Connect with us

Terkini

Jangan galakan boikot melampau, cermin sifat taasub dan rosak agama

Tindakan boikot melampau tidak sepatutnya digalakkan kerana ia mencerminkan sifat taasub dan kedengkian sekali gus merosakkan agama dan akhlak, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor. 
  • Tindakan boikot melampau tidak sepatutnya digalakkan kerana ia mencerminkan sifat taasub dan kedengkian sekali gus merosakkan agama dan akhlak, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor. 
  • Ia susulan hantaran tular di media sosial yang menggambarkan individu menikmati makanan di sebuah restoran makanan segera umpama anjing dan babi, malah ada juga imej anjing berkenaan digayakan dengan tudung.
  • Wan Salim berkata secara prinsip tindakan boikot restoran, syarikat atau premis perniagaan yang didapati melakukan penghinaan terhadap agama Islam atau umatnya boleh dianggap wajar, namun ia perlu dilakukan sekadar diperlukan atau secara sederhana sahaja sebagai tanda protes.
  • Mengulas isu sama, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran Sunnah UIAM, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dilaporkan sebagai berkata Islam mengharamkan penghinaan atau menyamakan manusia dengan binatang, meskipun berbeza pendapat.
  • Abu Hafiz berkata kelompok yang ingin memboikot produk makanan segera berkenaan sepatutnya meyakinkan orang ramai tujuan mereka berbuat demikian dengan bahasa yang sopan.

KUALA LUMPUR — Tindakan boikot melampau tidak sepatutnya digalakkan kerana ia mencerminkan sifat taasub dan kedengkian sekali gus merosakkan agama dan akhlak, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor. 

Ia susulan hantaran tular di media sosial yang menggambarkan individu menikmati makanan di sebuah restoran makanan segera umpama anjing dan babi, malah ada juga imej anjing berkenaan digayakan dengan tudung.

Wan Salim berkata secara prinsip tindakan boikot restoran, syarikat atau premis perniagaan yang didapati melakukan penghinaan terhadap agama Islam atau umatnya boleh dianggap wajar, namun ia perlu dilakukan sekadar diperlukan atau secara sederhana sahaja sebagai tanda protes.

Katanya, agama Islam tidak suka umatnya bersikap ekstrem dan taasub, meskipun atas nama agama kerana sikap demikian lazimnya didorong kejahilan dan fikiran tertutup kelompok yang tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak berbeza pandangan dan kepercayaan dengannya. 

“Di sinilah persefahaman dan toleransi amat mustahak malah perlu disedari bahawa dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kadangkala berlaku kejadian yang menggores atau menyinggung perasaan mana-mana pihak sama ada disengajakan atau tidak,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Wan Salim berkata umat Islam memerlukan kewarasan dan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian supaya tidak menambahkan lagi ketegangan yang boleh membawa kepada pergaduhan hingga merugikan semua pihak. 

Oleh itu, rakyat Malaysia diseru sentiasa bekerjasama dalam memupuk dan menyuburkan perpaduan, termasuk toleransi antara satu sama lain demi keamanan negara dan kesejahteraan semua.

Mengulas isu sama, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran Sunnah UIAM, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dilaporkan sebagai berkata Islam mengharamkan penghinaan atau menyamakan manusia dengan binatang, meskipun berbeza pendapat.

Abu Hafiz berkata kelompok yang ingin memboikot produk makanan segera berkenaan sepatutnya meyakinkan orang ramai tujuan mereka berbuat demikian dengan bahasa yang sopan.

“Kedua-dua belah pihak tidak perlu memprovokasi antara satu sama lain kerana ia akan mengundang kepada tanggapan yang mencetuskan perbalahan kerana agama kita mendahulukan adab dan perilaku baik bukannya membuat lukisan mengaibkan,” katanya dipetik media tempatan. — The Merdeka Times

Author