.
“Jalannya sukar, dan hujan malam sebelumnya. Tetapi dengan begitu ramai kanak-kanak yang jatuh sakit di kampung kami, kami terpaksa melakukan perjalanan ini. Sekarang, saya rasa lega anak-anak saya dilindungi,” kata Abdurrahman, seorang bapa kepada lima orang anak.
Bagi seorang ibu kepada tiga orang anak pula, kehadiran MSF disambut dengan penuh kesyukuran.
“Selama berminggu-minggu, kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan,
“Anak bongsu saya batuk dan demam, dan orang lain di kampung kami juga jatuh sakit.
Apabila kami dengar pasukan vaksinasi akan datang, kami pastikan untuk pergi ke sana” jelas Fatima.
Menurut MSF, maklum balas yang sepi daripada pertubuhan kemanusiaan antarabangsa terhadap isu di Sudan menjadi faktor masyarakat di negara tersebut tidak mempunyai akses yang mencukupi kepada keperluan asas, termasuk makanan.
MSF mendapati bahawa 299 kanak-kanak di bawah 5 tahun mengalami kekurangan pemakanan akut yang teruk, manakala 1,062 kanak-kanak antara 6 hingga 59 bulan mengalami kekurangan pemakanan akut yang sederhana.
Sudan, negara dengan lebih 50 juta penduduk, kini berhadapan dengan salah satu krisis kemanusiaan yang paling dahsyat dalam sejarahnya.
Perang saudara yang telah tercetus selama 17 bulan sejak April 2023, telah membawa kematian, pelarian besar-besaran, kelaparan dan musnahnya hampir semua prasarana awam dan pemerintahan di negara itu. – The Merdeka Times