Antarabangsa
Anies Baswedan tuntut Mahkamah Perlembagaan Indonesia batalkan keputusan pilihan raya
Calon Presiden Indonesia yang kalah, Anies Baswedan mendakwa berlakunya campur tangan kerajaan dalam pilihan raya negara berkenaan, sekali gus mendesak mahkamah membatalkan kelayakan pemenangnya, Prabowo Subianto.
- Calon Presiden Indonesia yang kalah, Anies Baswedan mendakwa berlakunya campur tangan kerajaan dalam pilihan raya negara berkenaan, sekali gus mendesak mahkamah membatalkan kelayakan pemenangnya, Prabowo Subianto.
- Dalam prosiding di Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Anies juga mencabar mahkamah supaya mengadakan pemilihan semula.
- Anies yang juga bekas Gabenor Jakarta berkata, kemenangan besar Prabowo dibantu tekanan pentadbiran partisan terhadap pihak berkuasa wilayah dan pengagihan bantuan sosial sebagai ‘alat transaksi’ memastikan kejayaan itu.
- “Pilihan raya itu menunjukkan bahawa negara demokrasi ketiga terbesar ini berisiko untuk kembali ke masa lalu yang bersifat autoritarian,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
KUALA LUMPUR — Calon Presiden Indonesia yang kalah, Anies Baswedan mendakwa berlakunya campur tangan kerajaan dalam pilihan raya negara berkenaan, sekali gus mendesak mahkamah membatalkan kelayakan pemenangnya, Prabowo Subianto.
Dalam prosiding di Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Anies juga mencabar mahkamah supaya mengadakan pemilihan semula.
Anies yang juga bekas Gabenor Jakarta berkata, kemenangan besar Prabowo dibantu tekanan pentadbiran partisan terhadap pihak berkuasa wilayah dan pengagihan bantuan sosial sebagai ‘alat transaksi’ memastikan kejayaan itu.
“Pilihan raya itu menunjukkan bahawa negara demokrasi ketiga terbesar ini berisiko untuk kembali ke masa lalu yang bersifat autoritarian.
“Jika kita tidak melakukan tindakan yang betul sekarang, maka ia akan menjadi amalan pada masa depan membabitkan undian di setiap peringkat.
“Amalan ini akan dianggap sebagai biasa dan menjadi tabiat,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
Bagaimanapun, dakwaan berlaku campur tangan dalam pilihan raya itu dinafikan pentadbiran Presiden Joko Widodo yang bakal berakhir.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Prabowo dipilih sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) sekali gus menewaskan dua pesaingnya yang berikrar untuk memfailkan aduan undang-undang mengenai undian itu.
Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari berkata Prabowo dan gandingannya selaku naib presiden, Gibran Rakabuming Raka menerima lebih 96 juta undi atau kira-kira 58.6 peratus daripada jumlah keseluruhan dan cukup untuk memperoleh majoriti pusingan pertama.
Anies pula memperoleh hampir 41 juta undi atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala Ganjar Pranowo menerima 27 juta undi atau lebih 16 peratus.
Prabowo dan Gibran yang juga anak sulung kepada Joko Widodo diisytiharkan menang pada bulan lalu selepas kiraan tidak rasmi menunjukkan mereka memenangi majoriti.
Ganjar dijangkakan membentangkan kesnya di mahkamah minggu ini.
Mahkamah dijangka membuat keputusan berhubung kes cabaran terhadap keputusan pilihan raya itu pada 22 April ini. — The Merdeka Times