Connect with us

Kolumnis

Masih Cina & India selepas masuk Islam?

PERNAH saya ditanya seorang wanita tua berbangsa Cina, “Awak Melayu, apa pasal awak boleh masuk ini?” sambil menunjukkan risalah Islam berbahasa Mandarin yang baru beliau terima semasa sesi Street Dakwah di Bukit Bintang.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Penggambaran semasa sesi Street Dakwah di Bukit Bintang.

PERNAH saya ditanya seorang wanita tua berbangsa Cina, “Awak Melayu, apa pasal awak boleh masuk ini?” sambil menunjukkan risalah Islam berbahasa Mandarin yang baru beliau terima semasa sesi Street Dakwah di Bukit Bintang.

Sedikit keliru, saya bertanya kembali apa beliau maksudkan dengan ‘masuk ini’.  

Adakah beliau maksudkan saya masuk bangsa Cina? Lalu beliau jawab, “Ya masuk Cina”.

Ini kali pertama saya menerima soalan sedemikian daripada bukan Muslim sepanjang 10 tahun terlibat dalam dunia dakwah. 

Namun persoalan melibatkan bangsa dan agama seperti ini bukanlah asing. Ini kerana ramai bukan Muslim seringkali menganggap seseorang akan ‘masuk Melayu’ selepas memeluk agama Islam dan perlu melepaskan identiti bangsa asal mereka.

Persoalannya benarkah tanggapan itu dan bagaimana ia boleh terbentuk?

Islam hanya untuk bangsa tertentu?

Tanggapan ‘Islam adalah Melayu dan Melayu adalah Islam’ adalah salah faham yang biasa terjadi dalam kalangan bukan Muslim di Malaysia.  

Barangkali kerana melalui pentakrifan bangsa ‘Melayu’ menurut Perkara 160 (2) dalam Perlembagaan Malaysia, 

Orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan (a) lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura atau (b) ia adalah keturunan dari seseorang yang tersebut.

Oleh yang demikian, adakalanya ia membuatkan masyarakat Bukan Muslim di Malaysia melihat budaya Islam dan budaya orang Melayu adalah perkara yang sama. 

Ini kerana berpunca dari identiti Islam sering digambarkan sebagai Melayu, manakala Melayu itu adalah Islam. 

Walhal Melayu itu adalah bangsa, manakala Islam adalah agama dan ia bukan hak milik sesuatu bangsa sahaja, baik Melayu atau Arab. Sepertimana firman Allah dalam Al Qur’an,

“Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan kepada manusia seluruhnya sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan…” [Al Qur’an 34:28]

“Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam.” [Al Qur’an 21:107]

Perihal ini kita boleh lihat sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang terkenal adalah daripada kalangan bukan Arab seperti Bilal bin Rabbah (orang Afrika), Suhaib Ar Rumi (orang Romawi), Wahsyi bin Harb (orang Habasyah), Salman al-Farisi (orang Parsi) dan lain-lain lagi yang memeluk agama Islam. 

Baginda berdakwah kepada semua manusia tidak kira orang itu Arab atau pun bukan Arab (‘Ajam). 

Seterusnya, kisah baginda mengutuskan surat kepada raja-raja di luar Madinah seperti Rom, Parsi, Mesir, Bahrain, Syria, Jordan, Yaman dan lain-lain, mengajak mereka mentauhidkan Allah adalah antara bukti lain.

Namun kesan dari salah faham yang berlaku di Malaysia telah membentuk persepsi dan pemahaman bahawa untuk menjadi Muslim di Malaysia, mereka perlu mengubah budayanya menjadi orang Melayu dan melepaskan identiti bangsa asal mereka.

Dan salah faham ini masih lagi menebal dalam kalangan masyarakat bukan Muslim sehingga menyebabkan mereka menganggap Islam bukanlah untuk mereka bahkan, suatu ancaman kepada budaya mereka.

Islam meraikan adat budaya setiap bangsa

Masyarakat bukan Muslim perlu faham bahawa Islam sentiasa meraikan kepelbagaian budaya dan tradisi selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam. 

Ia terbukti ketika kedatangan Islam ke negara-negara asing, ia tidak pernah memusnahkan bahkan masih mengekalkan budaya setempat. 

Kedatangan Islam di tanah Nusantara juga berlaku perkara yang sama. Masyarakat Nusantara masih memakai kain pelikat dan tidak merasa keislaman mereka lebih rendah hanya kerana tidak memakai jubah seperti orang Arab. 

Bukan itu sahaja, ketika Islam masuk ke China, kebanyakan budaya dan tradisi masyarakat Cina masih kekal. 

Dari tradisi makanan seperti Kuih Bakul, Dim Sum sehingga ke tradisi pakaian seperti baju changshan atau cheongsam masih lagi wujud sehingga kini. 

Manakala perayaan-perayaan budaya yang tiada unsur agama atau tidak membabitkan ritual keagamaan selain agama Islam, Muslim boleh terlibat, malahan Islam menyuruh Muslim untuk menjaga adat pergaulan antara manusia serta melakukan kebaikan sekalipun kepada penganut agama lain.

Begitu juga apabila Islam tiba di India, adat budaya masyarakat India yang tidak bercanggah dengan Islam masih kekal hingga ke hari ini.

Makanan tradisi India yang telah lama sebati dengan jiwa dan raga rakyat Malaysia termasuk orang Islam seperti Murukku, Tosai, Briyani, Athirasam, Ayam Tandoori dan pelbagai lagi.

Perihal yang sama dalam bab pemakaian tradisi masyarakat India seperti Sari, Kurta dan Dhoti masih boleh dikekalkan.

Selain itu, nama asal juga boleh dikekalkan selagi mana nama asal membawa maksud yang baik dan tidak mempunyai unsur mensyirikkan Allah baik dari segi bahasa atau maksudnya.

Bagi masyarakat Cina, kebiasaannya nama yang diberikan mempunyai makna yang baik.

Misalnya, nama Tan Jian Xiang mempunyai makna yang sangat baik. Tan adalah nama keluarga, bermakna individu tersebut berasal dari keturunan Tan. Nama tengah Jian bermakna sihat dan nama akhir, Xiang pula bermakna tuah. 

Adapun masyarakat India meletakkan nama berkaitan dengan tuhan-tuhan mereka seperti Murugan, Shiva, Krishna dan pelbagai lagi, mereka wajib menukar nama ke nama yang lebih baik tidak kira dalam bahasa apa dan tanpa menukar nama bapa mereka.

Misalnya, Shiva A/L Murugan. Boleh ditukar menjadi Navin Bin Murugan. Navin yang bermaksud baru.

Jelas di sini, Jian Xiang bermaksud sihat dan tuah mempunyai makna yang baik. Begitu juga Navin.

Maka tiada alasan kenapa harus menukar nama yang baik dan bersesuaian dengan Islam hanya kerana ia tidak berbunyi Arab atau Melayu, sedangkan bahasa Cina dan India juga adalah salah satu bahasa ciptaan Allah s.w.t.

Istilah ‘Cina Muslim’ dan ‘India Muslim’ hakikatnya juga seperti menjaga dan melestarikan tradisi dan budaya asli bangsa mereka yang berlandaskan syariat Islam.

Dengan demikian budaya dan agama dapat berjalan seiring dan saling melengkapi yang mampu membentuk masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum bersesuaian dengan nilai-nilai Islam.

Justeru, bagi mengenalpasti sama ada adat budaya dan tradisi sesuatu bangsa itu selari mahupun tidak dengan syariat Islam memerlukan Muslim berusaha untuk berkenalan dengan bangsa-bangsa lain. 

Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al Hujurat 49, ayat 13 yang bermaksud: 

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Kesimpulan 

Seseorang itu tidak akan menukar bangsanya di saat beliau memeluk agama Islam kerana bangsa adalah sesuatu yang akan kekal hinggalah mati. 

Yang berlaku pertukaran hanyalah Tuhan yang beliau imani beserta agamanya. Dari kepercayaan pada tuhan palsu kepada Tuhan yang mencipta manusia. 

Dari agama yang beliau dibesarkan oleh kedua ibubapanya kepada agama asal (fitrah) yang Tuhan tetapkan apabila lahir di dunia ini.

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [Sahih Bukhari no.1385] 

Kesedaran inilah perlu diwar-warkan kepada masyarakat Bukan Muslim di Malaysia agar salah faham terhadap agama Islam dapat diselesaikan. –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending