Antarabangsa
Diprotes kumpulan Hindu, Mahkamah India arah singa jantan ‘Akbar’ dan singa betina ‘Sita’ ditukar nama
Mahkamah India meminta pihak berkuasa memberi nama baru bagi sepasang singa yang sebelum ini masing-masing dinamakan sempena nama maharaja Islam dan dewi Hindu.

- Mahkamah India meminta pihak berkuasa memberi nama baru bagi sepasang singa yang sebelum ini masing-masing dinamakan sempena nama maharaja Islam dan dewi Hindu, Akbar dan Sita, yang dihantar ke zoo Siliguri di Bengal Barat.
- Nama diberikan kepada haiwan itu menimbulkan kemarahan Vishwa Hindu Parishad (VHP), pertubuhan Hindu sayap kanan terkemuka terkenal dengan kempen menentang hubungan antara agama.
- Kumpulan itu membawa perkara tersebut ke mahkamah mengatakan pasangan singa yang bersekedudukan itu satu cercaan yang menjejaskan sentimen agama Hindu.
Mahkamah India meminta pihak berkuasa memberi nama baru bagi sepasang singa yang sebelum ini masing-masing dinamakan sempena nama maharaja Islam dan dewi Hindu.
Ia berikutan petisyen difailkan kumpulan agama yang menolak tindakan dua haiwan itu berkongsi kandang.
Singa bernama Akbar dan Sita itu dihantar ke zoo Siliguri di Bengal Barat bulan ini sebahagian daripada program pertukaran haiwan dari negeri jiran.
Perkara itu menimbulkan kemarahan Vishwa Hindu Parishad (VHP), sebuah pertubuhan Hindu sayap kanan terkemuka yang terkenal dengan kempen menentang hubungan antara agama.
Kumpulan itu membawa perkara tersebut ke mahkamah mengatakan pasangan singa yang bersekedudukan itu satu tindakan cercaan yang menjejaskan sentimen agama Hindu.
Hakim Saugata Bhattacharyya dari Mahkamah Tinggi Kolkata meminta supaya peguam kerajaan menamakan semula pasangan singa itu pada Khamis minggu lalu.
“Nama-nama ini harus dielak dan penggunaannya dihentikan bagi mengelak kontroversi yang tidak diingini,” katanya dilaporkan akhbar Hindustan Times dipetik SCMP.
Peguam kerajaan, Joyjit Choudhury memberitahu hakim bahawa pihak negeri “sudah berfikir untuk menamakan semula” pasangan itu.
Sita salah satu watak utama epik Hindu Ramayana merupakan isteri kepada Ram, salah satu dewa yang paling dihormati dalam agama Hindu.
Akbar pula merupakan nama seorang maharaja Mughal abad ke-16 yang meluaskan pemerintahan Islam ke sebahagian besar benua India – satu masa didakwa kumpulan nasionalis Hindu sebagai tempoh agama mereka ditindas.
VHP yang mempunyai hubungan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) diperintah Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah berkempen menentang perkahwinan antara agama dan menyokong usaha kerajaan negeri untuk menyukarkannya.
Kumpulan itu juga penyebar teori konspirasi “Love Jihad” yang mendakwa penduduk minoriti Muslim di India menipu wanita Hindu supaya dikahwini dan ditukar agama mereka kepada Islam. – The Merdeka Times
