Connect with us

Kolumnis

Ideologi Childfree fahaman individualistik

SEPERTI tiada angin tiada ribut, telah tular satu video di media sosial mengenai perkongsian sepasang suami isteri yang menjelaskan alasan mereka memilih untuk hidup bebas tanpa anak atau lebih tepat lagi, ‘childfree’.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto : Gambar sekadar hiasan.

SEPERTI tiada angin tiada ribut, telah tular satu video di media sosial mengenai perkongsian sepasang suami isteri yang menjelaskan alasan mereka memilih untuk hidup bebas tanpa anak atau lebih tepat lagi, ‘childfree’. 

Antara alasan utama mereka tidak mahu memiliki anak adalah kebanyakannya atas faktor kewangan, mengejar kerjaya dan keinginan untuk hidup bebas. 

“Anak ini membebankan bagi saya. Sebab saya adalah wanita bekerjaya dan suami juga bekerja….apabila ada anak, banyak perkara yang perlu dikorbankan sebenarnya. Kita kena korban masa,” kata sepasang suami isteri itu dalam video berdurasi hampir dua minit itu.  

Tidak menghairankan, video tersebut mengundang pelbagai reaksi warga netizen kerana gaya hidup ‘childfree’ ini sangat asing dengan budaya ketimuran.   

Rata-rata mengkritik alasan-alasan mereka, lebih-lebih lagi apabila pasangan itu beralasan ‘anak adalah satu bebanan’, bukannya satu anugerah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. 

Namun, ada juga yang menyokong dan menceritakan betapa seronoknya ‘childfree’ sehingga ada yang menzahirkan rasa seolah-olah seperti menyesali melahirkan anak.

’Foto: Tangkap layar komen netizen yang menyokong ‘childfree’

 

Bukanlah hendak mengawal mahupun mengecam pilihan pasangan tersebut, namun mencanangkan dan mempromosikan gaya hidup ‘childfree’ di media sosial bukanlah gaya hidup yang perlu dibanggakan dalam membina rumah tangga Muslim. 

Apatah lagi gaya hidup tersebut didasari daripada ideologi Barat yang bersifat individualistik iaitu meraih pencapaian diri sendiri terlebih dahulu tanpa tertakluk kepada nilai agama atau masyarakat.

 

‘None is Fun’: Ideologi Childfree

Child free bukanlah satu ideologi yang baru sahaja timbul. Ia sudah pun dibincangkan, malah digembar-gemburkan sejak 50 tahun dahulu oleh grup feminis, National Non-Parental Organization (NON) yang dikendalikan aktivis Ellen Peck dan Shirley Radl pada 1972. 

Liciknya lagi, mereka menggunakan perkataan ‘free’ bagi menzahirkan kemahuan untuk bebas berbuat apa sahaja dengan tubuh mereka (‘my body my right’) seperti ianya adalah satu hak mutlak.

Jadi bagaimana cara mereka mengenalkan gaya hidup childfree yang asing dalam masyarakat pada waktu itu? 

Mereka komited mempromosikan gaya hidup ‘child free’ dengan slogan “None is Fun” (Tiada itu Seronok), menekankan bahawa kehidupan tanpa anak lebih banyak kebebasan dalam membina rumah tangga. 

Malah dalam penulisan-penulisan mereka juga mempamerkan betapa seronoknya dan bagusnya amalan childfree kepada masyarakat serta memomokkan keburukan nilai tradisional keibubapaan seperti yang tertulis dalam akhbar Time;

“Amalan childfree dapat mewujudkan lebih banyak ‘ruangan sosial’. Segala masa, wang dan tenaga boleh digunakan untuk memulihara sumber planet, bukan sahaja dapat mengatasi kos sara hidup yang tinggi tetapi dapat mengejar gaya hidup bebas. 

“Sesetengah ibu bapa menggunakan kanak-kanak seperti dadah untuk melindungi mereka daripada realiti kehidupan. Yang lain mahukan zuriat hanya untuk memenuhi harapan mereka yang kecewa, mempunyai seseorang untuk dimiliki dan dikawal atau untuk memastikan sokongan kewangan pada hari tua mereka,” kata NON dalam artikel ‘Down with Kids’ pada 1972. 

Bagi mereka, keberadaan anak adalah seperti bebanan yang perlu dipikul sehingga akhir hayat. 

Maka, solusi untuk keluar daripada ‘penjara’ tersebut adalah dengan mengamalkan gaya hidup ‘childfree’ bagi meraih the ultimate liberation (pembebasan abadi) yang membolehkan mereka bebas dan melepaskan diri daripada segala tanggungan.

 

Foto: Kehidupan ‘ideal’ mengikut logik Barat

 

Tetapi ironinya, kehidupan yang mereka impikan juga sebenarnya penuh dengan bebanan dan tanggungan. 

Walaupun tanpa anak, mereka yang memilih gaya hidup ‘childfree’ tetap berdepan dengan beban kehidupan seperti pasangan hidup, ibu ayah, hutang rumah dan kereta, dan lain-lain. Ini tidak termasuk dengan kos-kos penjagaan yang perlu ditanggung lagi.

Tidak pula kita mendengar mereka mengeluh tidak mahu berpasangan atau memilih hidup bujang sedangkan membiayai pasangan boleh juga dikatakan sebagai ‘beban’ yang perlu dijaga bukan sahaja dari segi ekonomi, kesihatan tubuh badan hatta mental.  

Kehidupan bebas dari tanggungan anak tidak bermakna bebas dari tanggungan lain.    

Lebih lucu lagi, ada di antara pengamal ‘childfree’ yang lebih rela membela, menanggung dan menjaga makan minum haiwan seperti ‘anak’ sendiri. 

Sedangkan memelihara haiwan itu juga memerlukan perhatian, masa dan wang yang tidak kurang banyaknya seperti membesarkan anak.

 

Childfree bukan budaya Islam 

Amat mengejutkan gaya hidup ‘childfree’ kini semakin diterima baik dalam masyarakat kita dan kembali dinormalisasikan sehingga menjadi pilihan yang sengaja dibuat. 

Gaya hidup sebegini hakikatnya akan mengakibatkan terlahirnya suatu generasi yang bersikap individualistik, mementingkan keseronokan diri dan culas tanggung jawab dalam hidup berkeluarga. 

Prinsip mereka adalah ‘Hidup aku, hak aku’ yang berkeinginan bebas daripada ‘derita’ membina rumah tangga dan membesarkan anak. 

Ini merupakan tragedi yang mampu meruntuhkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan dalam Islam yang amat meraikan kehadiran zuriat. 

Berbanding bebanan, Islam membawa satu sudut pandang yang lebih holistik dan terkehadapan bahawa kehadiran zuriat sebenarnya adalah satu anugerah dan pelaburan akhirat daripada Allah s.w.t kepada orang yang beriman.

“Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannyaa”. [Al Qu’ran 52:21]

Dan juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.(Sahih Muslim, No 1631)

Maka, menolak tanggungjawab untuk membina generasi dan menggantikannya dengan gaya hidup yang berorientasikan kebebasan individu bukanlah satu gaya hidup bercorak Islam yang perlu dibanggakan dan dicanangkan. 

Apatah lagi, berbangga mempromosikan ‘anak itu bebanan’ kepada awam sedangkan ia sangat jelas tersasar dengan nilai perkahwinan dalam Islam yang amat menekankan nilai tanggung jawab melebihi kepentingan individu. 

Kesimpulan

Tidak semua tren perlu disambut dengan tangan terbuka tetapi setiap tren yang muncul kita perlu melihat secara kritis dan taqwa. 

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk mengikuti arus semasa, selagi ia tidak bercanggah dengan syariat agama.

Dalam hal ini, bukanlah hendak memaksa semua orang harus mempunyai anak, itu mustahil sebab setiap orang ada kekangan tersendiri seperti faktor kesihatan, ketidaktentuan ekonomi atau alasan yang mewajarkan mereka memilih untuk cara hidup sedemikian.

Namun, ideologi ‘childfree’ yang sengaja menggalakkan masyarakat untuk tidak mempunyai anak selama-lamanya hanya kerana kebebasan peribadi perlu ditolak bagi menjaga maslahat ummah. – The Merdeka Times 

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *