Connect with us

Kolumnis

Apakah kebebasan beragama dari sudut pandang Perlembagaan Persekutuan?

MALAYSIA mengamalkan hak kebebasan beragama kepada setiap orang untuk memilih, menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri begitu juga agama selain Islam boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Avatar

Published

on

Foto: Bekas Ketua Hakim Syarie dan Hakim Rayuan Syarie, Datuk Muhamad Asri Abdullah.

MALAYSIA mengamalkan hak kebebasan beragama kepada setiap orang untuk memilih, menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri begitu juga agama selain Islam boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. 

Namun Perlembagaan telah  menetapkan peruntukan khusus memelihara dan mengawal orang Melayu dan keturunannya supaya  mereka kekal sebagai seorang Islam. 

Islam akan kekal menjadi agama bagi Persekutuan. Raja dan pemerintah akan menjaga Islam dan mempertahankannya sepanjang masa supaya Islam kekal sepanjang zaman di negara ini sepertimana JADUAL KEEMPAT (Perkara 37) Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Di Malaysia, kebebasan beragama juga dijamin di bawah Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan di mana ia menetapkan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. 

Perkara 11(1) menyatakan – “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkannya”. Fasal (4) memberikan kuasa kepada undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Perlembagaan memberi kuasa kepada negeri untuk membuat undang-undang pengawalan di’ayah agama kepada orang Islam. 

Bermaksud bukan  Islam tidak boleh mengembangkan agama atau doktrin mereka kepada orang Islam. Jika mereka melakukannya, ia adalah menyalahi undang-undang yang dibuat. Jika pengembangan ini disekat oleh Perlembagaan, apatah lagi memujuk atau menghasut orang Islam supaya meninggalkan agama Islam?

Inilah sebabnya undang-undang awam juga undang-undang Islam tidak memperuntukkan apa-apa peruntukan permohonan untuk keluar dari agama Islam dalam mana-mana undang-undang. 

Apa yang ada menyatakan dalam enakmen pentadbiran agama Islam atau enakmen mahkamah syariahnya bahawa mahkamah tinggi syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan dan hanya peruntukan untuk menentukan status agama seseorang yang beragama Islam ketika masih hidup atau semasa kematiannya. Lazimnya peruntukan ini bukan lah kepada orang Islam yang asal atau Melayu Islam tapi mereka yg mualaf dan diragui keturunannya dan agamanya.

Di Malaysia, Melayu dan Islam berpisah tiada

Artikel 160 Perlembagaan Malaysia mentakrifkan pelbagai istilah yang digunakan dalam Perlembagaan Malaysia. 

Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan (a) lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura atau (b) ia adalah keturunan dari seseorang yang tersebut. 

Kewujudan Perkara 160 (2) yang berkaitan dengan pemberian hak-hak istimewa ini perlu dilihat dan difahami daripada perspektif sejarah.

Ini sebaliknya bermaksudnya orang Melayu terikat kekal dengan Islam kerana yang demikian di bawah Artikel 160 (2) (a) dan anak cucu mereka Islam di bawah takrif Artikel 160 (2) (b) iaitu melalui keturunan.

Tujuh wasiat Raja-Raja Melayu

Wasiat Raja-Raja Melayu dan Pemimpin-pemimpin yang diperbuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957.

Tujuh wasiat yang diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan – secara ringkas adalah seperti berikut;

  1.     MALAYSIA – perkara 1 (Nama, negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan) 

Persekutuan dinamai Malaysia pada 16 September 1963. Negeri-negerinya terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

  1.     TANAH SIMPANAN MELAYU – Perkara 89 (Tanah Rizab Orang Melayu)

Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang menjadi tanah rizab orang Melayu sebelum hari merdeka mengikut undang-undang yang ada, maka tanah itu boleh terus-menerus menjadi tanah rizab orang Melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri dengan suatu Enakmen.

  1.     REJIMEN ASKAR MELAYU – Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972

Seksyen tersebut menyatakan:”Mana-mana orang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap; dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil masuk ke dalam Askar Melayu Diraja”.

Askar Melayu Diraja diilhamkan pada tahun 1902 dan ditubuhkan pada tahun 1932 di bawah Malay Regiment Ordinance. Pasukan pertama Askar Melayu Diraja terdiri daripada 23 orang dan meningkat kepada 2 batalion pada tahun 1941. Askar Melayu Diraja pernah berperang dengan tentera Jepun di Pengkalan Chepa, Kelantan dan di Singapura dalam Perang Dunia Kedua.

Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada tiga perkhidmatan iaitu udara, darat dan laut yang semuanya terbuka kepada semua kaum. Askar Melayu Diraja hanya satu komponen dalam pelbagai bidang ketenteraan dan berperanan mempertahankan negara dari ancaman dan pencerobohan dari luar Negara tetapi tidak terlibat dalam ketenteraan awam dan keselamatan dalam negara.

  1.     RAJA-RAJA MELAYU – Perkara 32 (Kepala Utama Negara Bagi Persekutuan Dan Permaisurinya)

Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan. Raja Permaisuri Agong mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima (5) tahun.

  1.     ISLAM – Perkara 3 (Agama Bagi Persekutuan)

Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Raja/Sultan di setiap negeri ialah Ketua Agama Islam bagi negerinya dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja/Sultan, Yang di-pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam negeri itu termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

  1.     BAHASA MELAYU – Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan)

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Pindaan kepada Perkara ini tidak boleh diluluskan dengan tiada perkenan Majlis Raja-Raja.

  1.     KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN – Perkara 153 (Perizaban Kuota Mengenai Perkhidmatan, Permit Dan Sebagainya Untuk Orang Melayu) 

Perlembagaan Persekutuan memberikan tanggungjawab kepada yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan rizab kuota orang Melayu dan bumiputera dalam perkhidmatan awam, kemudahan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.

Melayu Islam tunjang pembentukan negara

Malaysia dibina di atas tunjang Islam sebagai agama Persekutuan, Melayu-Bumiputera sebagai teras dalam Perlembagaan, namun harus bersikap adil (justice and fairness) kepada semua kaum dan agama.

Seperti mana kata Tunku Abd Rahman Putra Al Haj sebelum perbincangan meja bulat bersama Tun H.S Lee, Tun Sambathan, Dato’ Saadon, dll; ‘Sebelum kita memulakan perbincangan, perlulah semuanya bersetuju bahawa tanah Melayu ini adalah sah hak milik orang Melayu, tuannya Melayu’.

Maka, setelah persetujuan itu, barulah rundingan diteruskan. Oleh itu, sejarah telah menunjukkan banyak perkara yang membuktikan betapa Melayu itu tidak pernah menindas kaum lain, malahan menghulurkan persahabatan. Melayu menjadi tunjang kepada pembinaan bangsa dan negara.

Kita perlu berusaha mempertahankan institusi raja kerana institusi ini merupakan lambang raja berperlembagaan yang diamanahkan untuk menjaga agama Islam dan bangsa Melayu. 

Jika terdapat kelemahan, kita harap raja-raja boleh memperbaiki, bukan kita mendesak untuk menghapuskan terus institusi ini.

Apabila orang Melayu tewas dalam memelihara jati diri dan identiti negara, itu tandanya mereka sangat teruja dengan orang lain selain daripada mereka. Mereka teruja terhadap bangsa dan negara lain padahal mereka adalah satu bangsa yang serba serbi hebat dari segi tamadunnya sejak dahulu lagi.

Kebebasan beragama di Malaysia

Kita Muslim di Malaysia amat bersyukur kerana Islam telah dijadikan agama bagi Persekutuan sepertimana dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. 

Ada negara majoriti Islam yang menyatakan dalam Perlembagaan negara mereka adalah negara sekular atau neutral tidak menjadi Islam sebagai landasan ideologi negara seperti negara Bosnia Herzegovina, Niger, Sudan, Sierra Leone, Indonesia dan Djibouti.

Di Indonesia dalam perbincangan di peringkat awal menyusun perlembagaan atau piagam Indonesia, rumusan pancasila dalam naskah Piagam Jakarta yang menjadi kontroversi:

  1. Ketuhanan dengan kewajiban menjalankan syariat Islam bagi pemeluk-pemeluknya
  2. Kemanusiaan yang adil dan beradab
  3. Persatuan Indonesia
  4. Kerakyatan yang dipimpin oleh hikmat kebijaksanaan dalam permusyawaratan perwakilan
  5. Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia.

Beberapa tokoh perwakilan dari Indonesia Timur menyatakan keberatan dengan sila pertama dalam rumusan tersebut. Pasalnya, rakyat Indonesia tidak hanya berasal dari kalangan Muslim saja. Hal itulah yang menjadi salah satu latar belakang perubahan rumusan sila pertama menjadi “Ketuhanan Yang Maha Esa”.

Itulah rumusan pancasila dalam naskah Piagam Jakarta dan perjalanan panjangnya dalam konstitusi Indonesia.

Di Indonesia pada 22 Jun 1945, Piagam Jakarta disahkan dan menjadi bahagian pendahuluan Perlembagaan 1945 selepas frasa “dengan kewajiban menjalankan syariat Islam bagi pemeluk-pemeluknya” dibatalkan.

Pada akhirnya, rumusan Pancasila berubah menjadi sebagai berikut: Ketuhanan Yang Maha Esa Kemanusiaan yang Adil dan Beradab Persatuan Indonesia Kerakyatan yang dipimpin oleh hikmat kebijaksanaan dalam permusyawaratan perwakilan Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia.

Berpunca dari perkara itu walaupun majoriti warga negara Indonesia adalah umat Islam, namun hukum Islam tidak dapat dikuatkuasakan secara langsung berlaku di negeri ini. Hal ini kerana Indonesia bukan negara agama dan tidak menjadikan agama sebagai landasan ideologi negara. 

Pancasila menjadi dasar negara bermaksud dengan dijadikannya Pancasila sebagai pedoman dan prinsip dasar dalam kehidupan. Lebih lanjut, terkait kedudukan Pancasila sebagai dasar negara.

Alasan tidak menjadikan hal tersebut sebagai dasar negara Indonesia adalah bangsa Indonesia terdiri dari keberagaman agama. 

Hal ini disebabkan Indonesia menganut kebebasan beragama yang membebaskan rakyat menentukan agama serta kepercayaan masing-masing, tetapi tidak boleh tidak mempunyai agama.

Ini amat berbeza dengan kebebasan beragama di Malaysia yang memberi kebebasan beragama kepada warganya selain yang beragama Islam, namun mengikat orang Melayu dan Islam dan keturunannya sentiasa menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan Bahasa Melayu. Lahir sebelum atau bermastautin pada hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura. – The Merdeka Times

Penulis adalah bekas Ketua Hakim Syarie dan Hakim Rayuan Syarie.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Asyarah Mubasyarah: Setia Abu Bakar tiada tandingan

“Kali pertama aku melihat orang menangis kerana gembira. Selama ini aku hanya melihat orang menangis kerana sedih”.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

“Kali pertama aku melihat orang menangis kerana gembira. Selama ini aku hanya melihat orang menangis kerana sedih”.

Inilah kata-kata Saidatina Aisyah RA yang menceritakan rasa teruja dan girang ayahandanya, Saidina Abu Bakar RA apabila terpilih menjadi peneman hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dan satu-satunya sahabat yang mendapat penghormatan.  

Walaupun pada saat itu adalah waktu kemuncak di mana umat Islam sedang ditindas dan Rasulullah SAW diancam bunuh bahkan diburu kaum Musyrikin Makkah yang enggan menerima dakwah mengesakan Allah. 

Secara logik, manusia pasti akan menjauhkan diri daripada apa jua yang berbahaya dan mengancam nyawa. 

Namun, tidak bagi lelaki dengan gelaran ‘As-Siddiq’ yang sentiasa membenarkan setiap bait kata Rasulullah SAW ini, walaupun dirinya maklum menjadi pendamping Rasulullah SAW pada saat itu merupakan suatu misi berbahaya. 

Tanpa sedikitpun keraguan, Abu Bakar RA sangat bergembira apabila dirinya yang dipilih Allah seakan mendapat penghormatan untuk mengorbankan nyawanya demi Nabi Allah SAW jika ada sebarang situasi yang tidak diingini berlaku. 

Ini boleh dilihat pada sepanjang sirah perjalanan hijrah, Abu Bakar RA sangat mengambil berat akan kesejahteraan Nabi dan sentiasa melindungi Nabi, memastikan tiada yang menyerang Nabi SAW secara mengejut sama ada manusia mahupun haiwan. 

Sewaktu mereka sampai di gua, Abu Bakar berkata, “Demi Allah, jangan engkau masuk sehingga aku masuk terlebih dahulu. Jika di dalamnya ada sesuatu, biarlah aku yang terkena dan bukan engkau”.

Apabila Abu Bakar mendapati di dinding gua itu ada lubang-lubang. Maka beliau mengoyakkan kain pakaiannya untuk menutupi semua lubang. 

Dan apabila tiada lagi kain yang boleh menutupi, Abu Bakar menggunakan kedua-dua kakinya untuk menutup lubang itu. Sejurus itu, barulah beliau membenarkan Nabi Allah SAW masuk ke dalam gua. 

Pernah ada satu kisah menceritakan kaki Abu Bakar yang berpijak pada lubang itu telah disengat. Namun, beliau tidak bergerak sedikitpun kerana khuatir Rasulullah SAW terjaga daripada rehatnya. 

Sedemikian besarnya kasih Abu Bakar terhadap Rasulullah SAW, jaminan keselamatan dan kesejahteraan Nabi mendahului dan menenggelamkan segala kepentingan dan kenikmatan dirinya. 

Bahkan apabila musuh kaum Musyrikin Makkah yang memburu mereka kian menghampiri hanya beberapa langkah, Abu Bakar RA menjadi tersangat takut dan risau. 

“Wahai Nabi Allah, jika ada orang antara mereka yang menunduk sedikit untuk melihat ke dalam, pasti dia melihat kita,” kata Abu Bakar. 

Rasulullah menegur sahabat baiknya dengan berkata; “Diam, wahai Abu Bakar. Kita ini berdua dan Allah-lah yang ketiga.” 

“Jangan sedih (takut) kerana sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.” (Surah At-Taubah: 40) 

Kita yakin bahawa Abu Bakar RA bukanlah takut atau risau akan keselamatan dirinya kerana sepanjang hayat Abu Bakar RA, beliau sentiasa bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi Allah. 

Jelas apa yang dikhuatirinya adalah keselamatan Rasulullah SAW yang akan dicederakan dan lebih teruk lagi, dibunuh musuh Islam. Sekiranya Nabi Allah tiada maka, wahyu Ilahi juga akan terhenti. 

Atas sebab yang sama juga, kadang-kadang Abu Bakar RA akan berjalan di hadapan Nabi dan pada masa lain, beliau akan berada di belakang Nabi. 

Apabila Rasulullah SAW bertanya kepadanya mengapa sentiasa menukar-nukar posisi, Abu Bakar RA menjawab: “Apabila aku ingat ada orang yang menunggu untuk menyerangmu, aku akan berjalan di hadapanmu. Dan apabila aku ingat ada orang yang akan mengejarmu, aku akan berjalan di belakangmu”.

Inilah lelaki pertama dijamin syurga Allah yang sanggup menghadapi segala kemungkinan demi melindungi Rasulullah SAW, walaupun nyawanya sendiri dalam bahaya. 

Ketabahan dan kesetiaan Abu Bakar merupakan manifestasi dari iman yang kukuh dan cinta yang mendalam kepada Rasulullah SAW yang tiada bandingan. 

Itulah manifestasi dari apa yang Nabi SAW sabdakan: “Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya.” (Sahih Bukhari, No. 14) – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending