Connect with us

Terkini

(VIDEO) Mengapa wirid Aurad Muhammadiah GISB sesat?

Antara kandungan Aurad Muhammadiah yang menyebabkan ia difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam adalah mencampuradukkan dalil-dalil disepakati ulama yang bersumberkan kitabullah dan selawat daripada hadis sahih dengan sumber-sumber tidak sahih.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin.

KUALA LUMPUR — Antara kandungan Aurad Muhammadiah yang menyebabkan ia difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam adalah mencampuradukkan dalil-dalil disepakati ulama yang bersumberkan kitabullah dan selawat daripada hadis sahih dengan sumber-sumber tidak sahih.

Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin berkata tindakan mencampuradukkan seperti demikian wujud dalam ajaran sesat yang berasaskan agama Islam.

“Kalau kita lihat kembali kepada kandungan-kandungan di dalam zikir tersebut (Aurad Muhammadiah) ianya mengandungi pertamanya ayat-ayat al Quran yang dipilih adalah ayat yang berkait dengan Talut dan mengapa dipilih ayat-ayat nas itu tentang Talut bukan ayat-ayat berkenaan Nabi SAW?

“Disebabkan ayat-ayat ini menjelaskan tentang kemahuan pengikut-pengikut untuk menjadikan Islam ini sebagai empayar yang kedua yang bukan ditegakkan oleh nabi, tetapi ditegakkan oleh wali seumpama Talut yang bukan nabi.

“Lalu dibacakan ayat-ayat ini untuk mengingatkan kembali kita bahawa di akhir zaman empayar Islam akan dibangunkan semula bukan oleh nabi dengan manhaj (kaedah) nabi, tetapi oleh wali,” kata Khairul menerusi program Analisis bersama Finaz Yunus bertajuk ‘GISB: Antara akidah dan ekonomi’ yang bersiaran di platform media sosial The Merdeka Times di sini pada Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang apakah yang terkandung dalam Aurad Muhammadiah sehingga ia difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia susulan majlis fatwa kebangsaan dan jawatankuasa fatwa sesetengah negeri, termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memfatwakan buku ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam’ adalah menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar dan mengelirukan masyarakat Islam seluruhnya.

Siasatan Polis Diraja Malaysia pula mendapati ahli GISB masih mengamalkan tarekat Aurad Muhammadiah yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar pada 1994.

Mengulas siapa wali dimaksudkan itu, Khairul memberi contoh dalam zikir  Aurad Muhammadiah tersebut ada menyatakan secara jelas nama Asy Syeikh Muhammad as-Suhaimi al-Imamul Mahdi.

Selain itu, dalam lafaz syahadah pula, “ashhadu alla ilaha illallah” turut disertakan dengan nama empat khalifah lain iaitu daripada Abu Bakar, Umar, Uthman sehingga Saidina Ali dan disebutkan juga nama Abuya dan Muhammad al-Mahdi Khulafa’ Rasulillah.

Foto: Kalimah syahadah dalam bacaan Aurad Muhammadiah.

“Yang disebutkan itu nama tujuh pemimpin besar yang mana jika disebut dalam bacaan itu jika dibaca, maka kita akan memperoleh kekuatan di mana tujuh pemimpin besar ini akan bantu kita akan memantau segala apa yang kita lakukan.

“Begitu juga jika kita tengok halaman-halaman lain ada panggilan-panggilan memanggil Asy Syeikh as-Suhaimi — diajar untuk dibaca dengan tiga kali lafaz dengan satu nafas.

“Yang mana diajar itu untuk pagar badan dan supaya mendatangkan manfaat bagi sesiapa yang mengucapkannya

“Dan begitulah juga banyak kalau kita nak sebut satu persatu yang lain memang dalam halaman-halaman selepas itu juga ada disebut permohonan-permohonan kepada wali minta pertolongan atas keberkatan yang ada pada wali tersebut yang dimaksudkan pertamanya adalah pemuda Bani Tamim dan keduanya al-Imamul Mahdi yang dinisbahkan kepada Asy Syeikh Muhammad as-Suhaimi,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *