Antarabangsa
800 juta individu mengidap kencing manis seluruh dunia – Kajian
- Kadar diabetes (penyakit kencing manis) global dalam kalangan orang dewasa meningkat dua kali ganda sejak tiga dekad lalu, membabitkan lebih 800 juta individu di seluruh dunia, menurut kajian terkini diterbitkan dalam The Lancet.
- Kajian “ground-breaking” itu, analisis global pertama bagi kadar dan rawatan diabetes di semua negara, mendedahkan peningkatan ketara kelaziman diabetes, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana, lapor Anadolu pada Khamis.
- Kajian dijalankan saintis dari NCD Risk Factor Collaboration (NCD-RisC) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menganalisis data daripada lebih 140 juta individu berumur 18 tahun ke atas, yang dikumpulkan melalui lebih 1,000 kajian di seluruh dunia.
- Penemuan menunjukkan kadar diabetes dewasa meningkat daripada kira-kira 7 peratus pada tahun 1990 kepada 14 peratus menjelang 2022, satu lonjakan yang majoritinya dikaitkan oleh pakar kepada perubahan gaya hidup, peningkatan obesiti dan ketidaksamaan kesihatan yang meluas.
Kadar diabetes (penyakit kencing manis) global dalam kalangan orang dewasa meningkat dua kali ganda sejak tiga dekad lalu, membabitkan lebih 800 juta individu di seluruh dunia, menurut kajian terkini diterbitkan dalam The Lancet.
Kajian “ground-breaking” itu, analisis global pertama bagi kadar dan rawatan diabetes di semua negara, mendedahkan peningkatan ketara kelaziman diabetes, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana, lapor Anadolu pada Khamis.
Kajian dijalankan saintis dari NCD Risk Factor Collaboration (NCD-RisC) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menganalisis data daripada lebih 140 juta individu berumur 18 tahun ke atas, yang dikumpulkan melalui lebih 1,000 kajian di seluruh dunia.
Penemuan menunjukkan kadar diabetes dewasa meningkat daripada kira-kira 7 peratus pada tahun 1990 kepada 14 peratus menjelang 2022, satu lonjakan yang majoritinya dikaitkan oleh pakar kepada perubahan gaya hidup, peningkatan obesiti dan ketidaksamaan kesihatan yang meluas.
Antara penemuan paling ketara dalam kajian itu ialah penumpuan (concentration) kes diabetes di beberapa negara sahaja.
Ketika ini, India mempunyai bilangan pengidap diabetes tertinggi di dunia, menyumbang lebih daripada satu perempat daripada kes global, atau kira-kira 212 juta individu.
China menyusul dengan 148 juta kes, manakala Amerika Syarikat dan Pakistan masing-masing 42 juta dan 36 juta kes.
47 juta kes lagi dilaporkan di Indonesia dan Brazil.
Keenam-enam negara itu membentuk lebih separuh daripada populasi diabetes dunia, menekankan perbezaan serantau yang ketara dalam kadar diabetes dan akses kepada rawatan berkesan.
Diabetes tidak terkawal boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang serius, termasuk hiperglisemia (gula darah tinggi), yang lama kelamaan merosakkan saluran darah dan saraf, menjejaskan organ penting. – The Merdeka Times