Connect with us

Terkini

Kunjungan delegasi Afghanistan bukti sistem pendidikan Malaysia diiktiraf – ABIM

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
  • Tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) menerima kunjungan rasmi delegasi Afghanistan pimpinan Taliban menunjukkan pengiktirafan terhadap sistem pendidikan Malaysia sebagai model yang ingin dicontohi negara lain, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
  • Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dari sisi lain, keterbukaan itu juga menggambarkan kesediaan negara untuk memperjuangkan aspek pendidikan untuk semua kelompok, termasuk wanita.
  • “Kesediaan dunia Islam, khususnya seperti Afghanistan memberi perhatian dalam aspek pendidikan perlu diberi perhatian, apatah lagi bila ia menjadikan Malaysia sebagai model rujukan dalam pelbagai aspek termasuk kokurikulum, pendidikan rendah dan menengah dan aspek pelatihan keguruan.
  • “ABIM menegaskan usaha seperti ini tidak seharusnya diragui kerana ia mendukung nilai sejagat yang disepakati iaitu pemberdayaan wanita menerusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam ini.
  • Kenyataan Ahmad Fahmi itu dikeluarkan susulan kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dalam sidang media di Parlimen hari ini yang meminta penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkenaan lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan diterajui Taliban ke KPM pada awal bulan ini, antara lain difahamkan bertujuan melihat sistem pendidikan di negara ini.

Tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) menerima kunjungan rasmi delegasi Afghanistan dipimpin Taliban menunjukkan pengiktirafan terhadap sistem pendidikan Malaysia sebagai model yang ingin dicontohi negara lain, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, dari sisi lain, keterbukaan itu juga menggambarkan kesediaan negara untuk memperjuangkan aspek pendidikan untuk semua kelompok, termasuk wanita.

Katanya, ia juga secara kebetulan apabila Malaysia menampilkan Fadhlina Sidek, seorang wanita sebagai Menteri yang menerajui Kementerian Pendidikan.

“Kesediaan dunia Islam, khususnya seperti Afghanistan memberi perhatian dalam aspek pendidikan perlu diberi perhatian, apatah lagi bila ia menjadikan Malaysia sebagai model rujukan dalam pelbagai aspek termasuk kokurikulum, pendidikan rendah dan menengah dan aspek pelatihan keguruan.

“Justeru ABIM berpandangan negara mempunyai peluang besar untuk memainkan peranan strategik sebagai negara Islam progresif yang menegakkan prinsip keadilan, kebebasan dan hak pendidikan untuk semua.

“ABIM menegaskan usaha seperti ini tidak seharusnya diragui kerana ia mendukung nilai sejagat yang disepakati iaitu pemberdayaan wanita menerusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam ini.

Kenyataan Ahmad Fahmi itu dikeluarkan susulan kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dalam sidang media di Parlimen hari ini yang meminta penjelasan Fadhlina berkenaan lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan diterajui Taliban ke KPM pada awal bulan ini, antara lain difahamkan bertujuan melihat sistem pendidikan di negara ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan tujuan KPM membenarkan lawatan delegasi dari negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ahli Parlimen DAP itu berkata apa yang lebih penting adalah Afghanistan merupakan satu-satunya negara yang menyekat kelompok wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti.

“Tapi nampaknya kita mesra dengan kementerian pendidikan Afghanistan, pimpinan Taliban yang melarang wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti… Ini saya rasa ditentang oleh semua rakyat Malaysia dan saya yakin seluruh dunia.

“Kita nak tanya adakah perkara ini dibangkitkan oleh pihak kementerian tentang dasar diskriminasi dan pengharaman ini? Tapi yang lebih penting apakah manfaat kepada negara kita apabila kita menerima rombongan sedemikian? Dan tidak ada pun sebarang komen tentang larangan ke atas golongan wanita belajar di sekolah menengah dan juga di universiti yang telah dikecam oleh PBB sebagai satu tindakan apartheid jantina,” kata Guan Eng.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata peluang lawatan delegasi Afghanistan itu perlu dimanfaatkan untuk menunjukkan kekuatan budaya hidup dalam rukun damai yang diamalkan di negara ini.

Isu akses wanita kepada pendidikan, khususnya pelajar menengah dan universiti yang masih belum diselesaikan pemerintah Taliban, antara isu “backlog” yang menjadi halangan untuk negara itu diiktiraf masyarakat antarabangsa sejak mengambil alih kepimpinan Afghanistan pada Ogos 2021 selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *